Boleh Ke Batalkan Puasa Ganti Ramadan Tanpa Keuzuran Atau Sebab Munasabah?
Walaupun puasa ganti dibatalkan dengan sengaja, ia tidak akan menjadi berganda.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sejak bermulanya 2 Syawal, segelintir umat Islam sudah mula melakukan sunat puasa enam.
Dalam masa sama, pasti ada juga yang sudah mula menqadakan puasa yang ditinggalkan pada bulan Ramadan lalu atas sebab-sebab tertentu.
Namun, mungkin sesetengah individu yang sedang menggantikan puasa terfikir untuk membatalkannya kerana ingin menghadiri jamuan makan atau rumah terbuka pada saat akhir dan sebagainya.
Baca Artikel Berkaitan: Bolehkah Pesakit Gastrik Tidak Berpuasa? Ini Penjelasan UAI
Baca Artikel Berkaitan: Bila Sebenarnya Kena Bayar Fidyah Kalau Tak Sempat Ganti Puasa?
Baca Artikel Berkaitan: Dah Ganti Puasa? Kalau Belum Kena Bayar Fidyah. Apa Itu Fidyah & Cara Kiraannya?
Ganti Puasa Ramadan Adalah Fardhu Ain
Menggantikan puasa yang ditinggalkan pada bulan Ramadan merupakan satu fardhu ain dan diwajibkan ke atas umat Islam yang berkemampuan.
Berdasarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, haram membatalkan puasa ganti dengan sengaja dan menjadi dosa besar jika melakukan sedemikian.
Syeikh Jamal menyebut di dalam hasyiahnya bahawa:
(قَوْلُهُ: وَحَرُمَ قَطْعُ فَرْضٍ عَيْنِيٍّ) وَهُوَ مِنْ الْكَبَائِرِ كَمَا ذَكَرَهُ أَئِمَّةُ الْأُصُولِ
Maksudnya: (Menurut Imam Zakarian al-Ansari: haram membatalkan fardhu ain) sebahagian dari dosa besar sepertimana yang disebut oleh para ulama usul fiqh.
Sama seperti puasa wajib di bulan Ramadan, puasa ganti hanya boleh dibatalkan sekiranya seseorang berada dalam keadaan uzur seperti haid dan musafir.
Menurut bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, para ulama sependapat tentang perkara itu berbanding dengan puasa sunat yang dibolehkan.
Puasa Sunat Boleh Dibatalkan Tanpa Sebab
Sebaliknya, puasa sunat yang dilakukan boleh dibatalkan, namun menjadi makruh jika diputuskan tanpa sebab keuzuran.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Hani’ RA, katanya:
يَا رَسُولَ اللَّهِ، لَقَدْ أَفْطَرْتُ، وَكُنْتُ صَائِمَةً، فَقَالَ لَهَا: «أَكُنْتِ تَقْضِينَ شَيْئًا؟»، قَالَتْ: لَا، قَالَ: «فَلَا يَضُرُّكِ إِنْ كَانَ تَطَوُّعًا»
Maksudnya: Wahai Rasullullah, sesungguhnya aku telah berbuka sedangkan aku berpuasa”. Maka Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Adakah kamu sedang mengqadhakan sesuatu (puasa)”. Beliau berkata: “Tidak”. Sabda Rasulullah SAW: “Maka tidak memudaratkan kamu (tidak berdosa) sekiranya ia puasa sunat
Riwayat Abu Daud (2456)
Batalkan Puasa Ganti Tak Jadi Berganda
Apabila kita meninggalkan puasa Ramadan, sudah tentulah wajib untuk menggantikannya. Oleh itu, adakah puasa ganti (yang juga wajib) akan menjadi berganda jika dibatalkan?
Berdasarkan penjelasan Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan) Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed, puasa ganti yang dibatalkan tidak akan menjadi berganda.
Ia adalah selari dengan pandangan Imam an-Nawawi bahawa, “Jika seseorang berjimak ketika puasa selain bulan Ramadan iaitu qada, nazar atau selain daripada kedua-duanya, maka tiada kafarah ke atasnya sepertimana yang disebutkan sebelum ini.”
“Berdasarkan pandangan Imam an-Nawawi itu, jika kafarah tidak diwajibkan, begitu juga dengan qada puasa iaitu tidak wajib tambahan satu hari lagi.
“Hal itu kerana pembatalan puasa qada tidak memberi kesan penambahan hari gantian, tetapi ia hanya melibatkan dosa kerana memutuskan amalan fardu yang sedang dilaksanakan,” jelas Syed Shahridzan.
Hukum Gabungkan Puasa Ganti & Puasa Enam
Sesetengah individu yang melakukan puasa ganti di bulan Syawal mungkin akan menggabungkannya dengan puasa enam.
Menurut pendakwah Ustaz Azhar Idrus, terdapat beberapa pandangan ulama yang membolehkan kedua-dua puasa ini disekalikan.
Untuk menggabungkan puasa ganti dan puasa Syawal, niatnya adalah seperti berikut, “Aku berniat qada puasa Ramadan esok hari dan puasa sunat enam Syawal kerana Allah Ta’ala.”
Pun begitu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan afdal bagi seseorang untuk melakukan kedua-dua puasa itu secara berasingan. Tetapi masih diharuskan dan mendapat pahala sekiranya disekalikan.
Dalam pada itu, pendakwah Ustaz Jafri Mahmoodi berkata puasa enam juga boleh digantikan jika tidak sempat ditunaikan dalam bulan Syawal.
Baca Artikel Berkaitan: Gabung Puasa Qada & Puasa 6 Syawal, Sah Atau Tidak?
Baca Artikel Berkaitan: Tahukah Anda, Puasa 6 Syawal Boleh Diqada Selepas Bulan Syawal? Ini Caranya
Baca Artikel Berkaitan: [Video] UAI Perjelas Hukum Buka Puasa Awal Sebab Jam Salah
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.