Tersilap Isi Borang Cukai LHDN 2024, Ini Langkah-Langkah Buat Pembetulan
Antara kesalahan yang sering dilakukan semasa mengisi Borang Nyata Cukai Pendapatan adalah gagal melaporkan pendapatan yang betul dan kesilapan akibat salah faham undang-undang.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Apabila tibanya 1 Mac setiap tahun, rata-rata rakyat Malaysia yang bekerja dan berkelayakan pasti sibuk mengisi borang cukai dengan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).
Bukan sahaja demi mengisytihar pendapatan semata-mata, tetapi juga bagi membuat bayaran cukai tambahan atau mendapatkan bayaran balik jika cukai dibayar berlebihan.
Namun dalam membuat penaksiran cukai, kadangkala mungkin ada perkara yang terlepas pandang menyebabkan terdapat maklumat tidak tepat pada Borang Nyata yang dihantar.
Baca Artikel Berkaitan: LHDN Dalam Usaha Buru Syarikat & Individu Tak Bayar Cukai
Baca Artikel Berkaitan: Cukai Tertunggak Jadi Punca LHDN Sekat Perjalanan Lebih 180,000 Individu
Baca Artikel Berkaitan: T20 Sumbang 85% Cukai Pendapatan Peribadi Pada Tahun 2022 – LHDN
Ini Contoh Kesilapan Pada Borang Cukai Yang Sering Dilakukan
Kesilapan pada Borang Cukai perlu dipinda agar anda tidak mengalami kerugian atau terpaksa membayar penalti pula pada masa akan datang.
Berikut kami senaraikan antara kesilapan yang sering dilakukan semasa mengisi borang cukai.
#1. Gagal lapor pendapatan yang betul
Sama ada melaporkan pendapatan terlebih atau terkurang berbanding jumlah sebenar. Ini termasuklah pendapatan tambahan yang diterima bukan daripada gaji oleh majikan.
#2. Tidak menuntut amaun pelepasan yang dibenarkan
Terdapat pelbagai pelepasan cukai yang anda boleh tuntut termasuk insurans nyawa, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pelepasan anak dan perbelanjaan gaya hidup.
Sekiranya terlupa untuk menuntut mana-mana pelepasan, anda masih boleh melakukan pindaan.
#3. Kesilapan akibat salah faham undang-undang
Walaupun terdapat pelepasan cukai yang diberikan, namun terdapat sesetengah perkara memerlukan bukti resit pembelian menggunakan nama anda sendiri.
Antara contoh perkara yang tidak layak tuntut pelepasan jika menggunakan nama lain adalah pembelian komputer peribadi dan bayaran internet rumah.
#4. Terlebih tuntut pelepasan atau derma
Menuntut pelepasan atau derma yang tidak layak atau melebihi jumlah sebenar.
Hanya derma yang diberi kepada pihak tertentu seperti kepada kerajaan/kerajaan tempatan, organisasi/ institusi diluluskan dan badan rawatan kesihatan yang dibenarkan untuk mendapat pelepasan cukai.
#5. Tidak laporkan jenis pendapatan yang dikenakan cukai
Seperti dinyatakan di atas, pendapatan selain gaji juga perlu dilaporkan. Antara contoh pendapatan tersebut ialah sewa, dividen dan royalti.

#6. Memberi maklumat tidak tepat mengenai pelepasan cukai
Memalsukan maklumat berkaitan tanggungan cukai sendiri atau orang lain untuk mendapatkan kadar cukai yang lebih kurang.
#7. Kesilapan maklumat asas
Sebagai contoh, salah mengisi nombor akaun bank, nombor telefon, alamat atau maklumat peribadi lain pada muka surat pertama dan kedua borang.
#8. Kesilapan dalam menuntut pelepasan anak
Salah satu pelepasan cukai yang diberi kepada ibu bapa adalah pelepasan anak yang termasuk insurans dan bayaran yuran taska/ tadika.
Namun diingatkan bahawa hanya seorang sahaja sama ada suami atau isteri yang boleh menuntut pelepasan untuk anak yang sama.
Oleh itu, pastikan segala maklumat pada borang adalah betul sebelum diserahkan kepada pihak LHDN. Jangan cuba untuk memalsukan sebarang maklumat juga ya!

3 Kaedah Untuk Melakukan Pindaan Jika Terdapat Kesalahan Pada Borang Cukai
Segala kesilapan di atas boleh diperbetulkan dengan melakukan pindaan. Terdapat tiga kaedah pindaan yang boleh dibuat sama ada secara manual atau dalam talian.
#1. Manual
Anda boleh melakukan pindaan secara manual bagi membetulkan sebarang kesilapan dalam borang yang telah dihantar sama ada secara manual mahupun dalam talian.
Langkah-langkahnya adalah seperti berikut:
- Sediakan surat makluman yang terperinci mengenai kesilapan yang berlaku.
- Sertakan dokumen sokongan yang berkaitan (seperti resit pembelian atau invois) untuk menguatkan permohonan anda.
- Kemukakan surat dan dokumen terbabit kepada Pejabat HASiL yang mengendalikan fail cukai pendapatan anda atau melalui sistem maklumbalas pelanggan HASiL.

#2. e-Permohonan Pindaan BE Secara Dalam Talian
Selain itu, anda juga boleh mengemukakan pindaan secara dalam talian menerusi e-Permohonan Pindaan BE bagi kes-kes tertentu iaitu:
- Terlebih lapor pendapatan.
- Terkurang tuntut pelepasan cukai atau rebat cukai.
Pindaan ini boleh dikemukakan secara dalam talian bermula 1 April di pautan MyTax.
Namun pindaan ini hanya boleh dilakukan bagi borang e-BE sahaja. Bagi lain-lain borang, rayuan boleh dilakukan secara manual di mana-mana cawangan HASiL berhampiran anda.
Selain itu, urusan menerusi emel juga boleh dilakukan bagi pengguna borang B seperti contoh di bawah.

#3. Borang Nyata Terpinda (BNT)
Bagi pindaan yang dilakukan menerusi BNT, terdapat dua tempoh dengan kaedah yang berbeza.
Jika pindaan dikemukakan sebelum tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata, pembetulan bagi kesilapan boleh dibuat secara manual, iaitu dengan langkah sama yang dinyatakan di atas.
Di samping itu, pindaan selepas tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata boleh dilakukan dalam tempoh enam bulan dari tarikh tersebut.
Bagi kaedah ini, anda dibenarkan membuat pindaan sendiri pada maklumat atau taksiran dalam borang yang telah dihantar kepada HASiL iaitu dengan mengemukakan Borang Nyata Terpinda (BNT).
BNT boleh didapatkan menerusi laman web HASiL dan perlu dikemukakan ke Pejabat HASiL yang mengendalikan fail cukai pendapatan anda setelah dilengkapkan.
Namun, hanya kesilapan berikut yang dibenarkan bagi membuat pindaan sendiri:
- Pendapatan terkurang/ tidak lapor.
- Perbelanjaan/ tuntutan lain terlebih tuntut.
- Elaun modal/ insentif/ pelepasan yang terlebih tuntut.
Bagi keadaan-keadaan selain di atas, anda tidak perlu mengemukakan BNT tetapi bolehlah melakukan pindaan secara manual.
Selain itu, pindaan menerusi BNT hanya boleh dilakukan oleh mereka yang telah mengemukakan Borang Nyata dalam tempoh yang ditetapkan. Diingatkan juga bahawa pindaan sendiri boleh dilakukan sekali sahaja.
BNT bagaimanapun tidak layak lagi dikemukakan selepas tempoh enam bulan dari tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata dan individu perlu mengemukakan surat pengakuan sukarela pindaan taksiran.

Kesan Pindaan BNT
Di samping itu, anda juga diingatkan bahawa pindaan BNT akan menyebabkan perubahan pada kadar dan cara pengiraan kenaikan cukai. Perubahan yang boleh berlaku akibat pindaan ini adalah:
- Dari tidak kena cukai kepada kena cukai notis taksiran asal (So kenalah bayar okay?)
- Dari kena cukai kepada cukai kepada cukai tambahan notis taksiran tambahan.
- Dari bayaran balik kepada mengurangkan bayaran balik notis taksiran asal.
Pembayar cukai juga perlu mengisi sendiri ruang pengiraan kenaikan cukai yang terdapat pada BNT. Cara pengiraan berbeza mengikut waktu BNT dikemukakan.
Dalam tempoh 60 hari dari tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata
Kenaikan cukai yang dikenakan adalah 10% daripada amaun cukai atau cukai tambahan.
Selepas tempoh 60 hari tetapi tidak lewat daripada enam bulan dari tarikh akhir pengemukaan
Amaun kenaikan cukai yang dikenakan adalah berdasarkan formula berikut:
B + [(A + B) x 5% ]
Di mana:
A = amaun cukai atau cukai tambahan; dan
B = 10% daripada amaun cukai atau cukai tambahan ( A X 10%)

Silap isi borang cukai?#lhdnm #lhdn #HASiL #eduzoneHASiL #TaxEdu pic.twitter.com/R5UYveIj06
— LHDNM (@HASiL_Malaysia) March 6, 2025
Baca Artikel Berkaitan: Ini Cara Daftar & Isi E-Filing Cukai Pendapatan 2024 Untuk ‘First Timer’
Baca Artikel Berkaitan: Ini 4 Sebab Kenapa Anda Akan Dihubungi LHDNM Walaupun Dah Buat e-Filing
Baca Artikel Berkaitan: LHDN Wajibkan Guna E-Perkhidmatan Bagi Pencukaian Bermula 1 September
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads  dan Instagram.Â