Now Reading
Ini 4 Sebab Kenapa Anda Akan Dihubungi LHDNM Walaupun Dah Buat e-Filing

Ini 4 Sebab Kenapa Anda Akan Dihubungi LHDNM Walaupun Dah Buat e-Filing

Salah satu sebab yang menyebabkan seseorang individu disiasat oleh LHDNM adalah jika dia memohon tuntutan penuh bagi semua kategori pelepasan cukai.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Seperti tahun-tahun sebelum ini, tempoh mengisi borang cukai pendapatan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) telah dibuka bermula 1 Mac lalu.

Orang ramai yang masih belum melakukan e-filing diingatkan untuk berbuat demikian selewat-lewatnya pada 15 Mei bagi penggajian dan 15 Julai bagi perniagaan.

Namun buat mereka yang melakukan secara manual, borang perlu dihantar selewat-lewatnya pada 30 April bagi penggajian dan 30 Jun bagi perniagaan.

Bagi mereka yang menerima pendapatan boleh dikenakan cukai, penting untuk isi borang cukai pendapatan dan membuat bayaran cukai supaya tidak dikenakan tindakan oleh pihak LHDNM.

Baca Artikel Berkaitan: LHDN Dalam Usaha Buru Syarikat & Individu Tak Bayar Cukai

Baca Artikel Berkaitan: Cukai Tertunggak Jadi Punca LHDN Sekat Perjalanan Lebih 180,000 Individu

4 Sebab LHDNM Akan Cari Anda Walaupun Dah Buat e-Filing

Namun tahukah anda, walaupun e-filing telah diisi anda mungkin akan masih dihubungi oleh pihak LHDNM jika melakukan perkara tertentu.

Berikut adalah empat sebab yang dikongsikan di TikTok (@watrilliontaxservices). Katanya, individu tidak akan dicari oleh LHDNM tanpa sebab.

#1. Salah isi borang cukai

Apabila membuat pengisian e-filing, pastikan anda mengisi borang yang betul. Kebiasaannya, mereka yang merupakan pekerja akan mengisi borang e-BE.

Namun bagi individu yang mempunyai perniagaan, mereka haruslah mengisi borang e-B. Selain itu, terdapat juga borang-borang lain seperti e-BT, e-P dan e-TF.

Jika seseorang yang mempunyai perniagaan mengisi borang e-BE, dia akan disiasat memandangkan pendapatan daripada perniagaannya tidak diisytihar.

#2. Tuntut semua pelepasan cukai

Mengisi borang pendapatan bukan untuk mengisytihar harta semata-mata, tetapi individu juga boleh membuat tuntutan pelepasan cukai.

Antara perkara yang boleh dituntut bagi pelepasan cukai termasuklah bagi yuran pengajian, insurans dan caruman, perubatan serta gaya hidup.

Namun jika anda membuat tuntutan penuh bagi kesemua kategori yang dibenarkan, ia pasti akan menimbulkan syak wasangka.

Oleh itu, LHDNM akan melakukan siasatan secara terperinci lebih-lebih lagi sekiranya pendapatan yang diisytihar tidak sekata dengan perbelanjaan yang dituntut.

#3. Tidak hantar borang cukai pada setiap tahun

Seperti yang semua sedia maklum, borang cukai perlu dihantar setiap tahun tanpa mengira kerugian atau keuntungan.

Sebagai contoh, jika anda menghantar borang tersebut bagi taksiran 2024 dan 2022, tetapi tidak berbuat demikian pada 2023 mungkin kerana perniagaan menanggung kerugian.

Namun sebenarnya borang cukai masih wajib dihantar walaupun jika perniagaan mengalami kerugian untuk mengisytihar pendapatan diterima.

#4. Isi maklumat tidak tepat

Di samping itu, anda diingatkan untuk mengisi borang cukai dengan telus dan jujur. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan pihak LHDNM membuat semakan dan menghubungi anda.

Jika anda mengisytihar pendapatan rendah tetapi komitmen tidak setara, seperti kerap bercuti dan menggunakan barangan mewah, ia akan menimbulkan syak wasangka.

Jangan ingat LHDNM tak ‘stalk’ anda di media sosial ya! Kalau anda tersedar ada tersilap isi maklumat pada borang, cepat-cepat buat pembetulan dalam masa yang ditetapkan.

Boleh Lakukan Pindaan Secara Manual, Online Atau BNT Jika Ada Kesalahan

Bagaimana sekiranya anda baru sedar bahawa terdapat kesalahan yang dilakukan pada borang cukai selepas ia dihantar?

Menurut LHDNM di laman X, individu harus mengemukakan surat makluman kesilapan bersama dokumen sokongan ke Pejabat HASiL yang mengendalikan fail cukai pendapatan mereka bagi pindaan secara manual.

Pindaan juga boleh dilakukan secara dalam talian menerusi e-Permohonan Pindaan BE bermula 1 April bagi kes berikut:

  • Terlebih lapor pendapatan.
  • Terkurang tuntut pelepasan/ rebat cukai.

Selain itu, terdapat juga kes tertentu yang memerlukan individu mengemukakan Borang Nyata Terpinda (BNT) dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir pengemukaan BNCP, iaitu:

  • Pendapatan terkurang/ tidak lapor.
  • Perbelanjaan/ tuntutan lain terlebih tuntut.
  • Elaun modal/ intensif/ pelepasan.

BNT bagaimanapun tidak layak lagi dikemukakan selepas tempoh enam bulan tersebut dan individu perlu mengemukakan surat pengakuan sukarela pindaan taksiran.

Pindaan BNT Akan Sebabkan Kadar Cukai Meningkat

Namun begitu, anda diingatkan bahawa kadar dan cara pengiraan kenaikan cukai akan berubah jika permohonan pindaan BNT dilakukan.

Sekiranya pindaan dilakukan dalam tempoh 60 hari, kadar yang dikenakan adalah 10% daripada amaun cukai atau cukai tambahan.

Sebaliknya, pindaan yang dilakukan selepas 60 hari tetapi kurang daripada enam bulan akan dikenakan kadar sebanyak 15%.

Orang ramai harus ambil cakna bahawa pindaan BNT boleh menyebabkan perubahan seperti berikut:

  • Daripada tidak kena cukai kepada kena cukai (Notis Taksiran Asal).
  • Daripada kena cukai kepada cukai tambahan (Notis Taksiran Tambahan).
  • Daripada bayaran balik kepada mengurangkan bayaran balik (Notis Taksiran Asal).

Oleh itu, pastikan segala maklumat yang diisi pada borang nyata adalah betul sebelum ia dihantar.

Jangan Lupa Mohon Pelepasan Cukai Bagi Perbelanjaan Terpilih

Jika anda masih dalam proses membuat pengisian e-filing, jangan lupa untuk memohon pelepasan cukai bagi perbelanjaan pada tahun 2024 supaya dapat mengurangkan cukai yang perlu dibayar.

Bagi mereka yang telah melakukan Potongan Cukai Bulanan (PCB) menerusi majikan, anda juga boleh mendapatkan semula bayaran balik cukai tersebut jika layak.

Berikut kami kongsikan beberapa perkara penting selain pelepasan individu yang anda boleh mohon bagi pelepasan cukai.

  1. Insurans pendidikan dan perubatan (individu, suami, isteri atau anak).
  2. Insurans nyawa.
  3. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
  4. Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
  5. Gaya hidup termasuk perbelanjaan bagi bahan bacaan, komputer peribadi/ telefon pintar, langganan internet, peralatan dan sewaan sukan serta kenderaan elektrik.
  6. Perbelanjaan perubatan (diri sendiri, pasangan atau anak) dan untuk ibu bapa.
  7. Pemvaksinan.
  8. Pemeriksaan dan rawatan pergigian.
  9. Pelepasan anak bawah 18 tahun serta atas 18 tahun yang masih belajar.
  10. Yuran taska/ tadika berdaftar anak.

Diingatkan juga supaya menyimpan resit bagi kesemua perbelanjaan yang dimohon pengecualian cukai selama tempoh tujuh tahun dari tahun taksiran.

Sumber: LHDNM

Baca Artikel Berkaitan: LHDN Wajibkan Guna E-Perkhidmatan Bagi Pencukaian Bermula 1 September

Baca Artikel Berkaitan: T20 Sumbang 85% Cukai Pendapatan Peribadi Pada Tahun 2022 – LHDN


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook,  Twitter, Threads  dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd