‘Power Nap’, Makanan Seimbang & 5 Lagi Tips Belajar Buat Murid Ketika Ramadan
Setiap kali bulan puasa, mesti ramai di kalangan anak-anak sekolah yang tidak mahu mengulang kaji pelajaran dengan alasan badan yang sudah lemau dan penat.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Keterujaan dalam menyambut bulan Ramadan semakin dirasai. Rata-rata orang ramai juga dilihat mula melakukan persediaan berpuasa dari segi mental dan fizikal termasuklah golongan pelajar.
Antara cabaran yang dilalui oleh kumpulan tersebut sepanjang bulan ini adalah kepenatan yang membawa kepada kesukaran untuk fokus ketika mengulang kaji pelajaran.
Walaupun sudah sedaya upaya mengekalkan tenaga dan menahan ngantuk, tetapi masih ramai pelajar tewas dan bertindak menangguhkan segala tugasan yang ada.
7 Tips Buat Pelajar Untuk Fokus & Bertenaga Ketika Bulan Puasa
Buat mereka yang bergelar pelajar, di sini kami kongsikan beberapa tips yang anda boleh cuba sepanjang bulan Ramadan ini. Jangan jadikan badan penat dan lesu supaya tidak ulang kaji ya! Antaranya:
#1. Ambil Pemakanan Seimbang Ketika Sahur
Sebenarnya ramai di kalangan individu yang menitikberatkan kekenyangan perut daripada kualiti makanan yang diambil sewaktu bersahur.
Oleh disebabkan mentaliti sebegitu, orang ramai akan mengambil seberapa banyak makanan yang boleh sebelum azan Subuh berkumandang.

Ia bukan sahaja membuatkan perut senak malah, pemakanan yang tidak seimbang pada ketika itu boleh membuatkan mental dan fizikal para pelajar cepat berasa penat dan lesu sepanjang hari. Bahkan sekaligus membuatkan murid-murid tidak dapat fokus belajar.
Antara beberapa jenis makanan berkhasiat yang boleh diambil adalah seperti oat, chia seed, epal, jus buah asli, avokado, sayur-sayuran, beras perang, kurma, protein sebagai contoh ayam, daging, ikan, atau telur dan banyak lagi.

Baca Artikel Berkaitan: Nak Bangun Sahur Dengan Mudah? Ini Tips Penting Untuk Korang
Baca Artikel Berkaitan: Doktor Kongsi Makanan & Minuman Perlu Elak Ketika Sahur, Take Note!
Baca Artikel Berkaitan: Tips Kekal Bertenaga Sepanjang Bulan Ramadan. Paling Penting, Bangun Sahur!
#2. Lakukan Latihan Pernafasan
Seperti yang kita tahu, selalunya cuaca akan panas berdenting sepanjang bulan puasa. Perkara itu boleh membuatkan para pelajar ini lebih susah untuk kekal produktif dan belajar dengan fokus.
Inisiatif yang boleh dilakukan adalah dengan membuat latihan pernafasan. Yang paling penting, ia boleh dipraktikkan di mana-mana sahaja tidak kira di dalam kelas, rumah dan lain-lain.
Latihan pernafasan selama 2-3 minit mampu meningkatkan kadar oksigen di dalam otak sekaligus memudahkan pelajar bertenaga ketika seharian berpuasa.
Baca Artikel Berkaitan: Cuaca Panas Bukan Halangan, Ini 7 Tips Kekal Sihat & Bertenaga Di Bulan Ramadan
#3. Belajar Pada Waktu Yang Sesuai
Seterusnya adalah memilih waktu yang sesuai bagi mengulang kaji pelajaran. Dalam konteks ini, masa terbaik adalah selepas mengambil sahur iaitu belajar selama 30-60 minit.
Hal ini kerana otak berada dalam keadaan segar dan mampu memproses semua yang dibaca atau dihafal selepas waktu Subuh. Kebiasaannya, ramai di antara kita yang sambung tidur semula selepas sahur.
Namun perlu diingatkan bahawa perbuatan itu sebenarnya akan membuatkan anda lebih lemah selepas bangun. Hal ini berlaku berkemungkinan disebabkan oleh kitaran tidur yang tidak optimal.
Baca Artikel Berkaitan: Ingin Kekal Bertenaga Sepanjang Ramadan? Jom Amalkan 8 Makanan Sunnah Ini

#4. Buat List-To-Do
Menyediakan senarai perkara atau tugasan memudahkan para pelajar untuk mengulang kaji pelajaran dengan lebih teratur. Lumrah sebagai seorang manusia, kita akan mudah terlupa lebih-lebih apabila badan sedang penat.
Mungkin sesetengah individu juga akan teringat dan leka tentang jam berbuka puasa sehinggakan terlupa tentang pembelajaran yang perlu diselesaikan pada hari tersebut.
Bukan itu sahaja, senarai List-To-Do ini juga membantu mengurangkan stres para pelajar.

#5. Banyakkan Doa & Solat Sunat
Seperti semua sedia maklum, antara kelebihan yang dikhususkan sepanjang bulan Ramadan adalah ganjaran pahala yang berlipat-lipat kali ganda buat para Muslim yang beramal soleh.
Menggunakan peluang keemasan ini, para pelajar boleh meluangkan masa untuk beribadah sebagai contoh memperbanyakkan doa dan solat sunat.
Dalam doa itu juga, anda boleh meminta agar segala urusan pembelajaran anda dipermudahkan dan diberikan fokus berkekalan sepanjang bulan penuh mulia ini. Insya-Allah dengan reda Tuhan Yang Maha Esa, anda tidak akan rasa tercabar untuk mengulang kaji dengan bersungguh-sungguh sepanjang 30 hari berkenaan.

#6. Amalkan Power Nap Sebelum Zohor
Memanfaatkan puasa anda dengan perkara yang berfaedah adalah sangat dituntut. Daripada anda menghabiskan masa dengan benda sia-sia, para pelajar boleh mengambil masa lebih kurang 10-30 minit untuk tidur sebentar.
Tidur dalam tempoh masa yang sekejap ini bagus untuk menambah semula tenaga anda lebih-lebih lagi pada waktu siang. Walaupun ia sekejap, tetapi tidur tersebut sangat berkualiti.

Untuk info, nama lain bagi ‘power nap’ ini adalah qailulah yang membawa maksud berehat pada pertengahan siang walaupun tidak tidur. Qailulah juga merupakan salah satu perbuatan sunat yang disepakati jumhur ulama.
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan Ibnu Abbas daripada Nabi SAW. Baginda bersabda:
قِيلُوا فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ لَا تَقِيلُ
Maksudnya: ”Lakukanlah qailulah. Sesungguhnya syaitan tidak berehat.”
Riwayat Al-Tabarani (28) di dalam Al-Mu’jam Al-Awsat.
Baca Artikel Berkaitan: Pelajar ‘Power Nap’ Selama 10 Minit, Tindakan Sekolah Ini Dapat Pujian Netizen
#7. Sentiasa Positif & Gembira Ketika Belajar
Yang terakhir adalah dengan mengekalkan kegembiran dan mentaliti yang positif sepanjang bulan Ramadan. Memetik Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, menimba ilmu juga dikira sebagai satu jihad.
Menurut ulamak, jihad adalah perbuatan mengerah sepenuh kemampuan untuk berjuang pada jalan Allah SWT menggunakan nyawa, harta, lisan dan lain-lain.
Oleh disebabkan itu, golongan pelajar dinasihat untuk tidak mengeluh sepanjang proses pembelajaran kerana ia juga adalah satu ibadah. Banyak juga pahalanya jika anda kerahkan tenaga yang ada sepanjang bulan puasa itu untuk mengulang kaji pelajaran.

Buat para Muslim, kami dari team TRP mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa dengan sempurna dan diberkati segala amalan oleh Allah SWT. Kepada para pelajar pula, jangan jadikan puasa untuk anda mengelat ulang kaji pelajaran ya!
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.