Amalkan 3 Doa Ini Bagi Sambut Ketibaan Ramadan, Nampak Anak Bulan Pun Ada Doanya
Orang soleh di zaman dahulu sentiasa memperbanyakkan doa agar diberi rezeki untuk bertemu dengan bulan Ramadan.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Bulan Syaaban kini sudah menghampiri penghujungnya, yang menandakan Ramadan bakal tiba tidak lama lagi.
Dalam menghadapi bulan berpuasa, umat Islam sudah tentu akan menyediakan diri dari segi fizikal dan rohani bagi melakukan pelbagai ibadah demi meraih banyak pahala.
Selain daripada menyiapkan diri untuk melakukan ibadah berpuasa dalam bulan Ramadan itu sendiri, terdapat juga doa-doa yang boleh diamalkan demi menyambut ketibaan bulan suci tersebut.
Baca Artikel Berkaitan: Cuaca Panas Bukan Halangan, Ini 7 Tips Kekal Sihat & Bertenaga Di Bulan Ramadan
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Ramai Terlepas Pandang! Ini 5 Perkara Yang Kurangkan Pahala Puasa Di Bulan Ramadan
Baca Artikel Berkaitan: ‘Power Nap’, Makanan Seimbang & 5 Lagi Tips Belajar Buat Murid Ketika Ramadan
3 Doa Sempena Ramadan Yang Boleh Dibaca
Merujuk kepada laman web eCentral, terdapat tiga doa yang boleh diamalkan demi menyambut ketibaan Ramadan termasuk yang dikongsikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum ini.
#1. Doa Menyambut Bulan Ramadan
Kehadiran bulan mulia ini disambut oleh orang soleh di zaman dahulu (para salafussoleh yang merangkumi sahabat, tabi’in, dan tabi’ut tabi’in) dengan penuh kegembiraan.
Mereka sentiasa memperbanyakkan doa agar dikurniakan rezeki untuk bertemu Ramadan, selain diberi keberkatan, keimanan dan keselamatan bagi menjalani bulan yang suci itu.
Salah satu doa menyambut Ramadan telah diriwayatkan oleh Imam Tabrani dalam Kitab al-Du’a (913):
اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا
Maksudnya: “Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadhan, sejahterakanlah Ramadhan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu).”

#2. Doa Melihat Anak Bulan Ramadan
Apabila tibanya Ramadan, cerapan anak bulan akan dilakukan bagi memastikan hari pertama puasa bermula. Bagi tahun ini, JAKIM menganggarkan Ramadan akan bermula pada Ahad (2 Mac).
Namun sekiranya anak bulan kelihatan ketika cerapan hilal pada 28 Februari kelak, hari pertama puasa akan jatuh pada keesokan harinya iaitu Sabtu (1 Mac).
Dalam melakukan cerapan hilal, Rasulullah SAW telah mengajarkan doa buat umat Islam apabila melihat anak bulan Ramadan:
اللهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيمَانِ، وَالسَّلامَةِ وَالْإِسْلامِ، رَبِّي وَرَبُّكَ اللهُ
Maksudnya: “Ya Allah, naungilah kami dengan keamanan dan keimanan serta keberkatan, keselamatan dan kesejahteraan. Tuhanku dan tuhanmu adalah Allah.”
Riwayat Ahmad (1397)

#3. Doa Di Ambang Ramadan
Ketika menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan, setiap umat Islam pasti mahu berada dalam keadaan yang sihat sejahtera agar ia dapat dijalankan dengan sempurna.
Oleh itu, berdoalah pada Allah SWT agar dikurniakan kesihatan tubuh badan dan kekuatan untuk melakukan ibadah berpuasa selama sebulan tanpa lelah.
Menurut Sayyidina Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Saidina Ali bin Abi Talib RA mengamalkan tiga doa menjelang Ramadan seperti berikut:
- Ya Allah, berikanlah kepadaku kesihatan dalam tubuh badan ini daripada sebarang penyakit.
- Ya Allah, berikan kepadaku kelapangan daripada kesibukan.
- Ya Allah, berikanlah bagiku cukup dengan sedikitnya tidur.
Muhasabah Diri & Bertaubat Agar Menyambut Ramadan Dalam Keadaan Bersih
Di samping mengamalkan doa-doa yang dikongsikan di atas, umat Islam juga boleh menyiapkan diri terlebih dahulu sebelum menyambut ketibaan Ramadan.
Bila dah lama tak puasa, anda mungkin akan lebih senang berasa lapar dan penat. Jadi, anda bolehlah cuba puasa lebih awal agar badan tidak ‘terkejut’ kelak. Khamis ini merupakan hari terakhir di mana puasa sunat dianjurkan sebelum Ramadan tiba.
Selain itu, anda juga boleh bermuhasabah diri dan bertaubat supaya dapat menyambut bulan suci ini dalam keadaan diri yang bersih.
Perbanyakkan juga ibadah seperti solat sunat dan membaca al-Quran untuk mempersiapkan rohani sekaligus mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Baca Artikel Berkaitan: 5 Cara Persiapkan Diri Sebelum Bulan Ramadan Menjelang Tiba
Baca Artikel Berkaitan: Tips Kekal Bertenaga Sepanjang Bulan Ramadan. Paling Penting, Bangun Sahur!
Baca Artikel Berkaitan: Ingin Kekal Bertenaga Sepanjang Ramadan? Jom Amalkan 8 Makanan Sunnah Ini
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.