Ini Sebab Kenapa Soalan ‘Nak Makan Mana’ Susah Untuk Jumpa Jawapannya
Persoalan tentang ‘nak makan mana’ yang susah untuk dijawab ini sebenarnya ada kaitan dengan psikologi dalam membuat pilihan.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Selain dari soalan subjek matematik tambahan, ada satu lagi soalan yang paling susah untuk dijawab dalam dunia ini iaitu ‘Nak makan mana?’ dan ‘Nak makan apa?’.
Kalau soalan ini ditanya pada golongan wanita, sampai esok pun belum tentu pergi makan.
Kadangkala tak faham juga, kenapalah persoalan itu agak sukar untuk bertemu dengan jawapannya. Tak kisahlah tanya pada anak umur lima tahun atau nenek berusia 78 tahun, mesti kebanyakannya akan jawab ‘tak tahu’.

Ini Sebab Mengapa Soalan ‘Makan Di Mana’ Sukar Untuk Dijawab
Menerusi bebenang dimuat naik oleh seorang ahli psikologi klinikal di laman X miliknya (@AimanPsikologi), individu ini mendedahkan mengapa soalan ‘nak makan mana?’ sungguh susah untuk mendapat jawapannya.
Berdasarkan psikologi, ia disebabkan oleh satu istilah yang dipanggil sebagai ‘The Paradox of Choice‘ di mana seseorang itu berdepan dengan terlalu banyak pilihan sehingga menyukarkan mereka untuk membuat keputusan.
Kalau difikir secara logik, makin banyak pilihan, makin seronoklah kita nak pilih kan?Tetapi tidak semudah itu ya.
Sebab contoh, kita disediakan dengan saluran televisyen yang agak terhad pada zaman dahulu sebelum munculnya Netflix, Astro, iFlix dan sebagainya. Dalam berpuluh saluran yang ada, akhirnya kita akan pilih saluran yang sama sahaja, betul tak?
Seorang ahli psikologi dari Amerika Syarikat bernama Barry Schwartz menjelaskan pemahaman berkaitan ‘The Paradox of Choice’ (PoC) ini dengan tiga konsep mudah seperti berikut:
#1. Kelumpuhan Minda Ketika Perlu Membuat Pilihan

Berdasarkan satu eksperimen dilakukan di pusat membeli-belah, terdapat satu gerai jualan yang berniaga 24 jenis jeli dan pelanggan diberi kebebasan untuk memilih mana-mana sahaja untuk dicuba oleh mereka.
Keesokan harinya, konsep yang sama digunakan tetapi perisa yang dijual dikurangkan kepada enam sahaja berbanding 24 jenis pilihan.
Dan siapa sangka dengan teknik mengurangkan jenis jeli itu berjaya membuatkan jualannya naik sehingga 10 kali ganda.
Secara konklusinya, pilihan yang terlalu banyak (24 jenis) menyebabkan pelanggan tidak dapat membuat keputusan dan akhirnya bertindak tidak mahu membelinya.
Apabila dikaitkan dengan lokasi untuk makan di mana, mesti kita akan terbayang pelbagai jenis kedai makan sehingga menjadi punca kepada kelumpuhan minda dalam membuat pilihan.
Dua tiga jam fikir, akhirnya pergi tempat makan yang sama je.
Baca Artikel Berkaitan: “Heaven Sungguh” – Ramai Teruja Lihat Restoran Ini Sediakan Lebih 100 Jenis Lauk Untuk Pelanggan [Video]
#2. Pilihan Yang Terlalu Banyak Membuatkan Keputuan Yang Dibuat Menjadi Lemah

Bila ditanya tentang nak makan mana, akan ada beberapa kriteria yang muncul dalam fikiran seperti nak tempat makan yang senang cari parkir, murah, selesa dan pekerja yang mesra.
Tapi dalam banyak-banyak ciri yang disenaraikan, kita sebenarnya hanya fokus kepada satu atau dua kriteria sahaja dan akhirnya kita akan pilih tempat yang sudah biasa dituju bagi memenuhi kehendak yang dicari.
Tapi dalam hal ini, memang kena ada seorang ‘diktator’ yang membuat keputusan dengan cepat. Kalau nak dapat persetujuan beramai-ramai, makan masa juga.
#3. Pilihan Yang Terlalu Banyak Membuatkan Anda Takut Tersalah Buat Keputusan

Apabila wujud banyak pilihan, akan timbul rasa takut sekiranya mereka tersalah membuat keputusan.
“Jom makan sini, murah. Eh tapi kedai tadi lagi murah kalau ambil menu 4 orang,” salah satu perbandingan yang membuatkan seseorang sukar untuk membuat keputusan.
Nak jumpa kedai yang sempurna, memang susah sikit. Sebab itu bila sudah tahu kedai makan yang ‘kena’ dengan kehendak, terus jadi pelanggan tetap sampai pemiliknya pun sudah kenal kita.
Apa Solusi Untuk Persoalan ‘Nak Makan Mana’ Ini?

Jangan risau, setiap masalah pasti akan ada jawapannya. Bagi menyelesaikan pertanyaan ‘nak makan mana’ ini, berikut adalah tiga tips yang boleh dilakukan iaitu:
- Senaraikan kriteria tempat makan yang kita nak.
- Maksimum tiga ciri sahaja.
- Senaraikan tiga kedai yang menepati kriteria anda.
- Maksimum tiga kedai sahaja.
- Perlu faham yang kita tak akan mudah untuk mendapat pilihan sempurna.
- Terima seadanya dan bersyukur dengan kedai sedia ada.
Tidak dinafikan kehidupan zaman dahulu lebih mudah dan ringkas kerana tidak didedahkan dengan terlalu banyak pilihan. Sekarang baru anda faham kenapa ada kata-kata yang mengatakan ‘less is more’ kan?
Semoga perkongsian ini dapat membantu anda membuat keputusan untuk makan di mana selepas ini!
Baca Artikel Berkaitan: Tak Tahu Nak Makan Mana Di Sunway Pyramid? Ada ‘Mesin’ Yang Boleh Tolong Korang
Baca Artikel Berkaitan: Ini Senarai Makanan Dari A Hingga Z, Boleh Sertai Potluck Ikut Huruf Pertama Nama Sendiri
Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Nombor 5 Destinasi ‘Syurga Makanan’ Paling Popular Di Asia
Mungkin ada yang rasa soalan SPM itu susah. Atau soalan final exam waktu kat universiti.
— Aiman Psikologi 🧠🇲🇾 (@AimanPsikologi) March 27, 2018
Tapi sebenarnya soalan paling susah untuk rakyat Malaysia ialah,
“Nak makan mana?”
Memang susah sungguh nak jawapan soalan ni setiap kali keluar dengan kawan 😂
Baca thread terbaru ini.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.