Orang Awam Boleh Buat Laporan Polis Dalam Talian, Ini Caranya
Antara perkara yang boleh dilaporkan kepada pihak PDRM secara dalam talian adalah kehilangan dokumen penting dan kerosakan dokumen akibat bencana alam.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Apabila ditimpa perkara yang tidak diingini seperti kemalangan, kecederaan akibat diserang atau kehilangan barang, sudah tentu laporan polis akan dilakukan bagi memudahkan pihak berkuasa melakukan siasatan.
Namun kadangkala, orang ramai mungkin tidak berkesempatan untuk hadir ke balai polis bagi melaporkan perkara yang tidak terkait jenayah.
Tahukah bahawa anda sebenarnya boleh juga membuat laporan polis secara dalam talian?
Boleh Laporkan Kehilangan Dokumen Penting Secara Dalam Talian
Perkara ini didedahkan oleh seorang pengguna X, Aina Maukerja, baru-baru ini.
Menurutnya, servis tersebut hanya tersedia bagi kes membabitkan kehilangan dokumen atau barang yang tidak berkaitan dengan jenayah.
Antara contoh kes yang boleh dilaporkan secara dalam talian adalah kehilangan dokumen penting atau barang berharga seperti:
- Kad pengenalan
- Lesen memandu
- Kad kredit atau debit
- Telefon pintar
- Laptop
- Cukai jalan
Selain itu, orang ramai juga boleh melaporkan kehilangan atau kerosakan peralatan atau dokumen yang disebabkan oleh bencana alam seperti banjir secara dalam talian.
Bagi kes pembantu rumah melarikan diri, majikan boleh membuat laporan bagi tujuan untuk memohon pembatalan permit.
Pengadu Perlu Ke Balai Polis Bagi Kes-Kes Kecemasan
Berdasarkan paparan di laman web tersebut, orang ramai dinasihatkan agar menghubungi Pusat Kawalan Malaysia di talian 03-22663333/ 03-20319999, 999 atau balai polis berhampiran bagi Kes-kes Kecemasan yang termasuk:
- Kes yang memerlukan tindakan segera polis
- Kes yang sedang berlaku
- Suspek berada di tempat kejadian atau berhampiran
- Nyawa seseorang sedang terancam
- Kes orang hilang
- Bukti fizikal yang ditinggalkan di lokasi jenayah
Pengadu juga perlu hadir ke balai sekiranya memerlukan tandatangan pegawai bagi pengesahan laporan polis.
Cara-Cara Buat Laporan Polis Dalam Talian
Laporan boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman web e-Reporting PDRM. Pengadu perlulah mendaftar masuk terlebih dahulu menggunakan nombor kad pengenalan dan nama seperti tertera di MYKad atau dokumen pengenalan diri.
Maklumat ini akan disemak secara automatik di laman web tersebut dan sekiranya nama yang diisi tidak menyerupai kad pengenalan, ia akan dinyatakan sebagai ‘rekod tidak sah’.
Selepas log masuk, pengadu akan diingatkan bahawa tidak melakukan sebarang laporan berkait jenayah atau mengemukakan laporan palsu.
Pengadu juga akan diminta untuk menjawab tiga soalan sebelum boleh membuat laporan polis.
Kemudian, pengadu akan diminta untuk mengisi butiran peribadi, butiran kejadian, keterangan kejadian dan perakuan sebelum laporan dapat dicetak.
Tambah Aina, laporan polis itu boleh dibawa ke agensi berkenaan untuk tindakan selanjutnya.
Kesalahan Memberi Maklumat Palsu
Orang ramai diingatkan agar menggunakan servis ini dengan berhemah dan tidak mengemukakan sebarang maklumat palsu.
Berdasarkan Seksyen 182 Kanun Keseksaan, individu yang memberi maklumat palsu boleh dikenakan hukuman maksimum enam bulan penjara, atau denda sehinga RM2,000, atau kedua-duanya sekali.
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula menetapkan bahawa penggunaan kemudahan rangkaian untuk menghantar apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi palsu, membawa hukuman maksimum satu tahun penjara, atau denda sehingga RM50,000.00, atau kedua-duanya sekali.
Jika disabit kesalahan, individu boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan yang diteruskan selepas itu.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.