[Video] Selalu Rasa Liat Nak Bangun Solat Tahajud? Ini Tips Anda Boleh Cuba
Menurut pendakwah bebas Ustaz Lah, segelintir golongan Muslim gagal bangun untuk solat sunat tahajud walaupun sudah berhasrat menunaikannya.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Umum mengetahui, umat beragama Islam dituntut untuk mengerjakan solat lima waktu seperti yang termaktub dalam Rukun Islam yang ke-2.
Selain solat lima waktu yang wajib, para Muslim juga disunatkan untuk menunaikan solat sampingan lain yang boleh meningkatkan ganjaran pahala dan menyempurnakan segala kekurangan ketika mengerjakan solat fardu.
Antara solat sunat yang sering dilakukan oleh orang ramai adalah solat sunat tahajud pada waktu pagi sebelum azan Subuh berkumandang.
4 Tips Untuk Bangun Tunaikan Solat Sunat Tahajud Dengan Mudah
Baru-baru ini, pendakwah bebas Ustaz Abdullah Abdul Razak atau lebih mesra dikenali sebagai Ustaz Lah berkongsi beberapa info tentang solat tahajud menerusi hantaran di akaun TikToknya.
Menurut Ustaz Lah, segelintir golongan Muslim selalu ‘kecundang’ untuk qiamullail di waktu pagi dan mengerjakan solat sunat tahajud.
“Dah ada hasrat tapi selalu gagal (bangun),” ujar beliau.
Oleh disebabkan itu, Ustaz Lah telah berkongsi empat tips yang boleh dipraktikkan bagi memudahkan anda bangun setiap kali ingin menunaikan solat sunat tahajud. Antaranya:
#1. Niat Mahu Tunaikan Solat Tahajud
Pertama sekali sebelum tidur, anda perlu berniat kepada Allah SWT untuk mengerjakan solat sunat tahajud. Niat tersebut haruslah bersungguh-sungguh dan tidak diambil sambil lewa.
“(Niat) daripada jiwa bukan sekadar di bibir. Ini penting sebab kita dah set dekat minda untuk bangun pagi nanti,” kata Ustaz Lah.
#2. Bersuci & Berwuduk
Seterusnya adalah memastikan diri anda bersuci dan berada dalam keadaan berwuduk sebelum masuk tidur. Hal ini kerana, individu akan diberkati sekiranya tidur dalam bersuci.
“Tidur akan rasa lebih tenang, bangun akan rasa lebih segar,” ujar pendakwah itu.
Badan yang segar akan membuatkan anda tidak ‘liat’ untuk bangun dari tidur dan mengerjakan solat seperti yang diniatkan.
#3. Pasang Penggera Jam
Jika kedua-dua tips di atas masih tidak berjaya, jangan lupa untuk memasang penggera (alarm) jam.
Selalunya, individu akan meletakkan alarm itu berdekatan bantal atau meja kecil di sebelah katil, namun tindakan itu adalah kurang efektif yang mana anda akan menghentikan ia lalu meneruskan tidur seperti biasa.
Bagi mengatasi masalah tersebut, anda harus meletakkan penggera jam berjauhan dari tempat tidur. Ia sekaligus membuatkan anda automatik bangun dari tempat tidur untuk mencapai alarm yang bising itu.
Apabila dah bangun, anda boleh terus ke bilik air untuk mengambil wuduk dan solat tahajud.
#4. Kawal Pemakanan Sebelum Tidur
Yang terakhir ini merupakan perkara yang selalu dilakukan oleh orang ramai tanpa sedar iaitu makan dengan jumlah banyak sebelum tidur.
“Perut yang kenyang membuatkan kita berat untuk bangun. Lagipun Nabi SAW ajar malam ini kita makan sederhana sahaja. Bayangkan malam yang penuh hening kita sujud dan merendahkan diri kepada Allah.
“Rasa tenang tu lain macam tuan-tuan. Waktu itu juga adalah waktu kita paling dekat dengan Allah SWT,” tambah ustaz berkenaan.
@ustazlahofficial Jom kongsikan tips bangun tahajjud ini dan amalkan bersama! Semoga kita semua dipilih oleh Allah untuk merasai kemanisan ibadah di sepertiga malam, saat paling dekat untuk bermunajat dan memohon keampunan-Nya. Moga kita terus istiqamah dan diberkati dalam setiap langkah. UstazLah 🌹 #Ustazlahofficial #Ustazlah #pesanustazlah #SolatTahajjud #Heblun #Motivasi #Tahajjud #Qiamullail #muslimtom #fyp ♬ original sound – UstazLah
Waktu Tunaikan Solat Tahajud
Memetik portal Maktabah al-Bakri, terdapat tiga pendapat mengenai cara dan waktu melakukan solat tahajud iaitu:
- Pada mulanya tidur dan bangun untuk solat, kemudian tidur semula dan mengerjakan solat.
- Bersolat setelah tidur terlebih dahulu.
- Dilakukan selepas solat Isyak.
Inilah yang disebut oleh para ulama tabi’in berkaitan cara tahajud. Boleh jadi beliau melandaskan pandangan itu kepada perbuatan Nabi SAW yang tidur dan solat, kemudian tidur dan bangun bersolat.
Manfaat Solat Tahajud
Banyak sebenarnya hikmah dan kelebihan mengerjakan solat sunat tahajud ini, sebagai contoh:
- Dikasihi oleh para ahli ibadat dan orang-orang mukmin.
- Wajah bersih bersinar dan bercahaya semasa dibangkitkan di padang mahsyar.
- Dipermudahkan segala hisab ke atasnya.
- Senang melalui Titian Siratul Mustaqim umpama kilat yang menyambar.
- Menjauhkan diri daripada kebinasaan.
Baca Artikel Berkaitan: Hukum Solat Sunat Secara Duduk Tanpa Keuzuran
Baca Artikel Berkaitan: Cara Solat Sunat Tarawih Di Rumah & Solat Sunat Witir Paling Ringkas Untuk Panduan Semua
Baca Artikel Berkaitan: [Tips] Kalau ‘Stuck’ Dalam Trafik, Ini Cara Untuk Tunaikan Solat Sunat Tarawih Dalam Kereta
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram