Ini 5 Tanda Untuk Kesan Lubang Benam, Hati-hati Dengan Kawasan Persekitaran!
Antara petanda awal berlakunya lubang benam atau ‘sinkhole’ adalah terdapat lekuk pada permukaan tanah yang rata.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Jumaat lalu (23 Ogos), satu insiden tidak diingini dilaporkan berlaku kepada seorang pelancong wanita warga India iaitu Vijaya Lakshmi, 48, yang terjatuh dan tertimbus ke dalam lubang di Masjid India.
Kejadian yang berlaku menimbulkan kegusaran orang ramai kerana sehingga ke hari ini (27 Ogos), mangsa masih belum dijumpai meskipun sudah memasuki hari kelima bagi operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan oleh pasukan penyelamat.
Kes ini juga telah menyebabkan tularnya beberapa dakwaan kononnya bandar Kuala Lumpur sudah lagi tidak selamat untuk diduduki kerana dikatakan wujud gua batu kapur di bawah tanah.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Wanita Terjerlus Di Masjid India: Datuk Bandar Nafi Dakwaan KL Tak Selamat
Baca Artikel Berkaitan: “Kandungan Adalah Palsu” – UM Nafi Artikel ‘Gua Kosong Bawah KL’, Tiada Ahli Geologi Nama Dr Sarah Jamal
Tanda-tanda Lubang Benam Di Kawasan Sekitar
Lubang benam atau ‘sinkhole’ boleh muncul secara tiba-tiba dan berisiko untuk mengancam keselamatan.
Berikutan kebimbangan rakyat mengenai insiden yang berlaku, Public Health Malaysia (PHM) menerusi hantaran di laman X (@health_malaysia) telah berkongsi beberapa petanda yang boleh dikesan sekiranya terdapat lubang benam di kawasan persekitaran.
Antara tanda-tandanya adalah seperti berikut:
- Retakan pada jalan atau dinding
- Retakan itu boleh muncul tanpa sebab dan mungkin ia merupakan petanda awal kepada wujudnya lubang benam.
- Wujud lekuk pada tanah
- Tanah akan dilihat seperti tenggelam seolah-olah terbentuknya sebuah lekuk dan menjadikan permukaan tidak rata.
- Pokok atau tiang mulai condong
- Posisi objek tetap mula berubah di mana ia secara tiba-tiba dilihat agak senget berbanding kedudukan asalnya yang tegak.
- Paip dan pembetung mengalami masalah
- Paip bocor atau tersumbat secara tiba-tiba.
- Perubahan paras air tanah
- Penurunan paras air secara mendadak boleh menjadi petunjuk kepada masalah yang berlaku di bawah tanah.
Sekiranya anda mengesyaki sebarang petanda lubang benam ini berlaku di mana-mana kawasan, segera laporkan kepada pihak berkuasa tempatan agar tindakan segera dapat diambil.
Kejadian yang berlaku pada seorang pelancong warga negara India semalam boleh berlaku pada sesiapa sahaja.
— Public Health Malaysia (@health_malaysia) August 24, 2024
Semoga usaha pencarian dipermudahkan. Sinkhole boleh muncul secara tiba-tiba dan mengancam keselamatan anda. Jangan abaikan tanda-tanda awal ini:
Thread pic.twitter.com/NuKfBuSp6A
Bagaimana Boleh Berlakunya Lubang Benam?
Pasti ada yang tertanya-tanya, bagaimana boleh berlakunya lubang benam atau ‘sinkhole’?
Menerusi sumber The Star yang memetik Tinjauan Geologi Britain, lubang benam adalah kejadian pemendapan semula jadi pada permukaan jalan yang berlaku disebabkan oleh pelarutan batu-batu di bawah tanah pada kedalaman tertentu.
Pelarutan itu terjadi apabila air hujan berasid menghakis batu-batu pada bawah tanah dan merosakkan lapisan yang memberi sokongan kepada permukaan jalan.
Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai jenis lubang benam yang berlaku disebabkan proses yang berbeza termasuklah pelarutan, runtuhan dan penghakisan.
Selain hujan lebat atau banjir pada permukaan jalan, kerja-kerja pembinaan, paip sistem saliran bocor, penggalian bawah tanah dan paip utama pecah turut menyumbang kepada punca berlakunya tanah jerlus.
Kejadian Tanah Jerlus Di Jalan Masjid India
Sebelum ini, Vijaya Lakshmi telah terjatuh ke dalam lubang benam yang menyebabkan dirinya juga tertimbus ke dalam tanah.
Sewaktu kejadian, suami kepada wanita berkenaan sempat mendengar jeritan isterinya meminta tolong sebelum suara itu terus ‘lesap’ dari pendengarannya.
Kejadian yang berlaku pada jam 8 pagi itu tidak menunjukkan sebarang petanda buruk di lokasi kejadian sebelum tragedi tidak diingini itu berlaku.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Wanita Terjerlus Di Masjid India: Suami Dedah Dengar Jeritan Isteri Sebelum Senyap
Baca Artikel Berkaitan: Ahli Geosains Jelaskan Tentang Formasi Batu Kapur Di Kuala Lumpur
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.