Boleh Ke Sapu Minyak Gamat Pada Luka Kucing? Ini Penjelasan Pakar
Segelintir pemilik haiwan bertindak menyapu minyak gamat yang sering digunakan oleh manusia pada luka kucing.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Setiap jenis kucing mempunyai ragam yang tersendiri. Buat mereka yang membela kucing sebagai haiwan peliharaan di rumah, pasti anda bersetuju sesetengah si bulus mempunyai sikap nakal dan suka bergaduh.
Kadangkala, tingkah laku kucing yang tidak terkawal juga mampu menyebabkan kucing tersebut mengalami luka pada bahagian badan.
Walau bagaimanapun, segelintir pemilik kucing enggan membawa haiwan mereka ke klinik bagi mendapatkan rawatan lanjut. Hal ini mungkin disebabkan oleh tidak mahu mengeluarkan kos atau kekangan masa.

Baca Artikel Berkaitan: Gara-Gara Mahu Rawat Luka, Tuan Kucing Tak Sangka Tukarkan Si Comel Jadi Pikachu
Boleh Ke Guna Minyak Gamat Untuk Rawat Luka Kucing?
Seorang veterinar dikenali sebagai Dr Syifa menerusi hantaran di laman TikTok (@tuahvet) pernah berkongsi beberapa fakta tentang cara-cara merawat kucing.
Seorang lelaki sebelum ini pernah bertanya, “Boleh ke letak minyak gamat pada luka kucing?”
Menjawab kepada persoalan itu, Dr Syifa menegaskan bahawa langkah tersebut tidak boleh dilakukan. Hal ini kerana, kucing mempunyai jenis kulit yang agak nipis jika dibandingkan dengan manusia.

Minyak gamat pada asasnya digunakan oleh manusia kerana kita mempunyai kulit tebal dan juga lapisan yang banyak.
Sekiranya minyak gamat diletakkan pada permukaan nipis seperti kulit kucing, luka sedia ada boleh bertambah teruk. Bukan itu sahaja, kulit kucing anda juga berisiko untuk mengalami kesan koyakan.
Terdahulu, seorang pakar haiwan dikenali sebagai Dr Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali turut berkongsi bahawa ada kes di mana kulit kucing melepuh seperti terbakar selepas disapukan minyak gamat.

Cara Terbaik Rawat Luka Kucing
Kadangkala, pemilik haiwan peliharaan lebih gemar menggunakan petua-petua tradisional yang dikongsikan oleh orang ramai di media sosial.
Namun perlu diingatkan bukanlah semua cara-cara tersebut sesuai dengan luka yang dihadapi oleh kucing anda.
Anda dinasihatkan untuk mendapatkan bantuan pakar agar kucing boleh sembuh dengan cepat. Sekiranya kucing dibawa ke veterinar terdekat, si bulus anda akan diberikan rawatan terbaik.
Pertama sekali, pihak klinik akan mencukur bulu kucing pada kawasan sekeliling luka. Mencukur bulu adalah penting kerana bulu kucing pada umumnya mempunyai banyak bakteria, kuman dan kotoran.
Oleh disebabkan itu, mencukur bulu adalah satu keperluan bagi memasikan kekotoran tidak masuk ke dalam luka.
Jika kuman memasuki luka kucing, proses pemulihan akan mengambil masa yang lebih panjang.
Selepas mencukur bulu, pakar akan menggunakan cecair hibiscrub untuk mencuci luka sekeliling luka kucing. Akhir sekali, iodin akan digunakan sebagai antiseptik bagi mencuci serta membunuh kuman di kawasan luka berkenaan.
Terus Bawa Ke Klinik Jika Dah Terguna Minyak Gamat Pada Luka Kucing
Menjengah ke ruangan balas, ada juga individu yang berkata bahawa dia sudah pun menggunakan minyak gamat untuk merawat kucing dan keadaan haiwannya semakin teruk.
Bagi menyelesaikan masalah tersebut, Klinik Tuah Vet menyarankan agar pemilik membawa kucing ke klinik dengan kadar segera untuk tujuan pemeriksaan dan rawatan.

Baca Artikel Berkaitan: “Perangai Manusia Tak Berakal” – Kucing Dicat Warna Ungu Oleh Individu Tak Berhati Perut
Baca Artikel Berkaitan: Kucing Peliharaan Disimbah Minyak Panas Dengan Jiran Sehingga Luka
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram