Sony Hidupkan Semula Walkman Menerusi Tiga Model Baharu Bernilai RM24,000
Sony Walkman telah diperkenalkan pada Julai 1979 dengan pelancaran pemain kaset TPS-L2.
- Sony memperkenalkan tiga model Walkman baharu, diketuai NW-WM1ZM3 bersalut emas berharga RM24,000, menyasarkan golongan audiophile.
- Ketiga-tiga model hadir dengan skrin lebih besar, enjin audio dipertingkatkan, teknologi AI dan sistem Android terkini.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sony Group Corp telah menghidupkan semula jenama Walkman menerusi tiga pemain muzik digital direka khas untuk peminat dan golongan audiophile.
Menurut Bloomberg, syarikat gergasi Jepun itu memperkenalkan Walkman menerusi satu kenyataan rasmi dan menjadi yang pertama membawa semula nama tersebut sejak beberapa tahun lalu.
Koleksi baharu ini diketuai oleh model utama NW-WM1ZM3 disalut dengan emas bakal dijual pada harga RM24,000 menyasarkan peminat yang sanggup membayar lebih demi mendapatkan kualiti audio tinggi.
Tiga Model Walkman Baharu Bermula Dengan Harga RM7,757

Untuk info, koleksi baharu Walkman ini menampilkan tiga model berbeza dengan harga bermula RM7,757 sehingga RM24,000.
Menurut Sony, ketiga-tiga model Walkman ini direka bagi memberikan pengalaman bunyi mudah alih terbaik kepada audiophile.
Menariknya, model NW-WM1ZM3 mencuri tumpuan kerana bahagian badannya diperbuat daripada tembaga bebas oksigen disalut emas.
Malah, skru pada model tersebut turut menerima salutan emas yang menurut Sony, mewujudkan sambungan stabil bagi menghasilkan bass lebih kuat, soundstage luas dan frekuensi tinggi halus serta panjang.
Selain itu, model NW-WM1AM3 yang berharga RM12,249 menggabungkan badan aluminium dengan chasis belakang bersalut emas. Manakala, NW-ZX900 pula ditawarkan pada harga RM7,757.
Skrin Lebih Besar, Enjin Baharu, Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) Jadi Daya Tarikan Utama

Harga yang mahal tersebut mestilah dihadiri dengan pelbagai ciri-ciri baharu, kan?
Kedua-dua model siri WM1 iaitu NW-WM1ZM3 dan NW-WM1AM3 dilengkapkan dengan skrin seluas 5.5 inci resolusi 1080p, lebih besar dan tajam daripada edisi tahun 2022.
NW-ZX900 turut dilengkapi dengan skrin seluas 5 inci resolusi 1080p yang dinaik taraf daripada 720p pada model sebelumnya.
Selain itu, kualiti and pemprosesan audio menjadi tumpuan utama Sony Walkman.
Menurut Sony, enjin DSD Remastering telah dipertingkatkan bagi membolehkan format muzik digital mempunyai kualiti bunyi hampir menyerupai audio analog.
Dalam masa sama, teknologi AI turut digunakan bagi mengenal pasti genre lagu ketika menggunakan fail berkualiti rendah, lalu mempertingkatkan tahap frekuensi tinggi dan butiran lebih halus.
Platform muzik popular seperti Spotify dan Apple Music kini membolehkan pengguna muat turun dan mendengar kualiti audio lossless resolusi tinggi.
Ketiga-Tiga Model Menggunakan Sistem Android
Model NW-ZX900 bakal menggunakan Android 16 yang jauh lebih moden berbanding Android 12 pada model sebelum ini.
Menyentuh bab jangka hayat bateri, Sony menyatakan NW-WM1ZM3 dan NW-WM1AM3 mampu bertahan sehingga 31 sehingga 35 jam bergantung kepada kaedah penggunaan.
Namun, anggaran dari Sony ini berdasarkan penggunaan fail MP3 berkualiti rendah 128 kb, bukannya audio berkualiti tinggi.
Pengguna Turut Memerlukan Headphone Berkualiti Tinggi

Bagi menikmati sepenuhnya ciri-ciri baharu Sony Walkman ini, pembeli memerlukan headphone berkualiti tinggi yang mampu menghasilkan setiap bunyi halus dalam sebuah lagu tersebut.
Buat masa ini, ketiga-tiga model ini telah dibuka untuk tempahan namun tarikh penghantarannya masih belum diumumkan oleh Sony.
Sony turut berdepan saingan daripada beberapa jenama seperti Astell & Kem yang menawarkan produk sama pada harga jauh lebih murah.
Sony Walkman Merupakan Salah Satu Legasi Syarikat Gergasi Ini
Nama Walkman kekal menjadi salah satu produk penting dalam pengeluaran Sony cuma kali ini ia menyasarkan golongan khusus berbanding pasaran mainstream.
Seterusnya, Sony juga sering menghasilkan produk untuk peminat audio seperti mikrofon spatial bagi telefon pintar berharga RM1,020 yang diperkenalkan awal bulan ini.
Tambahan pula, syarikat ini turut memperoleh jenama Audeze pada 2023 bagi menghasilkan headphone gaming baharu pada September lalu yang menggunakan teknologi proprietary planar magnetic drive.
Perkara ini dilihat akan memberi manfaat kepada bahagian gaming Sony iaitu, PlayStation.
Apa Itu Audiophile?

Untuk info, istilah audiophile secara definisinya merujuk kepada individu yang mempunyai minat atau cinta mendalam terhadap bunyi atau audio.
Maksudnya mereka sangat mengambil berat tentang muzik dan cara ia didengari dengan menghayati setiap rentak, butiran, alatan dalam sesebuah lagu.
Muzik ialah keutamaan dan bukan sekadar bunyi dimainkan ketika melakukan sesuatu perkara.
Contohnya, mereka gemar mengesan setiap butiran halus sebelum ini kita terlepas pandang ketika mendengar lagu seperti bunyi gitar bass yang hanya boleh didengari ketika dihayati dengan penuh teliti.
Golongan audiophile juga teruja dengan teknologi audio, baik yang baharu mahupun lama.
Baca Artikel Berkaitan: CEO Sony Dedah Tiada Tarikh Pelancaran PS6 Akibat Kenaikan Harga RAM | TRP
Baca Artikel Berkaitan: Tak Lama Lagi CD Bakal Pupus Selepas Sony Menamatkan Pengeluarannya Pada 2028 | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.