Game ‘Jalan KL’ Kenalkan Lokasi Di Ibu Negara Secara Digital Buat Pelancong
‘Jalan KL’ telah dibangunkan oleh Danial Alias sebagai satu surat cinta buat ibu negara Malaysia itu.
- Jalan KL ialah permainan dalam talian 3D percuma yang membolehkan pemain meneroka 26 tempat menarik di Kuala Lumpur secara digital.
- Setiap mercu tanda dalam Jalan KL dilengkapi poskad berisi info ringkas, sejarah, dan pautan Google Maps lokasi sebenar.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kuala Lumpur, itulah ibu negara Malaysia yang tidak pernah tidur dan sering sibuk dengan orang ramai tanpa kira masa.
Manakan tidak, Kuala Lumpur sering menjadi salah satu destinasi pilihan dengan pelbagai mercu tanda dan bangunan bersejarah yang menarik.
Namun, untuk meneroka bandaraya yang padat itu sepenuhnya bukanlah sesuatu yang mudah. Memang banyak masa yang perlu diluangkan!
Satu inisiatif yang diwujudkan oleh pembangun permainan video Danial Alias, Jalan KL, boleh mengubah semua itu.
Pemain Jalan KL Boleh Singgah Ke 26 Tempat Menarik
Jalan KL merupakan sebuah permainan dalam talian dengan rekaan 3D yang memberi peluang kepada pemain untuk meneroka Kuala Lumpur secara digital.
Dengan rekaan yang ringkas dan comel, pemain boleh berkunjung ke 26 tempat-tempat menarik dan mercu tanda di sekitar Kuala Lumpur termasuk Menara Berkembar KLCC, Menara Merdeka 118, Istana Negara, Masjid Jamek dan Jambatan Saloma.
Bukan sekadar sebagai hiburan, Jalan KL juga berfungsi dalam mendidik orang ramai mengenai tempat dikunjungi.
Setiap mercu tanda mempunyai poskadnya yang tersendiri, menampilkan info ringkas serta sejarah mengenai lokasi tersebut.
Malah pemain boleh menyemak cara untuk berkunjung ke lokasi berkenaan menerusi pautan laman web rasmi dan Google Maps yang disertakan.

Lokasi Dalam Jalan KL Tak Ikut Peta Sebenar Kuala Lumpur
Di dalam Jalan KL, pemain boleh memilih untuk berjalan kaki ataupun menaiki kenderaan yang disediakan dalam bentuk van, bas, motosikal dan kereta kebangsaan negara.
Diingatkan bahawa Jalan KL tidak mengikut geografi mahupun peta sebenar Kuala Lumpur. Sebaliknya ia menghimpunkan beberapa lokasi terpilih berdasarkan kepada enam kawasan iaitu:
- City Centre
- Heritage Quarter
- Lake Gardens
- Brickfields & Temples
- Arts & Lakes
- Kampung & Skyline
Walaupun Jalan KL tidaklah berfungsi sebagai peta buat Kuala Lumpur, namun pemain boleh mengakses pautan peta untuk melihat lokasi sebenar yang dikunjungi.
Merupakan satu surat cinta buat ibu kota yang disayangi, Danial menghasilkan permainan itu bagi membantu warganegara mahupun pelancong untuk lebih mengenali Kuala Lumpur.

Pemain Boleh Lakukan ‘Misi Sampingan’ Dalam Jalan KL
Selain berkunjung ke tempat menarik, terdapat juga permainan mini yang disertakan di dalam Jalan KL, termasuk The Kopi Run dan Mini Golf.
Malah, pemain juga boleh berinteraksi dengan beberapa watak NPC secara ringkas.
Apa yang menarik lagi, terdapat mamak dan gerai makan di tepi jalan yang dipaparkan dalam permainan, memang betul-betul Malaysia!
Jalan KL turut menampilkan karya seni oleh beberapa artis tempatan dalam bentuk setem yang boleh dilihat di bangunan-bangunan terpilih.
Kalau penat ‘berjalan’, pemain juga boleh memilih sahaja mana-mana kawasan dengan menekan pada gambar peta di sebelah kiri atas untuk dibawa secara automatik ke kawasan pilihan mereka.

Permainan Jalan KL boleh diakses secara percuma [DI SINI], menerusi desktop atau telefon pintar.
Sama ada untuk orang dewasa mahupun kanak-kanak, permainan Jalan KL ini memang sesuai untuk seisi keluarga untuk lebih mengenali ibu negara kita sendiri.
View on Threads
Baca Artikel Berkaitan: Game ‘Ondeh Ondeh Kaya’s Tasty Tale’ Buatan Malaysia Diinspirasikan Dari Budaya Asia Tenggara
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Demi Bantu Anak Saudara Study Untuk UPKK, Lelaki Bina Game Roblox Tentang Sirah
Baca Artikel Berkaitan: Marvel’s Wolverine: Bahasa Melayu, Mandarin & Tamil Dapat Didengari Dalam Permainan Video Baharu PS5
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.