Marvel’s Wolverine: Bahasa Melayu, Mandarin & Tamil Dapat Didengari Dalam Permainan Video Baharu PS5
Lokasi Madripoor mengambil inspirasi daripada kepelbagaian budaya seperti Malaysia & Singapura.
- Marvel's Wolverine features Bahasa Melayu, Mandarin, and Tamil dialogue, with Malaysian voice actors hired to bring Madripoor to life.
- Madripoor is a fictional Southeast Asian nation, making the multilingual representation fitting for the game's diverse setting.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Permainan video merupakan salah satu hobi yang digemari ramai kerana menjadi salah satu unsur hiburan sesuai untuk menghabiskan masa lapang.
Baru-baru ini, ada satu perkara istimewa yang membuatkan ramai peminat tempatan terasa bangga.
Ini kerana, Bahasa Melayu dapat didengari dalam permainan video baharu, Marvel’s Wolverine yang dihasilkan oleh Insomniac Games untuk PlayStation 5.
Bahasa Melayu, Mandarin Dan Tamil Dapat Di Dengar Dalam Marvel’s Wolverine

Perkara ini menjadi topik perbualan selepas seorang pengguna berkongsi di media sosial terdapat beberapa non-playable character (NPC) dilihat sedang bercakap menggunakan Bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil.
Menariknya, Insomniac Games telah mengupah beberapa pelakon suara dari Malaysia bagi menghidupkan suasana sebuah lokasi bernama Madripoor dalam Marvel’s Wolverine.
Madripoor merupakan lokasi ketiga yang bakal ditemui oleh pemain selepas lokasi Telambang dan Kanada.
Pemain perlu melepasi lapan babak aksi terlebih dahulu sebelum akhirnya sampai ke kawasan tersebut.
Menurut salah seorang pelakon suara yang terlibat dalam Marvel’s Wolverine, Azman Zulkiply, pemain boleh mendengar beberapa perbualan dalam Bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan Bahasa Inggeris dalam loghat Manglish atau Singlish setelah tiba di Madripoor.
Barisan Bakat Tempatan Diambil Untuk Menghidupkan Suasana Madripoor
Azman Zulkiply turut berkongsi bahawa Insomniac Games telah mengupah pelbagai bakat tempatan bagi mengisi suara watak-watak di Madripoor mengikut bahasa masing-masing.
Untuk Bahasa Melayu, antara yang terlibat ialah Ezza Afiqa, Megat Zahrin, Firdaus Sufiyan, Mila Mohsin, Mia Sara Shauki, Shafiq Isa serta Azman Zulkiply sendiri.
Bagi Bahasa Mandarin pula, ia membabitkan Xie Songfan, Alana Sim, Picky, Jacky, Sumi Chooi dan Max Lim.
Sementara itu, barisan pelakon suara Tamil terdiri daripada Kaveta Raveendran, Navisha N. Raja, Vikesh Varma dan Theyvekgan Thamaraichelvan.
Madripoor Pula Adalah Sebuah Negara Fiksyen Di Asia Tenggara

Kehadiran pelbagai bahasa itu sebenarnya cukup sesuai dengan latar belakang Madripoor.
Untuk info, Madripoor ialah sebuah negara fiksyen yang terletak di kepulauan Asia Tenggara, tidak jauh dari Malaysia dan Singapura.
Negara ini terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Hightown (kawasan orang kaya) dan Lowtown (kawasan orang susah) dan menjadi sarang dunia gelap serta pelabuhan menyeludup barang di Buccaneer Bay.
Disebabkan itu, Madripoor menjadi antara tempat untuk para penjenayah berlindung atau melarikan diri daripada pihak berkuasa dan diperintah oleh watak dikenali sebagai Power Broker.
Dalam versi komik, Madripoor dicipta berdasarkan bahagian selatan Singapura dan dinamakan sempena kawasan tersebut.
Maka, tidak hairanlah Madripoor sering digambarkan sebagai sebuah negara berbilang bangsa dan budaya yang bertutur dalam pelbagai bahasa termasuk Melayu, Tamil, Cina, Inggeris, Perancis dan lain-lain.
Marvel’s Wolverine Adalah Surat Cinta Untuk Peminat Siri X-Men

Marvel’s Wolverine merupakan permainan video baharu yang membawakan jalan cerita tersendiri dan kekal di bawah siri karya Marvel dihasilkan oleh Insomniac Games.
Ia telah dilancarkan di seluruh dunia untuk platform PlayStation 5 secara eksklusif pada 15 September lalu, berdasarkan watak Marvel Comics, Wolverine.
Selain itu, permainan video ini turut mengambil inspirasi daripada siri komik Wolverine dan adaptasi media lain.
Dari segi jalan cerita pula, ia berdasarkan kisah Wolverine selepas meninggalkan pasukan mutant Team X tiga tahun yang lalu.
Wolverine kembali menyertai kumpulan itu bagi menyiasat penculikan golongan mutant oleh jutawan industri Bolivar Trask serta askar peribadinya, Reavers.
Di samping itu, pelbagai watak ikonik dalam siri Wolverine dan X-Men turut menampilkan diri seperti Jean Grey, Dr. Nathaniel Essex (Mister Sinister), Mystique, Sabretooth, Omega Red serta Lady Deathstrike.
Tidak ketinggalan, turut hadir watak seperti Sunfire, Leech, Ogun dan Tyger Tiger yang disuarakan pelakon terkenal Kelly Hu, selain pihak musuh, Sentinels dan kumpulan Hand.
Idea untuk menghasilkan permainan video Wolverine sudah lama disuarakan oleh Insomniac sejak menghasilkan Marvel’s Spider-Man pada tahun 2018.
Watak Wolverine dilihat mempunyai potensi menarik untuk diceritakan kerana pegangan moral tidak jauh berbeza daripada Spider-Man, iaitu semangat untuk melindungi golongan lebih lemah.
Insomniac Games mencadangkan idea itu kepada Marvel dan Sony Entertainment sebagai projek seterusnya selepas Marvel’s Spider-Man mendapat ulasan positif daripada para peminat.
View on Threads
Baca Artikel Berkaitan: Omega Seamaster 007 First Light: Jam James Bond Pertama Dari Permainan Video
Baca Artikel Berkaitan: Tak Lama Lagi CD Bakal Pupus Selepas Sony Menamatkan Pengeluarannya Pada 2028
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.