Harga iPhone Air, iPhone 17 & iPhone 17e Meningkat, Naik RM300 Berbanding Harga Asal
Bekas ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple, Tim Cook, sebelum ini telah memberi amaran bahawa harga produknya mungkin meningkat disebabkan oleh peningkatan kos memori dan storan.
- Apple telah menaikkan harga iPhone Air, iPhone 17 dan iPhone 17e sebanyak RM300, dengan iPhone Air 1TB meningkat paling tinggi iaitu RM1,300.
- iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max mengekalkan harga permulaan yang sama seperti model terdahulu, bermula dari RM5,499 dan RM5,999.
- Peningkatan harga produk Apple dikaitkan dengan kenaikan kos cip memori akibat lonjakan permintaan dari pusat data AI.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Jenama terkemuka Apple baru sahaja melancarkan produk terbaharu, iPhone 18 Pro, iPhone 18 Pro Max dan iPhone Duo pada minggu lalu.
Dalam masa sama, Apple turut melakukan pengubahsuaian harga terhadap tiga variasi iPhone iaitu iPhone Air, iPhone 17 dan iPhone 17e, dengan peningkatan harga sebanyak RM300 berbanding harga asal.
Lebih mengejutkan lagi apabila harga bagi iPhone Air dengan storan 1TB menunjukkan peningkatan tertinggi dan kini mencecah RM8,299.
Ini menjadikannya RM1,300 lebih mahal berbanding harga asal ketika pelancarannya iaitu RM6,999.
Senarai Harga Baharu iPhone Air, iPhone 17 & iPhone 17e
Memetik MalayMail, berikut merupakan senarai harga baharu bagi ketiga-tiga variasi iPhone ini:
iPhone Air
- iPhone Air 256GB – RM5,299 (Harga asal RM4,999) +RM300
- iPhone Air 512GB – RM6,299 (Harga asal RM5,999) +RM300
- iPhone Air 1TB – RM8,299 (Harga asal RM6,999) +RM1,300
iPhone 17
- iPhone 17 256GB – RM4,299 (Harga asal RM3,999) +RM300
- iPhone 17 512GB – RM5,299 (Harga asal RM4,999) +RM300
iPhone 17e
- iPhone 17e 256GB – RM3,299 (Harga asal RM2,999) +RM300
- iPhone 17e 512GB – RM4,299 (Harga asal RM3,999) +RM300
iPhone 18 Pro & iPhone 18 Pro Max Kekalkan Harga Permulaan Seperti Model Terdahulu
Walaupun terdapat peningkatan harga pada tiga varian terdahulu iPhone ini, namun iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max yang baru dilancarkan mengekalkan harga permulaan yang sama seperti model-model sebelum ini.
Pra-pesan bagi kedua-dua model iPhone ini telah dibuka sejak 12 September lalu dengan jualan akan bermula pada 18 September ini.
Harga permulaan bagi iPhone 18 Pro 256GB ditetapkan pada RM5,499, manakala iPhone 18 Pro Max bermula dari RM5,999.

Varian 256GB dan 512GB bagi model baharu ini ditawarkan pada harga sama dengan iPhone 17 Pro dan iPhone 17 Pro Max sewaktu dilancarkan dahulu.
iPhone Terbaharu Dengan Storan 1TB & 2TB Dijual Pada Harga Lebih Tinggi
Pun begitu, iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max dengan storan 1TB adalah RM1,000 lebih mahal berbanding model terdahulu, manakala harga bagi versi 2TB adalah RM2,000 lebih tinggi.
Tiada model standard iPhone 18 yang dilancarkan, mengekalkan iPhone 17 dan iPhone 17e sebagai model flagship permulaan yang boleh didapatkan di pasaran.
Dalam masa sama, Apple turut melancarkan model foldable pertamanya, iPhone Duo, dengan harga bermula RM9,499 (256GB) sehingga RM14,999 (2TB). iPhone Duo akan mula dijual di Malaysia pada 23 Oktober.
Harga Produk Apple Meningkat Disebabkan Kos Memori & Storan
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple, Tim Cook, sebelum ini telah memberi amaran bahawa harga produknya mungkin meningkat disebabkan oleh peningkatan kos memori dan storan.
Pada Jun, The Wall Street Journal melaporkan kos komponen Apple meningkat akibat kenaikan harga cip memori secara mendadak yang sebahagiannya disebabkan oleh lonjakan permintaan dari pusat data AI.
Cook ketika itu tidak memaklumkan secara spesifik produk Apple yang akan meningkat harganya.
Baca Artikel Berkaitan: Apple Naikkan Harga MacBook, iPad Di Malaysia Akibat Harga Cip Memori Melonjak
Produk Apple Alami Peningkatan Harga Ketara Di Malaysia
Pun begitu, terdapat produk Apple di Malaysia yang menunjukkan peningkatan harga secara signifikan pada tahun ini.
Ini termasuklah peningkatan harga yang mencecah ratusan malah ribuan ringgit bagi model MacBook, Mac dan iPad tertentu.
Malah Mac Mini M6 dilancarkan pada harga RM3,799, iaitu RM1,300 lebih tinggi berbanding harga permulaan Mac Mini M4 (RM2,499) yang dilancarkan pada 2024.
Mac Studio juga menunjukkan peningkatan dengan model terbaharu (2026) bermula pada harga RM10,999.
Baca Artikel Berkaitan: Apple Dijangka Lancar iPhone Ultra Baharu, Boleh Lipat Dengan Harga Cecah RM8,000
Baca Artikel Berkaitan: Apple Memperkenalkan Siri AI, IOS27 Dan Beberapa Ciri Baharu Di WWDC26
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.