John Ternus Ganti Tim Cook Sebagai CEO Baharu Apple, Beri Fokus Kepada Kecerdasan Buatan (AI)
John Ternus telah berada dalam syarikat Apple sejak tahun 2001 menghasilkan produk seperti Apple Cinema Display.
- John Ternus secara rasmi mengambil alih jawatan CEO Apple daripada Tim Cook pada 1 September, menandakan era baharu syarikat itu.
- Ternus berhadapan cabaran besar untuk memastikan Apple kekal berdaya saing dalam perlumbaan kecerdasan buatan (AI) berbanding pesaing-pesaingnya.
- Tim Cook meninggalkan legasi cemerlang, menaikkan nilai pasaran Apple melebihi AS$4 trilion sepanjang 15 tahun kepimpinannya.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Apple merupakan salah satu syarikat gergasi paling bernilai dan berpengaruh menghasilkan pelbagai produk yang digunakan dalam kehidupan ramai orang.
Selepas 15 tahun berada di bawah era Tim Cook, syarikat gergasi itu kini bersedia membuka ruang kepada seorang ketua baharu untuk mengemudi kapalnya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Apple, John Terus secara rasmi mengambil alih syarikat itu pada hari Selasa semalam (1 September), menamatkan era Tim Cook.
Fokus Apple Beralih Kepada Kecerdasan Buatan (AI) Di Bawah Naungan John Ternus
Peralihan kepada CEO baharu ini berlaku pada waktu yang amat penting bagi Apple.
Ini kerana kecerdasan buatan (AI) telah mencetuskan gelombang perubahan terbesar dalam industri sejak zaman Steve Jobs memperkenalkan iPhone pertama pada tahun 2007.
Apple pada mulanya mengalami permulaan sukar dalam bidang AI, apabila gagal mengeluarkan ciri-ciri baharu yang dijanjikan hampir dua tahun lalu.
Namun, awal tahun ini, syarikat itu telah memperkenalkan pelbagai kemajuan AI seperti penambahbaikan pembantu maya Siri, dengan fokusnya terhadap privasi dan penggunaan harian sambil mengejar ketinggalan berbanding pesaingnya.
Ternus Bakal Berdepan Cabaran Di Luar Kepakarannya

Peranan kepimpinan Ternus hadir bersama beberapa cabaran yang memerlukan beliau keluar daripada zon keselesaannya dalam bidang kejuruteraan perkakasan.
Selain mencari jalan untuk memastikan Apple kekal berdaya saing dalam perlumbaan AI, beliau turut perlu menangani isu bekalan bahan serta hubungan dengan individu penting seperti Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang memuji Cook secara terbuka.
Cook sebelum ini berjaya mempunyai hubungan rapat dengan Trump ketika memegang Apple menempuh pelbagai cabaran perniagaan, termasuk perang tarif dan perdagangan menyasarkan negara-negara di Asia yang merupakan pengeluar bahan pembuatan produk syarikat ini.
Walaupun telah menyerahkan jawatannya kepada Ternus, Cook masih dijangka membantu Apple mengekalkan hubungannya selepas beralih ke peranan barunya sebagai Pengerusi Eksekutif.
Perjalanan John Ternus Di Apple Bermula Sejak Tahun 2001
Perjalanan Ternus bersama Apple sebenarnya bukan sesuatu yang baharu, kerana beliau telah menyertai syarikat itu sejak tahun 2001 dalam jawatan reka bentuk produk.
Ketika itu, beliau memulakan tugasnya dengan menghasilkan Apple Cinema Display sebelum memanjat tangga korporat.
Menerusi perjalanan itu, beliau dilantik sebagai Naib Presiden Kejuruteraan Perkakasan pada tahun 2013 di bawah Dan Riccio, sekali gus menyelia pembangunan barisan produk AirPods, Mac dan iPad.
Seterusnya, pada tahun 2021, beliau dinaikkan pangkat sebagai Naib Presiden Kanan Kejuruteraan Perkakasan menggantikan Riccio, sebelum diberi tanggungjawab menerajui perkakasan Apple Watch pada penghujung tahun 2022.
Menurut Bloomberg News, Ternus ketika itu merupakan “pekerja paling muda dalam pasukan eksekutif Apple”, dan sering digambarkan sebagai seorang yang berkarisma dan disenangi ramai.
Di bawah Cook, beliau turut menyumbang kepada beberapa produk ikonik Apple termasuk Apple Watch, AirPods serta Apple Vision Pro.
Malah, Ternus turut dijangka menjadi wajah utama pelancaran iPhone baharu di ibu pejabat Apple di Cupertino, California minggu depan.
Legasi Tim Cook Yang Menjadikan Apple Sebuah Syarikat Gergasi

Menurut Financial Times, selepas mengambil alih Apple selepas kematian Steve Jobs, Cook berjaya melonjakkan nilai sahamnya lebih 2,000% sehingga nilai pasarannya melepasi AS$4 trilion.
Dalam tempoh itu, syarikat berkenaan turut memulangkan lebih AS$1 trilion kepada pemegang saham menerusi belian semula dan dividen, menerusi sebuah program besar yang dimulakan sejak tahun 2012.
Malah, sejak Cook mengambil alih, Apple telah menjual sebanyak 3.1 bilion unit iPhone menyumbang separuh daripada jumlah pendapatan syarikat berkenaan, dengan lebih 2.5 bilion pengguna aktif di seluruh dunia.
Di samping itu, Apple Watch dan AirPods muncul sebagai kategori produk baharu paling popular di bawah naungan Cook, termasuk HomePod dan Vision Pro.
Walaupun projek Apple untuk membina keretanya ditangguhkan pada tahun 2024, Cook tetap berjaya mengembangkan portfolio syarikat menerusi reka bentuk cip sendiri, sekali gus meninggalkan penggunaan cip pihak ketiga seperti Intel.
Baca Artikel Berkaitan: Apple Naikkan Harga MacBook, iPad Di Malaysia Akibat Harga Cip Memori Melonjak
Baca Artikel Berkaitan: Apple Dijangka Lancar iPhone Ultra Baharu, Boleh Lipat Dengan Harga Cecah RM8,000
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.