CEO Sony Dedah Tiada Tarikh Pelancaran PS6 Akibat Kenaikan Harga RAM
PlayStation 6 pernah diramal bakal dikeluarkan pada tahun 2027 oleh para analisis serta sumber dalaman industri.
- Sony masih belum menetapkan tarikh pelancaran PS6, dengan cabaran bekalan komponen global dan kenaikan kos menjadi faktor utama keputusan tertangguh.
- Sony akan beralih sepenuhnya ke format digital menjelang 2028, mencetuskan bantahan peminat yang membimbangkan hak pemilikan dan pemeliharaan permainan video.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Ketua Pegawai Eksekutif Sony, Hiroki Totoki mengesahkan bahawa tarikh pelancaran konsol permainan video generasi baharu, PlayStation 6 (PS6) masih belum diputuskan.
Menurutnya, antara cabaran dihadapi adalah bekalan komponen global yang tidak stabil menyukarkan syarikat ini untuk mengeluarkan keputusan muktamad bagi menghasilkan permainan video generasi baharu.
Perkara ini diberitahu berdasarkan laporan daripada Yahoo Tech, di mana beliau menyentuh kesan kenaikan kos barang seperti Random Access Memory (RAM) serta isu ketegangan perdagangan global.
Permintaan Tinggi Bagi Komponen Canggih Memaksa Sony Mengubah Strategi

Menurut Totoki, permintaan tinggi terhadap komponen canggih memaksa Sony menyesuaikan diri dengan landskap teknologi yang sentiasa berubah.
Beliau menjelaskan bahawa langkah itu penting bagi memastikan syarikat itu kekal berdaya saing dalam persekitaran global yang semakin mencabar.
“Disebabkan kepentingan itu, kami perlu mengambil beberapa tindakan drastik. Jika tidak, kami tidak mampu untuk terus bertahan dalam landskap ini.”
PS6 Sebelum Ini Diramalkan Bakal Muncul Pada Tahun 2027

Sebelum ini, PS6 pernah dijangka oleh para penganalisis dan sumber dalaman industri untuk dilancarkan pada tahun 2027. Namun, Sony masih belum menetapkan sebarang tempoh pelancaran khusus.
Dalam laporan yang sama, Totoki berkata syarikat itu masih belum menetapkan tarikh untuk melancarkan PS6.
Ketidakpastian ini timbul ketika industri teknologi berdepan pelbagai masalah seperti kekurangan bahan yang sebahagian besarnya didorong oleh permintaan daripada syarikat kecerdasan buatan (AI) sedang giat membina pusat data secara besar-besaran.
Malah, kenaikan kos itu sudah menjejaskan harga konsol permainan video generasi ini, apabila Sony terpaksa menaikkan harga PlayStation 5 (PS5) di beberapa negara termasuk Malaysia.
Tambahan pula, ini bukan kali pertama Totoki menyentuh isu berkaitan PS6.
Pada bulan Mei lalu, ketika satu taklimat kewangan Sony, beliau berkata syarikat itu sedang memantau keadaan pasaran sebelum memutuskan masa serta harga pelancaran PS6.
“Kami masih belum memutuskan pada bila kami akan melancarkan konsol permainan video baharu itu, atau harganya. Kami mahu meneliti dan memerhatikan keadaan pasaran terlebih dahulu.”
Pelbagai Spekulasi Mengenai PS6 Mula Berleluasa Dalam Kalangan Peminat
Dalam masa sama, pelbagai khabar angin mengenai PS6 telah pun bermula dengan beberapa sumber dalaman industri mendakwa Sony berkemungkinan akan melancarkan bukan satu, tapi pelbagai konsol permainan video.
Antaranya seperti sebuah sistem mudah alih (handheld) khas bersama-sama konsol PS6.
Komen daripada Presiden Sony Interactive Entertainment, Hideaki Nishino, telah menguatkan spekulasi bahawa syarikat itu sedang meneroka pendekatan baharu membolehkan pengguna menikmati pengalaman permainan video PlayStation tanpa rasa terikat di rumah.
Selain itu, langkah Sony beralih daripada cakera fizikal turut dilihat berpotensi akan mempengaruhi reka bentuk PS6.
Ini kerana syarikat itu telah mengumumkan rancangan untuk menghentikan pengeluaran cakera permainan PlayStation baharu mulai 2028, sekali gus menyebabkan beberapa penganalisis mencadangkan permainan video generasi baharu akan diedarkan sepenuhnya secara digital.
Penganalisis Piers Harding-Rolls pula percaya PS6 berkemungkinan bakal muncul menjelang penghujung 2028, sambil mencadangkan bahawa penyingkiran sokongan media fizikal boleh membantu Sony mengurangkan kos pembuatan.
Sony Telah Sahkan Akan Beralih Ke Format Digital

Sony telah mengesahkan ia akan terus beralih daripada format fizikal, walaupun berdepan kritikan berterusan daripada peminat yang membantah rancangan ini menjadikan pengeluaran permainan video secara digital.
Syarikat itu mengumumkan beberapa bulan lalu bahawa permainan video PlayStation baharu tidak lagi akan dikeluarkan dalam bentuk fizikal mulai Januari 2028, sambil memetik perubahan citarasa pengguna serta peralihan yang lebih meluas ke arah hiburan digital.
Ketua Pegawai Kewangan Sony, Lin Tao mengakui ramai peminat mempunyai hubungan emosi kuat dengan format fizikal, namun syarikat itu percaya industri ini sedang menuju ke arah yang berbeza.
“Terdapat pelbagai sebab kami membuat keputusan ini, dan yang paling utama adalah trend kandungan digital yang semakin berkembang.”
Beliau menambah bahawa trend itu bukan sesuatu yang unik kepada industri permainan sahaja, sebaliknya format digital sedang mendominasi seluruh industri hiburan.
“Ia merupakan bentuk hiburan yang digemari ramai dan sering kali terikat erat dengan kenangan manis seseorang,” tambah Tao.
Keputusan Itu Mengundang Bantahan Daripada Peminat Setia PlayStation
Keputusan yang dilakukan oleh Sony telah mencetuskan kemarahan daripada sebahagian peminat PlayStation, terutamanya mereka yang bimbang tentang hak pemilikan, pemeliharaan arkib permainan video, serta keupayaan untuk mengakses pembelian mereka pada masa hadapan.
Sebagai tanda bantahan, beberapa kumpulan telah melancarkan kempen boikot dengan menggesa pengguna memulaukan perkhidmatan Sony selama seminggu pada bulan Ogos lalu.
Akaun DoesItPlay yang memperjuangkan isu pemeliharaan permainan video turut menyifatkan keputusan Sony untuk menghapuskan format fizikal sebagai the last straw, berikutan beberapa langkah kontroversi sebelum ini seperti penutupan studio serta perubahan strategi secara drastik.
Baca Artikel Berkaitan: Tak Lama Lagi CD Bakal Pupus Selepas Sony Menamatkan Pengeluarannya Pada 2028
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.