Now Reading
Pelanggan Kad Kredit CIMB Kini Dapat Menikmati Sokongan Apple Pay, Memudahkan Pembayaran Tanpa Tunai

Pelanggan Kad Kredit CIMB Kini Dapat Menikmati Sokongan Apple Pay, Memudahkan Pembayaran Tanpa Tunai

Pembayaran menerusi Apple Pay boleh dilakukan pada peranti iPhone, Apple Watch, Mac dan iPad.

In Brief
  • CIMB Bank kini menyokong Apple Pay untuk pengguna kad kredit dan kredit-i, membolehkan pembayaran mudah melalui iPhone, Apple Watch, Mac dan iPad.
  • Sempena pelancaran ini, CIMB menawarkan ganjaran pulangan tunai sehingga RM118 kepada pelanggan yang membuat pembayaran menggunakan Apple Pay.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada masa kini, pembayaran tanpa tunai sama ada melalui pembayaran kod Quick Response (QR), kad bank atau e-Wallet sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sementara itu, telefon pintar iPhone sudah menyediakan ciri Apple Pay yang membolehkan pengguna muat naik kad bank tersendiri untuk melakukan sebarang pembayaran.

Disebabkan itu semakin banyak bank tempatan memastikan ciri tersebut boleh digunakan oleh pelanggan mereka.

Baru-baru ini, CIMB Bank Berhad (CIMB) telah mengumumkan sokongan sistem pembayaran Apple Pay untuk pengguna kad kredit dan kredit-i yang dikeluarkan oleh bank berkenaan.

CIMB Mengumumkan Sokongan Apple Pay Untuk Pengguna Kad Kredit & Kredit-i

CIMB Apple Pay. (Foto: CIMB Bank Berhad)

Menurut laman rasmi CIMB, transaksi menggunakan Apple Pay boleh dilakukan menerusi peranti iPhone, Apple Watch, Mac dan iPad.

Untuk mengaktifkan perkhidmatan tersebut, pengguna perlu membuka aplikasi Apple Wallet pada peranti Apple dan menekan butang tambah (+), memilih pilihan kad kredit dan mengikut arahan seterusnya yang dipaparkan pada skrin.

Langkah ini menyaksikan CIMB menyertai beberapa institusi kewangan lain di Malaysia yang telah menawarkan kemudahan Apple Pay kepada pelanggan mereka.

Antaranya seperti Hong Leong Bank, AmBank, HSBC, Maybank, RHB Bank Berhad, Standard Chartered Bank dan WIse Payments.

Sempena pelancaran ini, CIMB turut menawarkan ganjaran pulangan tunai sehingga RM118 kepada pelanggan yang membuat pembayaran menggunakan Apple Pay tertakluk kepada terma dan syarat.

Apple Pay Boleh Digunakan Untuk Membeli-Belah Di Kedai, Dalam Talian Dan Aplikasi

Tidak perlu bawa dompet anda lagi selepas ini. (Foto: Wikipedia)

Antara kelebihan Apple Pay ialah keupayaannya berfungsi merentasi pelbagai peranti Apple.

Menurut CIMB, apabila anda menambah kad kredit atau kredit-i ke dalam Apple Wallet di iPhone, anda juga diberi pilihan untuk menambahnya ke peranti Apple lain dengan satu langkah mudah.

Selain itu, Apple Pay diterima oleh peniaga di seluruh dunia dan pengguna hanya perlu mencari simbol pembayarannya ketika melakukan transaksi.

Bagi pembelian menerusi komputer yang tidak menggunakan Safari atau Mac, pengguna boleh menekan butang Apple Pay dan mengimbas kod yang dipaparkan pada skrin menerusi iPhone.

Setiap Transaksi Dilindungi Ciri Keselamatan Terbina Dalam Peranti

CIMB juga memastikan setiap transaksi Apple Pay akan memerlukan pengesahan menerusi ciri keselamatan terbina dalam peranti seperti Face ID, Touch ID dan kod laluan.

Menariknya, nombor kad kredit pengguna tidak akan dikongsikan dengan peniaga atau disimpan dalam memori Apple.

Sekiranya peranti anda hilang, anda boleh menukarnya sebagai hilang menerusi aplikasi Find My untuk menggantung pembayaran menerusi kad kredit atau kredit-i.

Tambahan pula, Apple Pay membolehkan pengguna mengelak proses memasukkan alamat atau kod card verification value (CVV) ketika pembayaran, sekali gus membolehkan transaksi diselesaikan hanya dengan satu sentuhan sahaja.

Ikuti 2 Cara Mudah Ini Untuk Menambah Kad CIMB Ke Apple Pay

Untuk mula menggunakan Apple Pay, pemilik kad CIMB boleh lakukan dua kaedah ini:

#1. Cara Pertama
Cara muat naik kad kredit anda melalui CIMB OCTO. (Foto: CIMB Bank Berhad)

Menerusi aplikasi CIMB OCTO, anda perlu tekan bahagian Accounts.

Seterusnya, pilih kad kredit atau kredit-i CIMB pilihan anda dan tekan Add to Apple Wallet dan ikuti arahan pada skrin sebelum menetapkannya sebagai kad utama untuk mula menggunakan Apple Pay.

#2. Cara Kedua

Cara kedua pula adalah menerusi Apple Wallet, iaitu dengan membuka aplikasinya di iPhone anda.

Kemudian, tekan butang tambah (+), pilih Credit Card dan ikuti langkah yang dipaparkan untuk menambah kad baharu.

Tidak Semua Kad CIMB Menyokong Ciri Apple Pay

Walaupun pengumuman ini sangat menggembirakan bagi pelanggan CIMB, perlu diingatkan tidak semua kad menyokong ciri Apple Pay buat masa ini.

Memetik semula laporan rasmi CIMB, kebanyakan kad kredit dan kredit-i CIMB menyokong Apple Pay kecuali CIMB PETRONASI Visa Infinite-i dan CIMB PETRONAS Platinum-i.

Dalam masa sama, kempen pulangan tunai sehingga RM118 telah berlangsung dari 21 Julai 2026 sehingga 14 September 2026.

Kempen tersebut terbuka kepada semua kad kredit dan kredit-i CIMB Mastercard serta CIMB Visa yang dikeluarkan oleh CIMB di Malaysia.

Bagaimanapun, kad-kad ini terkecuali daripada kempen ini iaitu Petronas Visa Infinite-i Credit Card, Petronas Visa Platinum-i Credit Card, CIMB Platinum Business Card serta Fuel Tanker Card.

Apple Pay Merupakan Sistem Pembayaran Digital Yang Diperkenalkan Oleh Apple

Apple Pay. (Foto: Apple)

Untuk pengetahuan am, Apple Pay merupakan sistem pembayaran mudah alih tanpa tunai dan dompet digital yang ditawarkan oleh Apple.

Perkhidmatan ini membolehkan pengguna membayar barang dan perkhidmatan menggunakan teknologi komunikasi medan dekat (NFC) di tempat jualan, sama ada secara bersemuka, menerusi aplikasi iOS mahupun dalam talian.

Diperkenalkan oleh Apple pada 2014, perkhidmatan itu kemudiannya mula dilancarkan di Malaysia pada 9 Ogos 2022, dan kini dianggap sebagai alternatif kepada kad kredit serta kad debit, termasuk kad chip, PIN dan kad jalur magnetik.

Dari segi keselamatan pula, Apple Pay mencipta token yang menggantikan maklumat kad, iaitu Device Account Number yang disimpan dalam Secure Element memastikan peniaga tidak mempunyai akses terus kepada butiran kad.

Menariknya, ciri pengesahan seperti Touch ID dan Face ID turut memastikan hanya pengguna yang dibenarkan boleh membuat pembayaran, manakala Apple berjanji tidak akan berkongsi maklumat kad kepada orang awam.

Baca Artikel Berkaitan: Apple Dijangka Lancar iPhone Ultra Baharu, Boleh Lipat Dengan Harga Cecah RM8,000 | TRP

Baca Artikel Berkaitan: iPhone Juga Ada Fungsi ‘Background Sounds’, Tak Perlu Pasang YouTube Untuk Dengar Bunyi Menenangkan | TRP


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd