Tak Lama Lagi CD Bakal Pupus Selepas Sony Menamatkan Pengeluarannya Pada 2028
Menurut Sony, permainan PlayStation baharu selepas Januari 2028 hanya boleh dibeli secara digital di PlayStation store.
- Sony akan menghentikan pengeluaran CD fizikal bagi permainan video PlayStation mulai Januari 2028, beralih sepenuhnya ke format digital.
- Format digital memberi kuasa lebih kepada syarikat berbanding pengguna, kerana pengguna sebenarnya hanya membeli lesen, bukan memiliki permainan sepenuhnya.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Era permainan video dalam format cakera padat (CD) semakin menghampiri penghujungnya.
Sony Interactive Entertainment semalam (1 Julai) mengumumkan bahawa syarikat itu akan menghentikan pengeluaran CD fizikal bagi permainan video PlayStation, sekali gus menandakan peralihan industri ke arah pengedaran digital.
Mulai Januari 2028, Anda Hanya Boleh ‘Beli’ Melalui Format Digital Sahaja

Keputusan itu dilakukan selepas mendapati cita rasa pengguna dan industri hiburan telah pun beralih ke format digital.
Menurut Pengarah Kanan Komunikasi Sony Interactive Entertainment (SIE), Sid Shuman, langkah ini merupakan hala tuju semula jadi bagi syarikat itu menyesuaikan diri dengan trend pengguna.
“Ini adalah hala tuju semula jadi bagi Sony Interactive Entertainment untuk menyesuaikan diri dengan trend pengguna, memandangkan keutamaan umum terhadap media digital jauh mengatasi cakera fizikal.”
“Peralihan ini membolehkan kami selari dengan cara majoriti komuniti memilih untuk bermain permainan video pada hari ini.” katanya.
80% Penjualan Permainan Video PlayStation Adalah Format Digital
Menurut Polygon, laporan korporat Sony 2025 mendapati jualan fizikal hanya menyumbang tiga peratus daripada keuntungan PlayStation pada tahun 2024.
Manakala, keuntungan jualan permainan video PlayStation secara digital menyumbang kepada 80 peratus.
Di samping itu, syarikat penerbit Capcom pula menyatakan dalam laporan pendapatan mereka bahawa jualan digital membentuk 93 peratus daripada semua jualan permainan dan menjangkakan bakal meningkat kepada 94.5 peratus tahun ini.
Kenaikan Harga PlayStation 5 Menjadikan Model Digital Lebih Mampu Milik

Disebabkan situasi tegang di Timur Tengah dan kekurangan bekalan cip memori menyebabkan harga model PlayStation 5 (PS5) meningkat daripada harga asal.
Kenaikan harga ini turut menjadikan versi model digital lebih menarik dan mampu milik kepada pengguna.
Kini, model PS5 format fizikal dijual pada harga RM2,799.99. Manakala, format digital pula dijual pada harga RM2,499.
Dalam masa sama, kebanyakan kedai yang menjual permainan video semakin pupus akibat trend digital ini seperti francais terkenal di Amerika Syarikat, GameStop yang telah menutup lebih daripada 1,300 cawangan sepanjang dua tahu lalu.
Keputusan Kontroversi Selepas Pengumuman GTA6

Langkah Sony itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila ia hadir hanya beberapa hari selepas Rockstar Games mengumumkan bahawa Grand Theft Auto VI (GTA 6) hanya akan ditawarkan dalam format digital.
Malah, edisi fizikal permainan itu sekadar mengandungi kod muat turun tanpa disertakan cakera padat (CD) atau aksesori lain, sekali gus mencerminkan peralihan industri permainan video ke arah pengedaran digital sepenuhnya.
Ramai peminat merasakan tindakan Rockstar menjadi faktor utama Sony untuk melakukan keputusan yang sama.
Selain itu, Sony turut mengumumkan bahawa mereka akan menamatkan sokongan kepada PlayStation 3 dan PlayStation Vita.
Format Digital Membuatkan Syarikat, Penerbit Lebih Berkuasa Berbanding Pengguna

Satu petisyen di Eropah bernama, Stop Killing Games dicipta kerana ingin menangani masalah yang timbul daripada peralihan kepada format digital.
Mereka menyuarakan isu seperti sesetengah permainan video memerlukan sokongan berterusan daripada penerbit untuk kekal aktif.
Mengambil keputusan untuk menamatkan sokongan kerana kerugian, penerbit boleh menyebabkan pengguna hilang akses kepada permainan video yang sudah dibeli.
Ini kerana, dalam format digital pengguna bukan membeli permainan video, mereka sebenarnya hanya membeli lesen untuk membukannya ibarat kunci rumah.
Isu seperti ini juga berlaku di industri lain seperti hiburan, filem dan tv menyebabkan semakin ramai orang mula beralih semula ke teknologi lama kerana anda memiliki hak penuh ke atasnya.
Bukan sekadar ‘lesen’ sahaja.
Latar Belakang Sony Interactive Entertainment

Hari ini ia merupakan antara syarikat terbesar dunia dalam industri permainan video melalui jenama PlayStation yang ditubuhkan sekitar tahun 1993.
Tambahan pula, PS5 adalah generasi kesembilan permainan video bersama Xbox Series X/S daripada Microsoft.
PS5 telah diumumkan sebagai pengganti PS4 pada April 2019, dan telah dilancarkan pada 12 November 2020 di Australia, Jepun, New Zealand, Amerika Utara dan KOrea Selatan sebelum dikeluarkan ke seluruh dunia seminggu kemudian.
Baca Artikel Berkaitan: Penantian 13 Tahun Berakhir, GTA6 Dijual Pada Harga RM339 Untuk Edisi Asas Dan RM419 Untuk Edisi Ultimate | TRP
Baca Artikel Berkaitan: Syarikat Di AS Isytihar Cuti Khas Sempena Pelancaran Permainan Video, GTA 6 | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.