Now Reading
Shokz OpenFit Pro Tawar Audio Open-Ear Lebih Imersif. Tapi Berbaloi Ke Dengan Harga RM1,199? [Review]

Shokz OpenFit Pro Tawar Audio Open-Ear Lebih Imersif. Tapi Berbaloi Ke Dengan Harga RM1,199? [Review]

Rekaan open-ear memberi pengalaman mendengar yang lebih selesa dan luas, tetapi memerlukan sedikit masa untuk dibiasakan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Fon telinga jenis open-ear semakin popular kerana menawarkan pengalaman mendengar lagu yang berbeza berbanding close-ear, tanpa membuatkan anda terlalu terleka dengan persekitaran terutama ketika berjalan atau bersenam.

Shokz OpenFit Pro hadir sebagai pilihan fon telinga open-ear true wireless yang menggabungkan keselesaan, kualiti audio dan ciri pintar dalam satu pakej.

Ia dilengkapi pemacu audio 11 x 20 mm dengan rekaan diafragma berkembar, selain sokongan Shokz SuperBoost, OpenBass 2.0, DirectPitch 3.0, Dolby Atmos dan Open-Ear Noise Reduction.

Baca Artikel BerkaitanSudah Jadi Satu Amalan, Ini Kesan Buruk Kerap Pakai Earphone Waktu Tidur

Rekaan Yang Mementingkan Keselesaan Pengguna

Shokz OpenFit Pro. (Foto: Aliff/TRP)

Keunikan paling ketara pada Shokz OpenFit Pro sudah tentu terletak pada rekaannya.

Berbanding fon telinga close-ear yang masuk ke dalam telinga, rekaan open-ear ini membuatkan telinga terasa lebih bebas dan kurang letih untuk penggunaan lama.

Sepanjang menggunakannya untuk review ini, saya merasakan Shokz OpenFit Pro lebih selesa dipakai ketika bekerja, berjalan atau bersenam kerana tiada tekanan pada bahagian dalam telinga. Muzik juga terasa lebih luas dan natural, seakan audio tidak terkurung dalam kepala.

Walau bagaimanapun, pengalaman pertama memakai Shokz OpenFit Pro terasa sedikit aneh. Cara memakainya agak janggal pada awalnya dan kedudukannya pada telinga perlu dilaraskan dengan betul untuk mendapatkan posisi terbaik.

Nasib baik aplikasi Shokz menyediakan panduan pemakaian yang mudah diikuti.

Cuma selepas sekitar tiga hingga empat jam, bahagian telinga saya mula terasa sedikit kurang selesa. Namun, rasa itu tidaklah seteruk fon telinga close-ear yang masuk terus ke dalam telinga.

Kualiti Audio Jelas, Luas & Terasa Dengan Bass Yang ‘Dalam’
Kualiti audio yang jelas, berkualiti dan seolah anda berada di sebuah konsert. (Foto: Aliff/TRP)

Dari segi kualiti bunyi, Shokz OpenFit Pro memberikan pengalaman audio yang dinamik, luas dan jelas.

Mengikut pengalaman saya, setiap instrumen dapat didengar dengan kemas dan mudah dipisahkan antara satu sama lain. Dalam kata mudah, lapisan bunyi terasa seperti tersusun di hadapan pendengar, daripada vokal, gitar, string, bass sehinggalah elemen drum seperti snare dan hi-hat.

Vokal juga jelas dan mudah didengar, sama ada ketika mendengar lagu atau podcast.

Menariknya, bass terasa lebih berat dan dalam, tetapi masih terkawal supaya tidak mendominasi keseluruhan instrumen. Bunyi gitar pula rangup, manakala elemen treble lain masih menonjol di bahagian belakang.

Ini beberapa lagu yang saya cuba dengar menggunakan Shokz OpenFit Pro:

#1. KIDS – Mac Miller (Genre: Rap)

Untuk lagu rap ini, bass sangat bertenaga dan berat sehingga mendominasi keseluruhan lagu. Namun, vokal masih kekal jelas dan berada di hadapan. Dalam kata mudah, susunan audionya ibarat bentuk segi tiga. Vokal berada di bahagian paling atas, diikuti bass, manakala instrumen lain berada sedikit ke belakang.

#2, Day n Night – Michael Jackson (Genre: Pop)

Untuk lagu pop pula, instrumen seperti hi-hat, snare dan drum lebih menonjol menjadi bintang utama dalam lagu ini. Setiap instrumen juga boleh didengar dengan jelas dan dikenal pasti seolah-olah ia mengelilingi pendengar. Bass tidak terlalu dominan, tetapi masih boleh didengar seperti tersembunyi di belakang bunyi gitar yang kemas.

#3. Everlong dan Learn to Fly – Foo Fighters (Genre: Rock)

Kalau tanya saya, lagu rock sangat seronok didengar ketika menguji Shokz OpenFit Pro. Setiap instrumen mempunyai depth, clarity dan bunyi bersih, memberi gambaran seakan anda berada di sebuah konsert.

Secara keseluruhan, kualiti audionya seimbang dan cukup menyeronokkan untuk kegunaan harian. Bass terasa dalam apabila ia muncul dari belakang, manakala vokal pula jelas dan merdu, sekali gus memberikan pengalaman mendengar lagu yang lebih berbeza.

Dolby Atmos Menjadikan Pengalaman Mendengar Audio Lebih Imersif

Antara ciri paling menarik pada Shokz OpenFit Pro ialah sokongan Dolby Atmos dengan fungsi head tracking. Apabila diaktifkan dalam aplikasi Shokz, audio terasa lebih luas dan posisinya lebih jelas.

Fungsi head tracking memastikan bunyi kekal berada di tengah walaupun kepala bergerak ke kiri atau kanan, memang seronok digunakan kerana ia menjadikan pengalaman mendengar audio lebih imersif, hidup dan dekat dengan pendengar.

Noise Reduction Yang Biasa-Biasa Sahaja

Walaupun saya memuji pelbagai fungsi dan ciri Shokz OpenFit Pro, fungsi noise reduction pada fon telinga ini terasa kurang memuaskan untuk telinga saya.

Untuk pengetahuan anda, rekaan open-ear lazimnya tidak menawarkan pengurangan bunyi yang sebaik fon telinga close-ear.

Melalui sistem tiga mikrofon dan algoritma ear-adaptive, kesannya juga tidak berlaku secara serta-merta apabila diaktifkan. Ia mula terasa secara beransur-ansur dalam sekitar tiga saat sebelum bunyi sekeliling mula dikurangkan.

Namun begitu, jika digunakan di pejabat, bilik atau kawasan yang tidak terlalu bising, ia boleh membantu mengurangkan gangguan bunyi. Cuma di kawasan yang lebih bising seperti jalan raya atau gim, kesannya tidak begitu ketara.

Pendekatan ini sebenarnya selari dengan rekaan open-ear yang mahu memastikan pengguna masih peka dengan keadaan sekeliling.

Bateri Yang Boleh Bertahan Sehingga 50 Jam
Charging case menggunakan USB Type-C untuk mengecas. (Foto: Aliff/TRP)

Dari segi bateri pula, Shokz OpenFit Pro mampu bertahan sehingga 12 jam untuk satu cas dan sehingga 50 jam keseluruhan bersama charging case.

Jika fungsi noise reduction digunakan, masa penggunaan akan turun kepada sekitar enam jam untuk satu cas. Namun, fon telinga ini turut menyokong pengecasan pantas di mana 10 minit cas boleh memberikan sehingga empat jam masa mendengar.

Mengikut pengalaman saya, daya tahan baterinya sudah lebih memadai dalam situasi bekerja, bersenam atau berjalan-jalan. Kritikan saya hanya pada bentuk charging case yang sedikit besar dan lebar.

Persoalan Utama, Shokz OpenFit Pro Ini Sesuai Untuk Siapa?

Shokz OpenFit Pro sesuai untuk pengguna yang mencari fon telinga tahan lasak, selesa dipakai lama dan boleh dibawa ketika bersenam atau berlari.

Untuk pengguna kasual yang mahu mendengar muzik santai, podcast atau bekerja di pejabat, Shokz OpenFit Pro juga masih sesuai. Namun, kalau tanya saya, masih ada beberapa pilihan lain yang mungkin lebih menarik bergantung kepada keperluan anda.

Dijual pada harga RM1,199 dengan pilihan warna hitam dan putih, saya rasa fon telinga ini berada dalam kategori tersendiri dan sasarannya lebih kepada pengguna yang spesifik.

Walaupun ciri dan fungsinya menarik seperti kualiti audio, Dolby Atmos, head tracking dan bateri yang tahan lama, Shokz OpenFit Pro bukan untuk semua orang.

Namun, bagi pengguna yang mahukan fon telinga praktikal, selesa dan masih membolehkan mereka peka dengan persekitaran, ia boleh menjadi alternatif menarik berbanding fon telinga biasa.

Baca Artikel Berkaitan: “Ramai Suka Bawa Tidur” – Pakar Dedah Earphone Lebih Bahaya Berbanding Headphone

Baca Artikel BerkaitanAsyik Sakit Kepala Sebab Hadap Telefon? Ini Tips Untuk Kurangkan ‘Screen Time’ Anda


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd