MyKad Baharu Tiada Fungsi TNG, Ini Cara Beli Pas Rapid KL Guna TNG eWallet
Selain pas bulanan Rapid KL My50, orang ramai juga boleh mengaktifkan Rapid Kota Pass dan Rapid Kembara Pass menerusi aplikasi TNG eWallet.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Buat mereka yang menggunakan pengangkutan awam setiap hari, khususnya perkhidmatan rel dan bas di bawah kendalian Rapid KL, salah satu langkah penjimatan adalah dengan menempah pas bulanan.
Pas bulanan Rapid KL My50 boleh diaktifkan dengan membuat tambah nilai menerusi ciri Touch ‘n Go (TNG) dalam Kad Pengenalan (MyKad) memandangkan ia hanya dibuka kepada warganegara Malaysia sahaja.
Namun dengan pengenalan MyKad baharu yang tidak menyokong integrasi TNG, mungkin ramai yang masih bingung bagaimanakah caranya untuk menempah pas bulanan Rapid KL kelak?
Baca Artikel Berkaitan: Kad Touch ‘n Go Hilang? Ini Cara Dapatkan ‘Refund’ Baki Wang Dalam Kad Anda
Baca Artikel Berkaitan: TNG eWallet Hentikan Debit Auto Reload & Quick Payment Bermula 13 Mei Ini
Langkah-Langkah Beli Pas Rapid KL Di TNG eWallet
Jika anda merupakan pengguna tetap pas Rapid KL My50 yang ingin menukar ke MyKad baharu, jangan risau.
Selain membuat pembelian pas tersebut menggunakan MyKad, anda sebenarnya boleh membelinya secara dalam talian menerusi aplikasi TNG eWallet.
Berdasarkan laman web Touch ‘n Go, pas bulanan My50 boleh diaktifkan di aplikasi tersebut setelah TNG eWallet anda disahkan melalui eKYC.
Tapi macam mana nak buat pembelian pas Rapid KL menerusi TNG eWallet?
Berikut kami kongsikan langkah-langkahnya.
#1. Lakukan Pengesahan eKYC Di TNG eWallet
Pertama, pastikan anda telah muat turun aplikasi TNG eWallet dan melakukan pengesahan eKYC.
Memandangkan tambah nilai akan dibuat dari telefon pintar secara terus ke dalam kad TNG, anda perlulah menggunakan telefon yang dilengkapi fungsi NFC.
Pastikan juga anda ada kad TNG okay? Kalau tak ada, memang tak boleh guna kaedah ini.
#2. Klik Pada ‘Travel Pass’
Untuk mengaktifkan pas Rapid KL, anda perlu pergi ke bahagian ‘Travel Pass’.
Di halaman utama aplikasi TNG eWallet, klik pada butang ‘More’. Kemudian, pilih kategori ‘Transport’ sebelum klik pada ‘Travel Pass’.

#3. Pilih Pas Rapid KL Yang Mahu Diaktifkan
Anda akan dibawa ke halaman seterusnya yang memaparkan pilihan pas Rapid KL. Klik pada My50 Pass untuk pas bulanan.
Seterusnya, tatal ke bahagian bawah untuk memilih kad TNG yang ingin digunakan bagi pas tersebut.
Anda akan diminta untuk mengimbas kad berkenaan, jadi pastikan hanya memilih kad yang ada bersama anda.

#4. Sahkan Pembelian & Lakukan Pembayaran
Selepas memilih kad TNG, anda juga boleh memilih tarikh mula untuk pas tersebut diaktifkan.
Klik pada butang persetujuan terma dan syarat sebelum mengesahkan pembelian anda dan dibawa ke halaman pembayaran.
Pembayaran hanya boleh dibuat menerusi TNG eWallet, jadi pastikan anda mempunyai baki yang mencukupi. Bagi My50 Pass, bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM50.
Selepas pembayaran berjaya dilakukan, anda akan diminta untuk mengimbas kembali kad TNG yang sama agar pas tersebut diaktifkan.

Sekarang anda dah boleh guna kad TNG tanpa had dalam tempoh sebulan. Namun pastikan terdapat baki sekurang-kurangnya RM5 apabila menggunakan kad tersebut.
Rapid KL Sediakan Pas Bagi Perjalanan Harian
Sekadar info, Rapid KL turut menyediakan pas bulanan bagi mereka yang bukan warganegara Malaysia, iaitu Rapid Bulanan pada harga RM150 bagi penggunaan selama 30 hari.
Selain itu, Rapid KL turut menyediakan pas harian seperti berikut:
Rapid Kota Pass
- Pas 1 hari – RM10
- Pas 3 hari – RM25
Rapid Kembara Pass
- Pas 1 hari – RM25
- Pas 3 hari – RM55
- Selain digunakan bagi perkhidmatan Rapid KL, pemegang pas ini juga boleh menikmati diskaun di tempat tarikan serta pusat beli belah dan restoran tertentu dalam tempoh tujuh hari selepas diaktifkan.
Langkah-langkah untuk mengaktifkan pas harian menerusi TNG eWallet sama sahaja seperti bagi pas bulanan My50 di atas.
Mereka yang tidak mempunyai kad TNG pula, khususnya para pelancong dari luar negara, boleh mendapatkan pas harian ini di kaunter Perkhidmatan Pelanggan Rapid KL yang terdapat di stesen rel, serta hab bas terpilih:
- Pasar Seni
- Chow Kit
- Sri Nilam
- Puchong Utama
- Pearl Point
- Greenwood
- Seksyen 2, Shah Alam
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Tak Perasan Kad TNG Kurang Baki? Ini Cara Untuk Lepas Tol Tanpa Perlu Tambah Nilai Saat Akhir
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



