Ini Cara Guna Printer Di 7-Eleven, Hanya Perlu Muat Naik Dokumen Secara Dalam Talian
Perkhidmatan percetakan di 7-Eleven bagaimanapun hanya tersedia bagi dokumen hitam putih bersaiz A4 setakat ini.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Bukan semua orang memiliki mesin pencetak atau printer tersendiri di rumah. Kadangkala nak guna mungkin cuma satu, dua kali setahun. Jadi rasa macam membazir pula nak beli printer dan lebih baik ke kedai cetakan sahaja.
Tapi ada masanya bila tengah terdesak nak print dokumen penting, tak ada pula kedai yang buka!
Lebih-lebih lagi pada waktu tengah malam, jarang ada kedai cetakan yang masih buka dan terpaksalah dapatkan ihsan rakan-rakan atau jiran tetangga untuk mencetak dokumen tersebut.
Baca Artikel Berkaitan: Tak Perlu Risau Sampul Duit Habis Di Pagi Raya, Gadis Ini Ajar Cara Mudah ‘Print’ Sendiri Di Rumah
Orang Ramai Boleh Print Di Kedai 7-Eleven, Muat Naik Dokumen Secara Dalam Talian
Mungkin ramai yang tak tahu, tetapi kedai serbaneka 24 jam terkenal di dalam negara iaitu 7-Eleven turut menawarkan perkhidmatan mencetak.
Maklumat itu telah dikongsi oleh seorang lelaki menerusi hantaran di Threads (@azwan_nazri) baru-baru ini.
Untuk menggunakan perkhidmatan ini, anda boleh memuat turun aplikasi My7E 7-Eleven Malaysia.
Setelah masuk ke aplikasi, tatal sehingga ke bawah iaitu di bahagian ‘In Store Services’ dan klik pada logo PRINT@7E.
Imbas kod QR yang tertera. Boleh juga tatal ke bawah dan klik pada pautan yang disediakan sebelum dibawa ke laman web untuk muat naik dokumen.

Hanya 25 Muka Surat Boleh Dicetak Dalam Satu Transaksi
Setibanya di laman web Print@7E, anda perlu log masuk terlebih dahulu. Letakkan sahaja alamat e-mel anda sebelum menerima kod OTP.
Kemudian, bolehlah mula muat naik dokumen yang ingin dicetak dalam bentuk PDF, DOCX atau DOC.
Hanya 25 muka surat dibenarkan dalam satu transaksi. Jika melebihi jumlah ini, anda perlulah membuat transaksi baharu.

7-Eleven Caj 30 Sen Bagi Setiap Muka Surat, Jumlah Minimum RM1 Bagi 3 Helaian Pertama
Anda juga boleh menyemak semula dokumen yang telah dimuat naik dengan klik pada butang ‘Preview’ sebelum membuat bayaran.
Menerusi percubaan kami, bayaran yang dikenakan dalam 30 sen bagi setiap muka surat.
Namun bagi tiga muka surat pertama, bayaran minimum yang perlu dibuat adalah sebanyak RM1.
Ini bermakna jika anda mencetak hanya satu, dua atau tiga muka surat, caj sebanyak RM1 akan dikenakan.

Selepas bayaran dibuat, anda akan menerima satu kod QR. Tunjukkan kod QR ini kepada juruwang di cawangan 7-Eleven yang mempunyai servis percetakan agar dokumen anda dicetak.
Perkhidmatan ini juga boleh diakses menerusi laman web PRINT@7E [DI SINI].
View on Threads
Hanya Dokumen Hitam Putih Bersaiz A4 Boleh Dicetak Di 7-Eleven
Merujuk pada bahagian soal jawab di PRINT@7E, perkhidmatan percetakan itu hanya dibenarkan buat kertas bersaiz A4 dan bagi cetakan hitam putih sahaja setakat ini.
Kemudahan ini boleh didapatkan di 7-Eleven seluruh Malaysia, tetapi anda harus semak dahulu cawangan mana yang menyediakan perkhidmatan mencetak menerusi bahagian ‘Store Locator’ di portal PRINT@7E.
Bayaran boleh dibuat secara dalam talian mahupun menerusi bayaran wang di cawangan 7-Eleven berkenaan.
Pastikan anda mencetak dokumen yang telah dimuat naik dalam tempoh 24 jam. Jika tidak, transaksi bakal dibatalkan dan tiada sebarang bayaran balik akan diterima.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.