[Reviu] Lenovo Perkenalkan Legion Pro 7i, Prestasi Setanding Desktop High-End
Lenovo Legion Pro 7i Gen 10 dilengkapi spesifikasi premium seperti pemproses Intel Core Ultra 9 dan RTX 5070Ti serta paparan OLED 240Hz, direka khusus untuk mereka yang faham keperluan laptop gaming sebenar.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Lenovo Legion Pro 7i Gen 10 merupakan antara laptop gaming terbaharu yang tampil dengan spesifikasi cukup agresif, selari dengan trend penggunaan GPU RTX 5000 series dan cip pemproses AI generasi baharu.
Melalui model ini, Lenovo dilihat kekal konsisten menawarkan barisan Legion Pro sebagai pilihan utama untuk pengguna yang mahu laptop gaming premium.
Berbekalkan kombinasi grafik RTX 5070Ti dan cip pemproses Intel Core Ultra 9, Legion Pro 7i bukan sahaja hadir dengan spesifikasi terkini, tetapi turut memfokuskan keseimbangan antara prestasi dan rekaan yang lebih elegan.
Baca Artikel Berkaitan: Ini Sebab Kenapa Ada Garisan Kecil Pada Papan Kekunci Huruf F & J Pada Laptop Anda
Spesifikasi Yang Tidak Perlu Dipersoalkan

Baru-baru ini, TRP berpeluang mencuba sendiri keupayaan Legion Pro 7i ini bagi melihat sejauh mana prestasi dan kualiti binaannya.
Melalui pengalaman ringkas ini, kami boleh katakan Legion kekal dengan identitinya yang solid, dibina untuk gaming serius, bukan sekadar hadir dengan spec sheet cantik sahaja.
Legion Pro 7i Gen 10 membawa spesifikasi flagship untuk tahun ini, sesuai bagi mereka yang mahukan prestasi gaming terbaik terus dari sebuah laptop.
Spesifikasi yang kami cuba adalah:
- Intel Core Ultra 9 275HX
- NVIDIA RTX 5080 16GB (upgradable)
- 32GB RAM (16GB x 2, upgradable)
- Paparan OLED 16 inci 2560 x 1600, 240Hz
- Storan 1TB PCIe Gen 5 SSD (2 slot, upgradable)
- Bateri 80Wh (upgradable)
- Sokongan WiFi 7

Binaan Luaran Yang Solid Tanpa Isu Kualiti
Binaan fizikal Legion Pro 7i memang sangat memuaskan. Tiada isu wobble ketika menaip, skrin boleh dibuka sehingga 135 darjah dan boleh diangkat dengan sebelah tangan tanpa perlu pegang bahagian badan.
Bahagian panel hadapan skrin dibina sedikit terkeluar bila ditutup, mudah untuk diangkat dengan satu jari.
Reka bentuk hadir dengan kemasan matte, nampak premium. Akan tetapi, penuh cap jari jika tangan tidak bersih. Ia sangat sensitif dengan minyak.
Jangan cuba pegang laptop ini jika sedang makan, terutamanya goreng pisang. Nanti menyesal.

Saiz & Berat, Masih Logik Untuk Kelasnya
Dengan paparan bersaiz 16 inci dan berat sekitar 2.6kg (3.8kg termasuk pengecas 400W), Legion Pro 7i jatuh dalam kategori laptop gaming yang agak berat.
Namun, ia bukanlah yang teratas dalam kelasnya. Masih lebih ringan jika dibandingkan dengan pesaing lain, walaupun termasuk saiz charger yang pada kami cukup besar.
Papan Kekunci & Pencahayaan RGB Penuh Gaya
Papan kekunci sedap ditekan dengan rasa clicky yang memuaskan. Tidak begitu bising, belum mampu dikelaskan dalam kategori silent-key, tetapi sangat mesra telinga.
Lenovo turut menyediakan keycaps tambahan berasaskan bahan seramik untuk kekunci WASD serta beberapa suis tambahan, namun ia ditawarkan sebagai aksesori tambahan (add-on) dan tidak disertakan dalam pakej standard.

Touchpad plastik terasa sedikit off, kurang rasa premium. Namun, sepanjang penggunaan, jarang sekali kami menggunakan touchpad memandangkan lebih selesa menggunakan mouse.
Mungkin model Legion 9 pada masa akan datang akan hadir dengan touchpad jenis kaca.
Pencahayaan RGB pula ada tiga tahap kecerahan dan enam efek berbeza. Lampu bukan saja hadir di papan kekunci, tapi juga di bahagian depan, belakang serta logo. Semua boleh dikawal dari aplikasi Legion Space.

Audio Lebih Baik Dari Jangkaan
Legion Pro 7i dilengkapi pembesar suara hadapan dan dua pembesar suara bawah kiri kanan. Bass terasa lebih padu dan jelas dari apa kami jangka untuk sebuah laptop gaming.
Namun, seperti biasa, untuk gaming serius tetap lebih selesa guna headphones atau earphones. Jika penggunaan secara santai untuk hiburan, speaker sedia ada sudah cukup sempurna.
TRP turut menjalankan satu sesi ujian tahap bunyi menggunakan aplikasi Decibel X.
Ujian ini dilakukan dengan memainkan lagu pada separuh dan juga tahap bunyi maksimum, manakala mikrofon diletakkan pada jarak kira-kira 25-30cm daripada pembesar suara laptop.

Port & Sistem Penyejukan Lebih Praktikal

Jika dibandingkan dengan generasi sebelum ini, tiada lagi port di bahagian belakang kerana ruang tersebut kini dipenuhi ventilasi.
Pendapat peribadi, kami lebih prefer port tersedia di belakang bagi tujuan cable management, tetapi pengemaskinian ini lebih baik kerana sekurang-kurangnya tangan tidak lagi terasa panas ketika menggunakan mouse di bahagian kanan laptop.
Susunan baharu port pada model ini adalah seperti berikut:
Sebelah kanan:
- 2x USB Type A (5Gbps, 3.2 Gen 1)
- Audio jack 3.5mm
- Suis fizikal untuk kamera
- 2.5Gb LAN
Sebelah kiri:
- Power port (charger)
- HDMI 2.1
- Hanya hadir dengan Thunderbolt 4 / USB Type C 4 (40Gbps, DisplayPort 2.1)
- USB Type C 3.2 Gen 2 (10Gbps, DisplayPort 2.1, 65-140W Charging)
- USB Type A 3.2 Gen 2
Bateri: Boleh Bertahan, Tapi Siapa Guna Tanpa Plug?
Penggunaan bateri memuaskan untuk kerja ringan dan aplikasi kreatif, sekitar 4 jam lebih dengan prestasi dihadkan (capped performance). Tetapi untuk gaming, sudah tentu lebih sesuai sentiasa menggunakan charger.
Laptop seberat ini bukan untuk mereka yang mencari mobiliti, tapi untuk mereka yang faham konsep performance over portability.
Lagipun, penggunaan tanpa pengecasan akan melimitasikan prestasi sistem kerana ketiadaan power supply yang cukup untuk kad grafik berfungsi sepenuhnya.
Prestasi Mod Penggunaan, Kamera & Mikrofon

Semua tetapan prestasi kini mudah ditukar menerusi kekunci FN + Q kepada tiga mod utama iaitu:
- Auto Mode (Putih)
- Silent Mode (Biru)
- Performance Mode (Merah, jika dicucuk charger sahaja)
Ataupun, anda boleh terus ke aplikasi Legion Space untuk mengubah sendiri tetapan prestasi Legion Pro 7i mengikut cita rasa dan kesesuaian.
Kamera webcam 1440p yang disediakan boleh dianggap memadai, tanpa sebarang kelebihan yang menonjol.
Prestasinya dalam keadaan cahaya rendah juga tidak terlalu mengecewakan. Bagi mikrofon pula, kualitinya sekadar mencukupi untuk penggunaan asas.
Komen Peribadi & Kekurangan Kecil

Sebagai pengalaman pertama selama dua (2) minggu menggunakan laptop gaming berkelas tinggi, tak banyak perkara yang boleh dipertikaikan.
Namun, paparan skrin OLED pada peranti ini ternyata lebih reflektif daripada jangkaan dan lebih selesa digunakan dalam keadaan bilik gelap atau dengan langsir ditutup.
Bagi mereka yang sudah biasa menggunakan monitor kelas entry-level dengan paparan VA, IPS dan TN, mungkin memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri.
Dari segi prestasi, sesuai dengan harganya yang premium. Kebanyakan permainan video termasuk kategori AAA dapat dijalankan pada tetapan ultra dengan kadar frame per second (FPS) konsisten yang melebihi jangkaan.

Mahal? Tapi Value For Money!
Legion Pro 7i ini boleh dikustom dengan pelbagai spesifikasi lain termasuk RTX5080 hingga 5090, storan yang lebih besar dan sistem operasi yang lebih fleksibel.
Harganya mungkin sedikit tinggi, namun seperti kebiasaan bagi peranti dalam kelas ini, ia hadir dengan binaan yang premium, prestasi yang konsisten serta ciri tambahan yang berbeza.
Bermula daripada RM14,112.11 (kini hanya RM11,872.01, 15% off) hingga RM19,010.26 (spesifikasi naik taraf sepenuhnya), anda pasti berpuas hati dengan pembelian sebuah Lenovo Legion Pro 7i Gen 10.
Jika tidak.. sekurang-kurangnya, anda dapat RGB!
Jadi, kalau anda berminat atau ingin tahu lebih lanjut, bolehlah ke laman web rasmi Lenovo Legion Pro 7i Gen 10 [DI SINI].
Baca Artikel Berkaitan: Maxis Biggest Sale Kembali Dengan Produk & Promosi Menarik
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.Â