Now Reading
Syarikat Ini Anjur Kelas Coding Percuma Untuk Bantu Asah Kemahiran & Teroka Bidang IT

Syarikat Ini Anjur Kelas Coding Percuma Untuk Bantu Asah Kemahiran & Teroka Bidang IT

Krenovator menyediakan kelas dan latihan ‘coding’ secara percuma ini pada setiap bulan, diikuti dengan sokongan komuniti dan bimbingan rakan sebaya.

Sejak penularan virus Covid-19, ia sedikit sebanyak telah memberikan kesan kepada penduduk di seluruh dunia termasuklah di negara Malaysia sendiri. Baik dari segi kesihatan fizikal, mental, dan tidak lupa juga; ekonomi.

Kita juga dapat melihat perubahan yang drastik di mana gaya hidup manusia telah bertukar kepada penggunaan teknologi secara hampir sepenuhnya dalam segala urusan.

Tak kisahlah peribadi, pekerjaan, mahupun pendidikan.

Contohnya buat golongan yang ingin ‘upskill’, tak perlu lagi pergi ke kelas secara fizikal. Secara maya (virtual) pun boleh dilakukan. Duduk di rumah, jimat kos pengangkutan, jimat masa, dan dapat raih ilmu. Menarik juga, kan?

BACA JUGA: 5 Kursus Digital Jangka Pendek Yang Dapat Bantu Tingkatkan Pendapatan Anda


Krenovator: Platform ‘Tech Talent’ & Usahawan Sosial

Untuk pengetahuan anda, Krenovator iaitu sebuah syarikat teknologi (Tech Talent Platform) – menawarkan akses kepada bakat khusus untuk memberikan peluang kepada setiap individu terpilih di luar sana yang ingin menambah serta mengasah bakat sedia ada dalam dunia teknologi.

Nak belajar ‘coding’ pun mereka ada sediakan, secara percuma pula tu!

Sumber: Krenovator.

Krenovator turut menyediakan kelas dan latihan ‘coding’ secara percuma ini pada setiap bulan, diikuti dengan sokongan komuniti dan bimbingan rakan sebaya.


Sejarah Krenovator

Pihak TRP telah berjaya menghubungi sendiri tulang belakang syarikat ini iaitu Encik Mahadhir Yunus selaku Ketua Pegawai Eksekutif Krenovator untuk mengetahui lebih lanjut tentang cerita di sebalik penubuhan syarikat ini.

Calvin Lim (kiri), Ketua Pegawai Operasi (COO) & Mahadhir Yunus, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Krenovator.

“Kami memulakan operasi platform kami semasa beroperasi semasa pandemik, ianya sukar kerana hampir semua orang mencari sesuatu untuk terus hidup. Tetapi syukur, kami berjaya, model perniagaan berfungsi dengan baik dan masih berkembang sehingga hari ini.

“Terdapat banyak cabaran dan isu yang berlaku tetapi kami bersemangat untuk membantu mereka yang perlu belajar dan meningkatkan kemahiran supaya mereka boleh meningkatkan ke arah kehidupan yang lebih baik.

“Kami merasakan ada keperluan untuk merapatkan jurang. Dari situ, kami mewujudkan komuniti bakat teknologi di mana mereka boleh mendapatkan kelas pengekodan, latihan dan acara percuma setiap bulan bersama-sama dengan sokongan komuniti daripada rakan sebaya & bimbingan daripada pakar industri. Semuanya dalam talian jadi lebih mudah untuk semua orang menyertai,” jelas Encik Mahadhir Yunus kepada TRP.

Beliau juga berkata terdapat ujian teknikal yang boleh dilakukan oleh pelajar untuk berlatih, serta peluang kerjaya buat mereka.


Krenovator Tapis & Sahkan Set Kemahiran Bakat Berdasarkan Keperluan Industri

Mengulas lanjut, pihak Krenovator menjelaskan bahawa pengambilan pekerja teknikal adalah salah satu isu yang dihadapi oleh kebanyakan firma.

Ini kerana tiada pengesahan untuk membuktikan kemahiran mereka dalam CV. Ia memerlukan penilaian menerusi ujian teknikal berulang untuk membuat pengesahan kemahiran berkenaan.

Manakala, untuk bahagian perniagaan pula, mereka cuba memudahkan proses pengambilan pekerja teknikal dan membantu menjimatkan lebih daripada 80% masa proses tersebut.

Sumber: Krenovator.

“Untuk platform ini, kami menapis dan mengesahkan set kemahiran bakat berdasarkan keperluan industri, melalui ujian teknikal dan menghasilkan keputusan segera dalam masa 3 saat. Kesahihan ujian dijamin kerana ujian teknikal merekodkan segala-galanya dan akan diberikan sebagai bukti.

“Apa yang memberi inspirasi kepada saya untuk memulakan program adalah pengalaman saya sendiri ketika berada di peringkat awal dalam industri software. Industri software sentiasa berdepan dengan masalah kekurangan bakat teknologi.

“Berbeza dengan akauntan dan jurutera, mereka boleh bekerja sehingga mereka bersara pada 60 tahun, tetapi programmer ini lain. Jangka hayat programmer adalah terhad.

“Kebanyakan mereka cenderung untuk menukar kerjaya atau keluar dari industri pada usia 45-50 kerana kelelahan mata disebabkan skrin (screen fatigue), bahasa pengaturcaraan baharu atau penyesuaian rangka kerja dan perubahan teknologi dengan pantas,” jelasnya.

Sumber: Krenovator.

Krenovator Berjaya Ubah Nasib Beberapa Individu Menerusi Platform Mereka

Pihak Krenovator dalam masa yang sama menjelaskan betapa mereka bersemangat untuk membantu individu yang memerlukan peluang meningkatkan kerjaya dan kehidupan mereka.

“Ada satu ketika, di mana terdapat individu ini mengucapkan terima kasih kepada saya di atas peluang yang diberikan. Saya tidak mengenalinya pada mulanya kerana kami melakukan segala-galanya dalam talian jadi kami tidak mengenali satu sama lain secara langsung.

“Krenovator benar-benar mengubah hidupnya melalui platform kami (Tech Talent Platform). Dia pada mulanya hilang arah sehinggalah mengetahui tentang komuniti ini. Dari situ dia belajar tentang pengaturcaraan, bahasa dan mula membina portfolio. Dia melakukan ujian teknikal dan lulus.

“Kami membantu menghubungkannya dengan syarikat yang memerlukan pekerja bagi menyelesaikan kerja itu,” kata CEO Krenovator kepada TRP.

Apa yang lebih menggembirakan adalah setelah daripada itu, individu berkenaan bukan sahaja dapat ‘survive’, malah dengan gaji yang diterima dia berjaya menampung pelajaran adiknya.

“Kami menjadikannya sebagai misi untuk kami sejak itu, untuk membantu mereka yang ingin mempunyai kerjaya dan kehidupan yang lebih baik. Ia adalah sumbangan yang sekurang-kurangnya boleh kami lakukan.”


Kesimpulannya di sini, untuk anda yang nak ‘upskill’, inilah platform yang sesuai untuk anda bermula. Tak salah untuk kita mengasah ataupun meneroka bakat baharu. Bak kata orang tua, belum cuba belum tahu. 😉

Sumber: Tenor.

Untuk mereka yang berminat, boleh mulai mendaftar di [LINK INI].


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd