AirAsia X Ganti Baucar Perjalanan Sah 5 Tahun Untuk Tempahan Yang Dibatalkan
Menurut pihak AirAsia X, majoriti permintaan telah diselesaikan manakala baki akan diselesaikan secepat mungkin.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!
Bila tiket penerbangan yang sudah dibeli, telah dibatalkan ataupun ‘re-timed’, memang akan stres! Cuti dah diluluskan, kerja-kerja di pejabat pun sudah di ‘hand-over’.
Tapi waktu penerbangan pula diubahsuai.

AirAsia X Selesaikan Tempahan Yang Dibatalkan Menerusi Baucar Perjalanan Sah Untuk 5 Tahun.
Oleh itu, AirAsia X (AAX), syarikat penerbangan jarak sederhana dan jauh pada 15 Julai lalu mengumumkan telah berjaya menyelesaikan lebih 270,000 tempahan yang dibatalkan akibat pandemik sejak dua tahun lalu.
Ini termasuk kesemua pemegang Pas Tanpa Had RM499 – melalui baucar perjalanan sah sehingga lima tahun dengan nilai penuh tempahan.
Baucar perjalanan ini boleh digunakan untuk menempah mana-mana penerbangan AAX (kod penerbangan D7) serta-merta dan untuk perjalanan pada masa hadapan ke beberapa destinasi antarabangsa yang tersedia.
Banyak lagi laluan akan ditambah ke rangkaian AAX pada masa hadapan termasuk ke Jepun, Australia, Hawaii, New Zealand, London, Dubai dan Istanbul.
BACA JUGA: AirAsia X Bakal Terbang Ke London, Istanbul & Dubai Tahun Ini

Para pelanggan yang masih belum menerima baucar perjalanan dikehendaki mendaftar sebagai ahli airasia rewards di sini menggunakan e-mel sama digunakan untuk membuat tempahan kerana baucar perjalanan akan dipautkan ke akaun tersebut.
AAX akan mengutamakan proses penyelesaian baki tertunggak termasuk tempahan yang dibuat oleh ejen pelancongan dalam beberapa minggu akan datang.
Kesemua pelanggan akan dihubungi melalui alamat e-mel berdaftar.
Saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa kami telah melaksanakan komitmen kami kepada tetamu AAX, dan memberikan baucar perjalanan bernilai lebih AS$92 juta untuk lebih suku juta tempahan. Ini adalah kira-kira 80% daripada jumlah tempahan, dan kami sedang menyelesaikan kumpulan tetamu terakhir supaya semua orang menerima kelayakan mereka.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AAX, Tony Fernandes.
Tony turut meluahkan jutaan terima kasih buat para pelanggan yang setia menyokong AirAsia melalui susah dan senang.
“Saya juga difahamkan ada yang menyatakan kekecewaan kerana tidak menerima bayaran balik secara tunai untuk penerbangan yang dibatalkan.
“AAX tidak dapat membayar bayaran balik tunai berikutan proses undang-undang bagi penstrukturan semulanya, tetapi kami telah bekerja keras untuk mengimbangi kelangsungan syarikat dengan menawarkan baucar perjalanan untuk anda terbang ke destinasi menarik sekarang dan pada masa hadapan,” jelas Tony.
Dua Tahun Lalu Amat Mencabar
Ketua Pegawai Eksekutif AAX Benyamin Ismail berkata, “Dua tahun lalu amat mencabar bagi industri pelancongan di seluruh dunia termasuk kepada AAX berikutan kesan berterusan pandemik dan penutupan sempadan antarabangsa dalam pasaran utama kami.

“Di sebalik semua cabaran ini, kami ingin memberi jaminan kepada semua pelanggan kami bahawa AAX terus komited kepada para pelanggan kami yang mempunyai tunggakan tempahan, apabila kami kembali beroperasi.
“Sebelum pandemik melanda, AAX telah menerbangkan lebih 40 juta tetamu dan kami berharap dapat menerbangkan lebih ramai pada masa hadapan.
“Kami juga telah memanfaatkan tempoh sekatan perjalanan dua tahun lalu untuk menyemak, menetapkan semula dan mengembalikan operasi kami dengan lebih teguh untuk masa depan yang lebih mampan dan berdaya maju.
“AAX kini mungkin mempunyai asas kos terendah dalam industri ini untuk menjadi lebih kompetitif berbanding sebelum ini dan membolehkan kami menawarkan nilai terbaik sekali lagi kepada para pelanggan,” jelas Benyamin.
Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.

I enjoy writing and eating at the same time. I sit at my work desk for hours every day. Oh! I like cafe hopping, though I don't drink coffee. I'm, uh.. indecisive. I see eight sides of everything. Currently leading Bahasa desk for The Rakyat Post as the Head Writer.