Now Reading
Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia, Suara Warga Emas Perlu Didengari [PENDAPAT]

Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia, Suara Warga Emas Perlu Didengari [PENDAPAT]

In Brief
  • Kesihatan mental warga emas sering diabaikan, sedangkan perubahan emosi mereka memerlukan perhatian dan sokongan yang sewajarnya.
  • Hubungan sosial yang bermakna, bukan sekadar kehadiran orang di sekeliling, amat penting untuk kesejahteraan psikologi warga emas.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Oleh:

Professor Dr Rozainee Khairudin,

Ketua Jabatan Psikologi

School of Liberal Arts and Sciences, Taylor’s University


Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia, sudah tiba masanya kita memberi perhatian kepada kesejahteraan emosi warga emas, bukan sekadar kesihatan fizikal mereka sahaja.

Setiap 10 Oktober, dunia menyambut Hari Kesihatan Mental Sedunia.

Pada tahun ini, sambutannya membawa tema Lived experiences heard: real voices, real change, yang memberi fokus kepada kepentingan mendengar suara mereka yang pernah melalui cabaran kesihatan mental.

Tema ini amat relevan bagi golongan warga emas, iaitu golongan yang kesejahteraan mentalnya sering terlepas pandang dalam perbincangan tentang penuaan sihat.

Untuk info, penduduk Malaysia kini semakin menua ekoran penambahbaikan sistem penjagaan kesihatan dan taraf hidup yang memanjangkan jangka hayat.

Menjelang 2026, golongan berusia 60 tahun ke atas dijangka bakal membentuk kira-kira 12.3% daripada keseluruhan penduduk negara.

Penuaan Yang Sihat Bukan Sekadar Tentang Kesihatan Fizikal

World Mental Health Day 2026. (Foto: Magnific)

Selama ini, perbincangan tentang penuaan sihat lebih banyak tertumpu kepada kesihatan fizikal, penyakit kronik, pergerakan dan kemerosotan fungsi kognitif.

Walaupun semua itu penting, kesihatan mental pula tidak seharusnya dianggap sebagai perkara sampingan.

Hakikatnya, proses menua turut membawa pelbagai perubahan besar dalam hidup.

Sebagai contohnya, persaraan mungkin membawa maksud hilangnya rutin harian atau identiti profesional yang telah lama dipegang.

Dalam masa sama, anak-anak mungkin sudah pindah keluar dari rumah, hubungan kekeluargaan berubah. Malah, ada yang terpaksa menanggung kehilangan pasangan, kawan rapat atau kebebasan diri.

Perubahan drastik sebegini boleh menjejaskan emosi, keyakinan, identiti dan rasa bermakna seseorang.

Oleh itu, walaupun kelihatan normal, ia tidak sepatutnya diterima begitu sahaja dan menyebabkan warga emas perlu menghadapnya secara bersendirian.

Tidak Semua Perubahan Itu Kesan Daripada Menua

Perubahan dari segi emosi dan tingkah laku kadangkala dianggap sebagai sebahagian daripada proses menua.

Perasaan sedih, menyendiri, hilang minat, perubahan corak tidur atau hilang selera makan, malah sifat pelupa sering dikaitkan dengan faktor usia.

Akibatnya, tanda-tanda tekanan emosi yang sebenar mungkin terlepas daripada perhatian.

Sedangkan menjadi tua tidak bermakna seseorang secara automatik akan murung, menyendiri atau tertekan.

Sebaliknya, kemurungan dan keresahan merupakan keadaan kesihatan mental yang memerlukan perhatian dan sokongan sewajarnya.

Kajian di Malaysia turut mendapati masalah kemurungan, keresahan dan tekanan dalam kalangan warga emas dan sebahagiannya masih tidak dapat dikesan.

Justeru itu, perubahan pada emosi dan tingakah laku mereka wajar dikenal pasti, bukan terus meletakkan andaian kesan menua.

Rasa Kesunyian Tidak Sama Dengan Tinggal Bersendirian

Selain itu, ramai merasakan bahawa warga emas yang tinggal bersendirian pasti terasa sunyi.

Hakikatnya seseorang warga emas boleh hidup berdikari namun tetap mengekalkan hubungan yang bermakna.

Sebaliknya, ada juga yang dikelilingi keluarga tetapi masih terasa terasing.

Ini kerana rasa kesunyian sebenarnya terbentuk daripada kualiti hubungan sosial, bukan sekadar jumlah orang di sekeliling kita.

Sebagai contoh, satu kajian di Malaysia membabitkan 2,188 warga emas mendapati bahawa jaringan sosial yang lebih kukuh dikaitkan dengan kesejahteraan psikologi yang lebih baik.

Manakala itu, dalam sesetengah kumpulan, ia turut dikaitkan dengan tahap kesunyian yang lebih rendah.

Ini bermakna penemuan itu memperkukuhkan betapa pentingnya hubungan yang bermakna ketika kita menua.

Proses Menua Turut Bermakna Berdepan Dengan Kehilangan

Tidak dinafikan, proses menua juga tidak terlepas daripada berdepan dengan kehilangan.

Kehilangan tidak semestinya bererti insan yang disayangi.

Bagi seorang warga emas, ia mungkin kehilangan daripada identiti dirinya.

Perubahan peranan yang telah lama dipegang sebagai suami, isteri, ibu bapa ataupun penjaga dan kebebasan semakin berkurangan boleh menjejaskan rasa bermakna seseorang.

Walaupun kesedihan merupakan tindak balas semula jadi terhadap kehilangan, warga emas tetap memerlukan ruang untuk meluahkan emosi dan berkongsi pengalaman.

Justeru, keluarga dan masyarakat sewajarnya mengiktiraf keperluan emosi ini, bukan sekadar mengharapkan mereka cepat pulih atau menolak kesedihan itu sebagai kesan menua.

Masyarakat Mempunyai Peranan Sangat Penting

Kesejahteraan psikologi wajar menjadi sebahagian daripada cara masyarakat menyokong penuaan sihat.

Menyediakan peluang untuk warga emas kekal aktif, boleh berhubung dan bermakna dapat banyak membantu, dan ia tidak semestinya memerlukan program yang rumit.

Contohnya, aktiviti seperti berkelah dalam kumpulan kecil, acara komuniti, menari, menyanyi dan kegiatan kreatif boleh menggalakkan penyertaan dan interaksi sosial.

Lebih daripada sekadar mengisi masa, pengalaman sebegini menawarkan ruang untuk meluahkan diri, berkongsi kenangan, merangsang minda dan membina hubungan yang bermakna.

Menariknya, kajian tentang aktiviti kreatif dan sosial turut menunjukkan nilai pengalaman yang menyokong kesihatan kognitif dan emosi.

Oleh itu, daripada hanya menumpukan apa yang mungkin hilang ketika menua, kita turut wajar memikirkan apa yang dapat membantu mereka kekal tabah, bersemangat dan terhubung.

Suara Warga Emas Perlu Diambil Berat

Tema tahun ini mengingatkan kita tentang betapa pentingnya mendengar pengalaman sebenar seseorang.

Bagi warga emas, ini bermakna memahami keperluan mereka, kepentingan dan apa yang memberikan makna dalam kehidupan.

Oleh itu, daripada membuat keputusan bagi pihak mereka, keluarga, masyarakat dan pengamal kesihatan sewajarnya turut melibatkan warga emas dalam keputusan yang menyentuh kehidupan mereka

Tambahan pula, menyokong kesihatan mental memerlukan pendekatan holistik, iaitu kaedah mengambil kira tahap fizikal dan kognitif seiring dengan emosi, hubungan dan persekitaran.

Penuaan secara sihat bukan sekadar menambah bilangan tahun pada usia seseorang.

Sebaliknya, ia tentang memastikan ia dilalui dengan rasa bermaruah, bermakna dan dipenuhi dengan tujuan.

Jika mengasuh seorang anak memerlukan seluruh kampung. Maka membantu seseorang menua dengan sihat secara bermakna dan bermaruah memerlukan peranan kita semua.


Profesor Dr Rozainee Khairudin ialah Ketua Jabatan Psikologi di School of Liberal Arts and Sciences, Faculty of Social Sciences and Leisure Management, Taylor’s University, dan Pengarah Mental Health and Well-being Impact Lab. Kerja penyelidikannya menumpukan kepada kognisi dan tingkah laku manusia, kesihatan mental, kesejahteraan kognitif, daya tahan serta kualiti hidup. Semua pandangan yang tertulis adalah miliknya dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pihak TRP.


Jika anda ingin berkongsi pendapat bersama kami, boleh hantarkan e-mel ke editorial@therakyatpost.com dengan tajuk “OPINION” atau “PENDAPAT”: atau melalui media sosial kami TRPBM: Facebook, Twitter dan Instagram.


Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd