Sebelum Menjadi Coklat Emas, Semuanya Bermula Dengan Usaha Sekumpulan Wanita Ini
Hasil usaha wanita memproses kakao sendiri berjaya meraih pendapatan bulanan sebanyak RM3,622.
- Sekumpulan wanita di Kampung Pejalin menubuhkan KUBE Kita Merong pada 2022, menghasilkan coklat premium jenama Kayan Koa daripada kakao tempatan.
- Kakao bukan sekadar sumber pendapatan, ia turut menjaga alam sekitar kampung yang terhimpit dengan ladang kelapa sawit seluas 5,000 hektar.
- Pendapatan bulanan kumpulan ini meningkat ketara daripada IDR3 juta kepada IDR16 juta, membuka peluang kepada wanita dan anak muda kampung.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Coklat premium semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna di Malaysia.
Pasaran coklat tempatan dijangka bernilai AS$462.1 juta menjelang 2031, apabila semakin ramai orang memilih pencuci mulut ini bukan sekadar rasa sahaja, tetapi juga mementingkan kualiti serta asal usulnya.
Namun, sebelum ia sampai ke kedai untuk dibeli, ada satu persoalan yang timbul iaitu adakah menanam pokok kakao masih berbaloi?
Di sebuah kampung kecil di Kalimantan Utara, sekumpulan wanita sedang berusaha membuktikan bahawa ia memang berbaloi.
Mengapa Kakao Penting Di Pejalin

Soalan itu menjadi tumpuan di Kampung Pejalin, Daerah Bulungan, tempat sekumpulan wanita memproses kakao bukan sahaja untuk mencari pendapatan, tetapi juga menjaga alam sekitar mereka.
Di bawah jenama Kayan Koa, mereka dikenali sebagai Kumpulan Usaha Bersama (KUBE) Kita Merong menghasilkan coklat premium melalui tanaman pokok kakao.
Kumpulan yang ditubuhkan pada 2022 ini mahu memastikan keuntungan diperolehi kekal dalam kampung.
Bagi Mardiatin, yang lebih dikenali sebagai Ibu Yen, 38, kakao bukan hanya untuk perniagaan sahaja.
Kampung Pejalin kini terhimpit dengan pembukaan ladang kelapa sawit. Ladang sawit meliputi kira-kira 5,000 hektar, berbanding kakao yang hanya 1,000 hektar.
Sedangkan pokok kakao membantu menjaga mata air dan kawasan sekeliling kampung.
“Ketika itu, pokok kakao memang ada di kampung, tetapi kebanyakannya dibeli orang luar dengan harga murah. Petani pun mula hilang semangat. Kami terfikir, kalau kami boleh memprosesnya sendiri di sini, nilainya tentu berbeza,” kata Mardiatin.
Peluang itu dibuka pada penghujung 2023, apabila Pejalin menerima bantuan membangunkan ekonomi menerusi program Pemindahan Bajet Daerah Berasaskan Ekologi (TAKE) di Indonesia.
Dengan sokongan penuh dari komuniti kampung, kumpulan itu menerima mesin memproses biji kakao pada 2024 dan mula mempelajari dari asas melalui pemilihan biji sehinggalah cara mengolah coklat.
“Kalau kakao bernilai dan petani boleh hidup daripadanya, mereka tidak akan mudah meninggalkan kebun. Ini juga tentang menjaga air dan tanah kita,” katanya.
Daripada Biji Kakao Kini Menjadi Permata Kampung

Hari ini, KUBE Kita Merong membeli kakao terus daripada petani tempatan, kemudian memprosesnya menjadi coklat, mentega koko, serbuk koko dan minuman koko segera.
Lima daripada sembilan ahli kumpulan terlibat dalam kerja harian, memproses kira-kira 300 kilogram biji kakao kering setiap bulan.
Ini menjadikan Kayan Koa antara perniagaan kecil yang memproses kakao sendiri dari awal hingga akhir.
“Apa yang membezakan kami, kami memproses semua kakao sendiri sampai siap, bukan setakat bar coklat. Serbuk dan menteganya pun dari sini, di Bulungan, jadi rasanya sentiasa sama.” kata Mardiatin.
Namun, menjaga kualiti tetap menghasilkan satu cabaran apabila ramai petani masih menjual biji kakao yang belum ditapai kerana proses penapaian itu mengambil masa yang lama.
Keadaan ini melambatkan pendapatan mereka dan membuatkan rasa coklat tidak sekata.
“Kami tak berani ambil kakao yang belum ditapai sebab ia akan menjejaskan rasa dan kualiti. Jadi, kami kena ajar petani cara memproses dengan betul,” katanya.
Untuk meningkatkan kualiti, kumpulan itu bekerjasama dengan pihak pakar termasuk Agensi Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan Indonesia (BRIN).
Penyelidik dari Universitas Kaltara (UNIKALTARA) pula sedang mencuba idea baharu seperti coklat putih dan teh daripada kulit kakao.
Usaha ini membantu Kayan Koa berkembang daripada satu produk, seterusnya membina sumber pendapatan kampung yang lebih kukuh.
Ekonomi Yang Memulihkan Alam Sekitar Dan Kehidupan Wanita Kampung

Kayan Koa membeli biji kakao daripada petani Pejalin pada harga tetap antara IDR80,000 hingga IDR90,000 (RM18 ke RM20) sekilogram.
Tambahan pula, pendapatan bulanannya juga meningkat daripada IDR3 juta hingga IDR5 juta (RM679 hingga RM1,132) pada permulaannya, kini menjadi IDR16 juta (RM3,622) hari ini.
Perniagaan ini turut membuka peluang kerja kepada wanita dan anak muda lain di kampung, terutama ketika musim sibuk.
“Wanita di kampung sekarang ada peranan, ada pendapatan, dan terlibat dalam pembangunan. Harapan saya, rumah pengeluaran kami dapat siap sepenuhnya tidak lama lagi, dan kami boleh belajar lebih banyak supaya kualiti coklat sentiasa terjaga,” katanya.
Cerita ini turut disebarkan keluar dari Pejalin oleh sebuah badan bukan kerajaan, Persatuan Pilar Nusantara (PINUS). Sejak 2006, PINUS memperjuangkan pembangunan yang menyeluruh dan berkekalan menerusi kerjasama antara kerajaan, syarikat swasta dan masyarakat.
PINUS membantu memperkenalkan KUBE Kita Merong menerusi platform digital di eftindonesia.org, dan turut membentangkannya di forum seperti Persidangan Kebangsaan Pembiayaan Ekologi ke-6.
Antara program mereka ialah membangunkan sistem pembiayaan ekologi (EFT) dan projek perhutanan sosial.
Peringatan Buat Malaysia
Bagi Malaysia, yang kini mementingkan kualiti, asal usul dan cara pengeluaran sesuatu produk, kisah Pejalin hadir pada masa yang sesuai.
Kerana di kampung ini, kakao bukan sahaja mampu menghasilkan sebuah produk yang baik dan berkualiti, ia turut menjaga alam sekitar seperti sumber air, mengekalkan punca pendapatan penduduk dan nilai sentiasa kekal di tempat ia bermula.
Baca Artikel Berkaitan: 10 Praline, 100 Tahun: GODIVA Imbau Sejarah Melalui Koleksi Centennial | TRP
Baca Artikel Berkaitan: Chocolate Museum Tawar Yuran Masuk RM1 Sahaja Sempena Hari Pekerja, Boleh Dapat Coklat Free! | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.