SD Guthrie Catat Untung Bersih RM560 Juta Pada Suku Pertama FY2026
Kumpulan itu turut merekodkan keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) sebanyak RM807 juta, disokong oleh sumbangan lebih kukuh daripada pelbagai segmen perniagaannya.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
SD Guthrie Berhad (Guthrie) memulakan tahun kewangan 2026 dengan prestasi memberangsangkan apabila mencatat keuntungan bersih sebanyak RM560 juta bagi suku pertama berakhir 31 Disember 2026 (1Q FY2026).
Segmen Huluan Kekal Stabil Walaupun Harga MSM Menurun
Segmen Huluan Guthrie mencatat PBIT sebanyak RM529 juta walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) direalisasikan menurun masing-masing sebanyak 10% dan 8% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Bagi tempoh tersebut, harga MSM direalisasikan berada pada RM4,115 setiap tan metrik manakala harga PK direalisasikan mencatat RM3,073 setiap tan metrik.
Pengeluaran tandan buah segar (FFB) pula menurun 5% kepada 1.91 juta tan metrik.
Segmen Hiliran Catat Pertumbuhan 43%
Segmen Hiliran menerusi SD Guthrie International (SDGI) memulakan FY2026 dengan prestasi lebih kukuh apabila merekodkan peningkatan PBIT sebanyak 43% tahun ke tahun kepada RM109 juta.
Prestasi itu disumbangkan oleh peningkatan jumlah jualan, pemulihan margin positif bagi operasi di Asia Pasifik dan Eropah serta sumbangan lebih baik daripada syarikat usaha sama.
Sementara itu, segmen Pembangunan Perindustrian merekodkan PBIT sebanyak RM160 juta hasil penjualan tanah secara langsung kepada pihak ketiga.
Guthrie Kekal Berdaya Tahan Dalam Persekitaran Mencabar
Pengerusi SD Guthrie, Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani berkata portfolio perniagaan Kumpulan yang pelbagai membantu Guthrie mengekalkan prestasi berdaya tahan walaupun berdepan konflik berterusan di Timur Tengah.
“Barisan kepimpinan baharu Kumpulan turut menawarkan kestabilan untuk menghadapi cabaran makroekonomi semasa selain membawa momentum baharu dalam memacu aspirasi pertumbuhan Guthrie,” katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan, Mohd Haris Mohd Arshad berkata Guthrie akan terus memberi fokus kepada usaha meningkatkan keuntungan portfolio perniagaannya sepanjang tahun ini.
Menurut beliau, walaupun pasaran masih tidak menentu, Kumpulan akan memberi tumpuan kepada faktor dalam kawalan seperti produktiviti, kualiti dan pengurusan kos.
“Kami akan terus memanfaatkan prestasi kewangan semasa yang kukuh di samping memastikan strategi dan pelaksanaan dilaksanakan secara berkesan,” katanya.
Harga MSM Dijangka Terus Disokong Faktor Global
Bagi prospek FY2026, Guthrie menjangkakan harga MSM terus disokong dalam tempoh terdekat susulan risiko bekalan berkaitan cuaca serta konflik di Timur Tengah.
Penutupan Selat Hormuz turut dilihat memberi kesan kepada rantaian bekalan global dan meningkatkan kos tenaga, logistik serta baja.
Selain itu, peluasan mandat biodiesel serantau dijangka memberi sokongan tambahan kepada harga MSM walaupun tahap kesiapsiagaan pelaksanaannya masih belum dapat dipastikan.
Hiliran & Tenaga Boleh Diperbaharui Jadi Pemacu Jangka Panjang
Dalam pada itu, Guthrie akan terus memberi fokus kepada disiplin operasi bagi segmen perladangan huluannya termasuk pengoptimuman hasil dan pengurusan kos.
Segmen Hiliran pula akan terus memberi perhatian kepada perlindungan margin menerusi rantaian nilai bersepadu serta kepelbagaian lokasi perniagaan.
Pada masa sama, segmen Pembangunan Perindustrian dan Tenaga Boleh Diperbaharui dijangka terus menyokong daya tahan pendapatan serta usaha kepelbagaian perniagaan Kumpulan untuk jangka panjang.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.
Siti Murni Azman is a Malaysian journalist and editor currently serving as Head Writer and Assistant Editor for The Rakyat Post BM. Known for her relatable and distinctly local storytelling, she frequently covers lifestyle topics including food, café culture, entertainment, consumer trends, and viral social conversations, while also contributing across multiple editorial pillars. Before joining The Rakyat Post, she was involved in social media marketing for AirAsia BIG Rewards, where she worked on digital campaigns and audience engagement. Beyond editorial work, she also manages sponsored content and client collaborations, working closely with brands on digital storytelling tailored for Malaysian audiences.