Aplikasi Strava Kini Perkenal 10 Bahasa Baharu Termasuk Bahasa Melayu, Ingin Perkukuh Capaian Global
Pengguna aplikasi Strava percuma kini boleh menikmati pelbagai ciri yang dilokalkan, termasuk keupayaan untuk menjejak lebih daripada 50 jenis aktiviti serta berhubung dengan rakan-rakan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Strava, aplikasi untuk individu aktif dengan lebih daripada 195 juta pengguna telah mengumumkan penambahan sokongan untuk 10 bahasa baharu dalam platformnya.
Pengumuman ini mencerminkan komitmen berterusan Strava dalam menyediakan pengalaman platform lebih setempat di pelbagai rantau sekali gus membolehkan pengguna membina hubungan dengan komuniti tempatan, mendapatkan motivasi, dan mencapai matlamat kecergasan mereka.
Bahasa tambahan yang kini disokong adalah:
Czech
Denmark
Bahasa Melayu
Norwegian Bokmal
Poland
Sweden
Tagalog
Thai
Turk
Vietnam
“Dengan penambahan bahasa-bahasa baharu ini, Strava kini lebih inklusif dan global berbanding sebelum ini, membolehkan pengguna menikmati pengalaman penuh Strava dalam bahasa ibunda mereka.
“Perkembangan ini merupakan sebahagian daripada strategi pertumbuhan global kami yang lebih meluas, termasuk kerjasama serantau, penghasilan kandungan setempat, serta cabaran dan program khusus pasaran yang akan dilancarkan pada tahun ini,” kata Louisa Wee, Ketua Pegawai Pemasaran Strava.
Pengguna percuma kini boleh menikmati pelbagai ciri yang dilokalkan, termasuk keupayaan untuk menjejak lebih daripada 50 jenis aktiviti serta berhubung dengan rakan-rakan.
Sementara itu, pelanggan berbayar boleh mendapatkan akses kepada cadangan senaman yang diperibadikan, alat untuk meneroka dan merancang haluan baharu, cabaran serta elemen persaingan yang memotivasikan, dan juga analisis latihan lebih mendalam bagi membantu pengguna mencapai sasaran kecergasan.