Bukan Sekadar Spot Bergambar: Merlion Jadi Watak Utama Kempen Pelancongan Singapura
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Dalam usaha menampilkan sisi baharu ikon terkenal Singapura, Scoot bersama Singapore Tourism Board (STB) melancarkan edisi ketiga kempen Singapore Superfans 2026 dengan pendekatan yang lebih kreatif dan interaktif di media sosial.
Menariknya kali ini, Merlion tidak lagi sekadar menjadi latar bergambar ikonik, sebaliknya tampil sebagai protagonis utama dengan personaliti tersendiri.
Dalam kempen ini, Merlion digambarkan sebagai karakter yang nakal dan berfikiran sendiri, mengajak para pengembara meneroka Singapura dari sudut yang berbeza.
Kempen ini dilancarkan melalui sebuah filem promosi berkonsepkan video muzik rock klasik yang diarahkan oleh pengarah Singapura, Peggy Goh, dengan muzik oleh Bumblebeat.
Dalam video tersebut, Merlion ditampilkan sebagai watak aktif yang menggalakkan orang ramai keluar daripada kebiasaan dan melihat Singapura dengan perspektif baharu.
Cabaran Media Sosial #MerlionMadeMeDoIt
Sebagai sebahagian daripada kempen ini, Scoot dan STB memperkenalkan cabaran media sosial #MerlionMadeMeDoIt yang berlangsung di lima negara iaitu Australia, China, India, Indonesia dan Malaysia.
Melalui cabaran ini, pencipta kandungan dan KOL akan memulakan trend dengan menghasilkan gambar atau video di lokasi unik di Singapura tanpa melibatkan Merlion — seolah-olah memenuhi “permintaan” karakter tersebut.
Orang ramai kemudian dijemput untuk menyertai cabaran dengan mencadangkan lokasi viral lain di Singapura.
Peserta terbaik dari setiap negara berpeluang memenangi perjalanan ke Singapura bernilai sehingga SGD3,500, termasuk tiket penerbangan, penginapan serta pengalaman eksklusif di negara kota itu.
Menurut Ketua Pegawai Komersial Scoot, Calvin Chan, kempen ini mencerminkan perubahan cara pengembara moden melihat pengalaman perjalanan.
“Pengembara hari ini mencari pengalaman yang lebih peribadi dan berkait dengan budaya tempatan. Dengan menampilkan Merlion sebagai watak aktif yang boleh berinteraksi dengan penonton, kami membuka cara baharu untuk orang ramai meneroka Singapura,” katanya.
Kempen ini turut menyokong inisiatif pelancongan STB “We Don’t Wait For Fun”, menyasarkan golongan pengembara muda berusia antara 25 hingga 39 tahun yang gemar pengalaman spontan dan autentik.
Bagi mereka yang terinspirasi untuk melancong selepas melihat kempen ini, Scoot juga akan menawarkan jualan tambang khas ke Singapura untuk pengembara dari Australia, China, India, Indonesia dan Malaysia.
Promosi tersebut berlangsung dari 20 hingga 27 Mac 2026, memberi peluang kepada para pengembara untuk menukar inspirasi daripada cabaran media sosial ini kepada pengalaman perjalanan sebenar.