Now Reading
Sedekad Laluan KL–Perth, Batik Air Umum Tambah Penerbangan Disember Ini

Sedekad Laluan KL–Perth, Batik Air Umum Tambah Penerbangan Disember Ini

Penerbangan Batik Air Kuala Lumpur-Perth menyokong trafik dua hala yang konsisten dan memudahkan perjalanan pelancong.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Batik Air dengan bangganya meraikan 10 tahun menghubungkan Kuala Lumpur dan Perth, menandakan sedekad perjalanan yang selesa. Ia dalam masa sama mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Australia Barat.

Sejak perkhidmatan Kuala Lumpur–Perth dilancarkan pada 2015, laluan ini telah menjadi salah satu laluan antarabangsa paling kukuh bagi Batik Air. Ia menyokong trafik dua hala yang konsisten dan memudahkan perjalanan pelancong, pelajar, serta komuniti perniagaan di kedua-dua pasaran.

Ulang tahun ini juga menunjukkan komitmen berterusan syarikat untuk menawarkan pengalaman perjalanan yang lancar dan selesa, sambil menyumbang kepada pertumbuhan serantau.

Batik Air Sediakan Kejutan Buat Penumpang Berlepas Ke Perth

Sempena sambutan ini, Batik Air mengadakan acara khas di Lapangan Terbang Perth, termasuk pameran, hadiah eksklusif, dan aktiviti kejutan sepanjang hari untuk penumpang yang berlepas dari Perth.

Pegawai Pemangku Ketua Komersial & Penerbangan Lapangan Terbang Perth, James Gorton, berkata kerjasama jangka panjang antara pihak mereka dan Batik Air telah menghubungkan Australia Barat dengan Malaysia selama sedekad.

Ketika itu, Perth merupakan pintu masuk pertama kumpulan syarikat penerbangan ini ke pasaran Australia.

Sumber: Batik Air

“Sepanjang 10 tahun ini, Perth Airport dan Batik Air mengekalkan kerjasama kukuh yang membantu Malaysia menjadi pasaran pelawat antarabangsa kelima terbesar bagi Australia Barat, menjana perbelanjaan pelawat sebanyak $131 juta dalam FY25.

“Kami mengucapkan tahniah kepada Batik Air atas pencapaian besar ini dan kami menantikan kerjasama yang lebih berjaya pada masa depan, serta lebih banyak pilihan perjalanan untuk pelanggan di Perth Airport,” kata beliau.

Batik Air Tambah 11 Penerbangan Ke Perth Sepanjang Bulan Disember 2025

Setakat ini, Batik Air mengendalikan tujuh penerbangan terus setiap minggu antara Kuala Lumpur dan Perth, serta tujuh penerbangan transit melalui Denpasar, Bali.

Jadual penerbangan ini menawarkan pilihan yang fleksibel dan mudah serta menyokong trafik dua hala yang kukuh melibatkan keluarga, pelajar, pelancong perniagaan dan pelancong umum.

Foto: Batik Air

Melihat kepada peningkatan permintaan dan populariti Perth sebagai destinasi pelancongan dan perniagaan, Batik Air akan menambah 11 lagi penerbangan terus sepanjang Disember 2025.

Untuk maklumat lanjut atau merancang perjalanan anda, sila muat turun aplikasi mudah alih Batik Air atau layari laman web rasmi mereka [DI SINI].


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd