Now Reading
TikTok Shop Perkasa Masa Depan Digital ASEAN Dengan Membuka Potensi Penuh PMKS

TikTok Shop Perkasa Masa Depan Digital ASEAN Dengan Membuka Potensi Penuh PMKS

Ramai pengusaha PMKS masih berdepan cabaran untuk menerapkan transformasi digital akibat akses terhad kepada teknologi, keterlihatan digital rendah, serta ketiadaan strategi perniagaan yang mampu berkembang.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


TikTok Shop mengukuhkan komitmennya untuk memperkasakan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di seluruh Asia Tenggara dengan kerjasama rapat pelbagai kerajaan, kementerian dan agensi ASEAN, bagi merancakkan transformasi digital mereka.

Oleh kerana PMKS merupakan nadi ekonomi ASEAN yang menyumbang kepada pekerjaan, inovasi dan perkembangan, TikTok Shop akan terus memperkenalkan usaha-usaha inovatif bagi merealisasikan potensi penuh perusahaan menerusi perdagangan dan keterlihatan digital.

Pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) 2025 yang berlangsung baru-baru ini di Kuala Lumpur, seramai 11 PMKS telah tampil berkongsi kisah transformasi mereka, serta menjalankan demonstrasi sesi jualan langsung bagi para penonton ASEAN, sekali gus menonjolkan kuasa perdagangan digital.

Mereka terdiri daripada lima usahawan di bawah program ASEAN Supporting Our Artisans and Retailers (SOAR) Together, serta enam penjual TikTok Shop, yang masing-masing menunjukkan bagaimana kreativiti, inovasi dan alat digital dapat mentransformasikan perniagaan-perniagaan kecil di rantau ini.

Walaupun berperanan besar dalam memacu ekonomi ASEAN, ramai pengusaha PMKS masih berdepan cabaran untuk menerapkan transformasi digital akibat akses terhad kepada teknologi, keterlihatan digital yang rendah, serta ketiadaan strategi perniagaan yang mampu berkembang.

Foto: TikTok Shop

Bagi merapatkan jurang ini, Yayasan ASEAN dengan kerjasama TikTok Shop dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia telah melancarkan program ASEAN SOAR Together — sebuah inisiatif serantau bagi memperkasakan 50 PMKS, yang melibatkan lebih 150 usahawan di seluruh ASEAN, menerusi latihan khusus, pembangunan kemahiran digital serta peluang keterlihatan.

Pengarah Dasar Awam untuk Asia Tenggara, TikTok, Chanida Klyphun, berkata, “TikTok Shop komited untuk menyokong transformasi digital serta peningkatan kemahiran PMKS. Program ASEAN SOAR Together merupakan contoh terbaik bagaimana kami memperkasa PMKS.

“Melalui gabungan latihan, aplikasi dunia nyata dan pendedahan terpilih di peringkat ASEAN, kami memperkasakan para usahawan dengan alat serta peluang untuk berjaya secara digital.

“Paling penting, kami membantu mereka memanfaatkan ekosistem unik TikTok Shop daripada penemuan hingga pembelian. Komuniti di platform kami, yang disatukan atas minat sama, telah mewujudkan ‘kedai digital’ yang berpengaruh di mana sesiapa sahaja boleh dilihat, berinteraksi dan berjaya.

“Kami berasa gembira melihat kejayaan awal apabila para penjual yang mengambil bahagian mencatatkan peningkatan kukuh dalam jualan dan kadar penukaran selepas mengaplikasikan ilmu yang diperoleh daripada program ini serta melibatkan diri dalam sesi jualan langsung,” kata Chanida Klyphun, Pengarah Dasar Awam bagi Asia Tenggara, TikTok.

ASEAN SOAR Together Melabuhkan Tirai di ABIS 2025

Menerusi ASEAN SOAR Together, PMKS berpeluang memperkukuh keupayaan perniagaan digital dan daya saing dalam pasaran hari ini yang berasaskan teknologi, terutama dalam meningkatkan kehadiran mereka di TikTok Shop.

Siri bengkel serta latihan khusus yang dikendalikan oleh TikTok Shop dan pakar pemasaran digital telah membantu mempertingkatkan literasi digital, teknik jualan langsung, kemahiran penciptaan kandungan dan pemahaman terhadap pematuhan dasar.

Foto: TikTok Shop

Program ini bukan sahaja membekalkan alat penting untuk berkembang, malah menyemai keyakinan untuk memperluas capaian serta impak mereka di seluruh rantau.

Program ini mencapai kemuncaknya di Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) 2025 di Kuala Lumpur, apabila lima perusahaan cemerlang — MAGWAI (Filipina), LALAPIS (Thailand), Meatless Kingdom (Indonesia), Redlands Coffee (Vietnam) dan Camb-Aha (Kemboja), menonjolkan kreativiti, ketahanan serta inovasi mereka.

Semua perusahaan ini mencerminkan komitmen ASEAN untuk memperkasakan perniagaan kecil dan memartabatkan semangat keusahawanan yang mendorong perkembangan ekonomi inklusif di Asia Tenggara.

Semasa sidang kemuncak berkenaan, delegasi ASEAN seperti Yang Berhormat Datuk Mohd Shahar Abdullah; Ibu Mari Elka Pangestu, Timbalan Pengerusi Majlis Ekonomi Kebangsaan Republik Indonesia; dan George Barcelon, Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri Filipina serta Ahli ASEAN-BAC Filipina berpeluang mengunjungi reruai TikTok Shop untuk melihat sendiri bagaimana PMKS tempatan mereka memanfaatkan platform itu bagi memacu perkembangan semasa.

Para delegasi sangat kagum dengan demonstrasi jualan langsung oleh lima perusahaan cemerlang tersebut.

Ramai memuji peranan TikTok Shop dalam menyediakan alat, latihan dan platform yang membantu mengembangkan PMKS, sambil menyatakan minat terhadap peluang kerjasama pada masa hadapan.

Foto: TikTok Shop

“Kehadiran kami di ABIS 2025, yang berlangsung seiring Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Malaysia, menyediakan platform berkuasa untuk mempamerkan kejayaan nyata dalam usaha pembangunan kapasiti kami.

“Kami berbangga menyaksikan PMKS kita, tunjang ekonomi ASEAN mempamerkan perkembangan dan ketahanan digital mereka di pentas antarabangsa. Kejayaan ini membuktikan keberkesanan program ASEAN SOAR Together serta komitmen teguh rakan kongsi kami, TikTok Shop, bagi melengkapkan usahawan dengan kemahiran e-dagang penting.

“Kami sedang mempercepat usaha untuk memastikan transformasi digital kekal inklusif dan lestari, serta membawa kemakmuran yang sebenar dan berkekalan kepada komuniti di seluruh rantau ini,” jelas Pengarah Eksekutif Yayasan ASEAN, Dr. Piti Srisangnam.

Foto: TikTok Shop

Mengulas lanjut, Pengerusi, Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC), Tan Sri Nazir Razak berkata, “Program ASEAN SOAR Together menyerlahkan kolaborasi berkesan dalam memajukan ekonomi digital ASEAN.

“Menerusi kerjasama antara TikTok Shop, Yayasan ASEAN dan ASEAN-BAC, kami menyaksikan bagaimana PMKS memperkukuh keupayaan digital serta daya saing mereka di rantau ini.

“Pencapaian yang dipamerkan semasa ABIS 2025 baru-baru ini membuktikan bahawa inisiatif bersasar mampu memacu perkembangan inklusif serta memperkasakan usahawan, khususnya wanita dan belia untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi ASEAN yang lestari.

Program ASEAN SOAR Together merupakan pencapaian penting dalam misi TikTok Shop untuk memperkasakan PMKS dan memperkukuh ekonomi digital Asia Tenggara.

Inisiatif ini telah melengkapkan usahawan dengan kemahiran digital, ketahanan perniagaan, serta amalan yang lestari dan berkesan untuk berjaya secara dalam talian.

Menerusi kerjasama ini, TikTok Shop dan Yayasan ASEAN terus menegaskan komitmen bersama dalam memperkasakan usahawan, memantapkan perniagaan tempatan dan memacu kemakmuran inklusif dalam ekosistem ASEAN berteraskan digital, sekali gus menyokong kemajuan ke arah Wawasan Komuniti ASEAN 2045.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd