Rasa Selamat Dari STD? Ini 5 Mitos Yang Ramai Rakyat Malaysia Masih Percaya
Pecahkan mitos bukan tugas doktor sahaja, tetapi bermula dari diri kita sendiri.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Artikel oleh Clarissa, Klinik Pistil.
Semakan oleh Dr. Christi, Pegawai Perubatan dari Metromedic, Rangkaian Klinik Pistil.
Bila kali terakhir awak dengar kawan, cikgu, atau mak ayah sendiri cakap terbuka pasal STD? Kalau jujur, mungkin jarang, atau tak pernah langsung. Topik ni masih dikelilingi malu, stigma, dan senyap.
Dalam bahasa mudahnya masih kekal Tabu di kalangan rakyat Malaysia.
Sebab tu ramai orang Malaysia membesar dengan cerita separuh betul, gosip, atau info dari kawan. Kadang-kadang sedap didengar, tapi bila kena dekat diri sendiri, ramai yang tak tahu nak buat apa.
Apa Itu Sebenarnya STD & STI?
STI (Sexually Transmitted Infection): Jangkitan yang boleh tersebar melalui hubungan seksual, kadang tak ada simptom, tapi boleh dirawat.
STD (Sexually Transmitted Disease): Bila STI tak dirawat dan jadi penyakit yang tunjuk simptom atau ganggu kesihatan.
Realiti Di Malaysia
Walaupun ada rawatan, penyakit ni masih jadi isu besar di seluruh dunia. Setiap hari, lebih 1 juta orang dijangkiti STI yang boleh dirawat, dan pada tahun 2022 saja, lebih 8 juta kes sifilis dilaporkan.
Di Malaysia, tahun 2022 merekodkan 4,669 kes sifilis dan 1,211 kes AIDS. Menjelang akhir 2023, lebih 85,000 rakyat Malaysia hidup dengan HIV, kebanyakannya anak muda umur 20 hingga 29 tahun.
Angka ni tunjuk satu perkara bahwa STDs bukan benda luar biasa. Ia ada di sekolah, universiti, tempat kerja, bahkan dalam rumah sendiri. Tapi sebab ramai fikir “itu bukan masalah aku,” isu ni terus berulang.
Mari kita bongkar lima mitos yang orang Malaysia masih percaya pasal STD, dan apa kebenaran di sebaliknya.
Mitos 1: “Kalau aku ada STD, mesti aku tahu.”
Banyak jenis STI dan STD tak tunjuk simptom langsung selama berbulan atau bertahun. Seseorang boleh nampak sihat, tapi tetap menjangkiti orang lain. Satu-satunya cara nak tahu adalah buat tes secara berkala.
Mitos 2: “Tes STD memalukan dan tak perlu.”
Ramai malu nak buat ujian sebab fikir klinik akan pandang pelik. Tapi sebenarnya, tes STD sekarang senang, cepat, dan rahsia.
Harga pun berpatutan, antara RM100 hingga RM400 di kebanyakan klinik. NGO dan platform macam Pistil serta PT Foundation pun ada program ujian secara discreet dan juga kit ujian sendiri.
Mitos 3: “Kami guna kondom, jadi kami selamat.”

Kondom memang kurangkan risiko, tapi tak lindung semua bahagian. Penyakit macam herpes dan HPV boleh tersebar melalui sentuhan kulit. Kondom bantu, tapi ujian berkala dan vaksinasi sama pentingnya.
Mitos 4: “Aku cuma ada satu pasangan, tak mungkin kena.”
Walaupun hanya satu pasangan, risiko pun tetap ada. Pasangan mungkin ada jangkitan lama yang tak dirawat, atau mungkin tak tahu pun. Cinta dan kepercayaan itu penting, tapi kesedaran dan tanggungjawab diri pun sama penting.
Mitos 5: “Hanya orang yang ‘nakal’ je kena STD.”

STD tak pilih mangsa dan boleh kena pada sesiapa saja, berkahwin, bujang, muda, atau tua. Bila kita anggap STD sebagai “isu moral”, kita cuma tambah rasa malu, dan orang jadi takut nak dapatkan bantuan. Realitinya, lebih cepat buat tes, lebih mudah rawatan.
Kenapa Mitos STD Masih Wujud & Kenapa Ia Bahaya?
Macam banyak benda lain dalam dunia ni, mitos tak muncul tiba-tiba. Ia tumbuh sebab diam dan malu. Di Malaysia, topik tentang seks masih susah nak dibincangkan secara terbuka.
Ramai ibu bapa elak terus cakap pasal seks sebab takut anak jadi “terlebih ingin tahu” atau “terpengaruh buat benda tak baik.”
Sekolah pula tak selalu isi kekosongan tu, penerangan selalunya terlalu saintifik, terlalu ringkas, atau hanya fokus pada kawalan diri.
Akhirnya, ramai anak muda Malaysia membesar tanpa maklumat sebenar tentang tubuh sendiri dan cara nak jaga diri dengan selamat. Lepas tu, sebab ada stigma, ramai takut nak tanya.
Bila tak ada sumber yang selamat, mereka mula percaya pada kawan, gosip, atau internet, tempat di mana maklumat salah tersebar lebih cepat daripada fakta.
Hasilnya? Mitos terus hidup, dan orang kekal tak bersedia.
Apa Kita Boleh Buat Untuk Kurangkan Stereotaip Tentang STD?
Pecahkan mitos bukan tugas doktor sahaja, tetapi bermula dari diri kita sendiri. Berikut beberapa langkah mudah yang boleh kita ambil:
1. Normalisasikan Tes STD
Anggap tes STD sama macam check-up biasa, macam pergi cabut gigi atau periksa tekanan darah. Di Malaysia, ada hospital kerajaan, klinik swasta, syarikat, dan NGO seperti Pistil yang tawarkan ujian secara rahsia dan mampu milik.
2. Wujudkan Ruang Selamat Untuk Bincang Kesihatan Seksual

Tak kira di rumah, di sekolah, atau komuniti, penting untuk ada ruang yang selamat dan bebas dari rasa malu untuk bincang pasal kesihatan seksual. Bila orang boleh tanya dan kongsi tanpa takut, khabar angin boleh diganti dengan fakta.
Awak boleh sertai program komuniti, bengkel, atau acara yang fokus pada kesihatan seksual dan STD seperti Pistil Community, Malaysian AIDS Council (MAC), atau SEED Foundation. Dengan ilmu dan kesedaran, kita bukan je jaga diri, tapi juga bantu orang sekeliling.
3. Kondom, Vaksin & Penjagaan Pencegahan
Kondom memang kurangkan risiko, tapi tak lindung semua jenis jangkitan. Penyakit macam HPV dan herpes masih boleh tersebar melalui sentuhan kulit.
Di Malaysia, pelajar perempuan sekolah dapat vaksin HPV percuma, tapi wanita muda masih boleh teruskan vaksin di klinik atau hospital.
Tetapi, lelaki pun boleh ambil vaksin HPV.
Walaupun kanser serviks hanya berlaku pada wanita, lelaki juga boleh sebarkan HPV melalui hubungan seksual. Bila dua-dua pihak divaksin, kedua-duanya lebih terlindung.
4. Bawa Kesedaran, Kurangkan Stigma
STD bukan tanda keperibadian buruk, tapi isu kesihatan yang perlu rawatan, sama macam kencing manis atau selesema. Label “malu” atau “kotor” hanya buat orang takut nak dapatkan rawatan.
Ya, mungkin stigma takkan hilang sepenuhnya.
Tapi bila kita mula bercakap secara terbuka, di rumah, sekolah, atau dengan kawan, rasa takut tu akan berkurang, dan orang lebih berani cari bantuan. Langkah kecil dalam kesedaran boleh ubah banyak perkara.
5. Pendidikan Kesihatan Reproduktif Bermula Dari Rumah

Ramai ibu bapa cuma sempat cakap, “Jangan mengandung” atau “Jaga diri.” Tapi anak juga perlu tahu pasal jangkitan, consent, rasa hormat, dan keselamatan sebenar.
Tak perlu jadi doktor untuk ajar semua ni, cukup dengan jujur dan terbuka. Bila ibu bapa mula bercakap awal dan semak fakta sama-sama, anak akan membesar lebih bersedia dan berpengetahuan.
6. Pendidikan Kesihatan Reproduktif Bukan Benda Malu
Di sekolah, ramai cikgu malu nak ajar topik seks atau reproduktif, sebab takut dianggap “tak sopan”. Akhirnya pelajar cuma tahu teori asas dan mula anggap topik ni kotor.
Padahal, pendidikan seks sama pentingnya macam belajar pasal jantung atau paru-paru. Kalau orang dewasa mula ajar dengan yakin, pelajar pun akan rasa topik ni normal, bukan taboo.
Bila ilmu jadi terbuka, mitos pun tak sempat tumbuh.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.