Sistem ‘Ganjaran & Misi’ Whoscall Tawar Insentif Buat Pengguna Yang Laporkan Penipuan
Menerusi sistem ini, pengguna Whoscall boleh menebus mata yang diterima bagi mendapatkan langgangan Premium, ganjaran menarik atau produk tajaan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Whoscall, aplikasi anti-scam yang dibangunkan oleh Gogolook, hari ini (23 September) mengumumkan penjenamaan semula di peringkat global dengan meletakkan individu serta komuniti sebagai teras utama bagi memperkasa diri dan memperkukuh perlindungan bersama.
Seiring transformasi ini, Whoscall memperkenalkan sistem ‘Ganjaran dan Misi’ baharu yang menjadikan laporan penipuan lebih bermakna dengan menawarkan insentif kepada pengguna.
Usaha ini sekali gus menguatkan perjuangan kolektif menentang scam. Pendekatan berteraskan komuniti ini mencerminkan tagline Whoscall, “Inovasi Demi Kepercayaan, Dipacu oleh Komuniti”.
Sistem ‘Ganjaran & Misi’ Whoscall Guna Model Gamification
Sistem ‘Ganjaran dan Misi’ baharu yang akan dilancarkan pada suku keempat 2025 ini direka khas untuk menggalakkan pengguna lebih aktif dalam usaha pencegahan scam.
Dengan menyelesaikan tugasan mudah seperti melaporkan nombor dan mengesahkan aktiviti yang mencurigakan, pengguna akan memperoleh mata yang kemudiannya boleh ditebus untuk mendapatkan langganan Whoscall Premium, ganjaran menarik, atau produk tajaan.
Model berasaskan gamifikasi (gamification) ini bukan sahaja memberi motivasi kepada pengguna, malah turut memperkukuh komuniti anti-scam yang lebih kuat dan pintar.
Whoscall Manfaatkan AI Untuk Kukuhkan Perlindungan
Whoscall turut memperkukuh perlindungan aplikasinya dengan kuasa Kecerdasan Buatan (AI).
Bekerjasama dengan Gemini, Whoscall memanfaatkan kecerdasan ‘back-end’ yang canggih ini untuk mengenal pasti taktik serta corak penipuan yang semakin berkembang.
Hasilnya, ciri aplikasi ini menjadi lebih pantas dan tepat, daripada mengesahkan nombor telefon dan pautan hinggalah menganalisis tangkap layar yang mencurigakan, sekali gus memberi keyakinan lebih besar kepada pengguna dalam membuat keputusan digital.
Bagi menjadikan aplikasinya lebih mesra pengguna, Whoscall memperkenalkan maskot digital ‘Vee ‘yang melambangkan kepercayaan, semangat komuniti dan tindakan bersama dalam memerangi scam.
Seiring pembaharuan ini, Whoscall turut hadir dengan logo dan rekaan aplikasi baharu yang lebih intuitif, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan terhadap ketelusan dan keterangkuman.

Aplikasi Whoscall Diiktiraf PDRM
Sejak dilancarkan pada tahun 2010, Whoscall telah berkembang menjadi salah satu platform anti-scam terbesar di dunia.
Ia telah menyekat lebih 660 juta panggilan scam, menapis 1.8 bilion mesej scam, mengesan 30 juta laman sesawang scam, serta mengumpul lebih daripada 135 juta laporan scam daripada 9.5 juta individu di 57 buah negara.
Di Malaysia, Whoscall kekal sebagai satu-satunya aplikasi anti-scam yang mendapat pengiktirafan rasmi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), sekali gus mengukuhkan kredibilitinya sebagai platform pencegahan scam yang paling dipercayai di negara ini.
“Penjenamaan semula ini bukan sekadar tranformasi kepada wajah baharu, tetapi mencerminkan komitmen Whoscall untuk meletakkan pengguna sebagai teras utama.
“Menerusi sistem ‘Ganjaran dan Misi’, laporan aktiviti scam kini menjadi usaha bersama komuniti di mana setiap tindakan memberi impak. Dengan menggabungkan laporan scam dibuat oleh pengguna, kerjasama strategik dan teknologi canggih seperti AI, Whoscall dapat membina pangkalan data yang lebih pintar serta perlindungan yang lebih kukuh.
“Seiring dengan evolusi taktik penipuan, misi kami jelas: memperkasakan orang ramai dengan aplikasi yang lebih baik, ciri yang bermakna, dan kekuatan kolektif untuk kekal selamat.
“Perkara ini amat penting khususnya di Malaysia, di mana 2025 State of Scams Report mendedahkan bahawa walaupun tiga perempat rakyat Malaysia berasa yakin untuk mengenal pasti scam, 73% masih terjerumus menjadi mangsa,” kata Ketua Pegawai Operasi Gogolook, Manwoo Joo.

Langgan Whoscall Premium Dengan 3 Pilihan
Anda kini boleh merasai pengalaman baharu aplikasi Whoscall dengan memuat turunnya secara percuma di Google Play atau App Store. Dan anda boleh melanggan Whoscall Premium dalam tiga pilihan iaitu Individu, Duo (untuk 2 akaun) dan Keluarga (untuk sehingga 5 akuan).
Semua pelan ini memberikan pengalaman bebas iklan serta pelbagai ciri eksklusif. Pelan Duo dan Keluarga juga menawarkan harga yang lebih berpatutan untuk pengguna berkongsi aplikasi pencegahan scam penting ini bersama rakan dan ahli keluarga.
Pada masa yang sama, pengguna boleh menantikan pelancaran sistem ‘Ganjaran dan Misi’ baharu pada suku keempat 2025, satu langkah signifikan yang menjadikan pencegahan scam sebagai usaha komuniti bersama.
Ikuti perkembangan terkini dan tips perlindungan melalui Facebook dan TikTok rasmi Whoscall.
Baca Artikel Berkaitan: Whoscall 2025 – Panggilan Scam Berleluasa, Malaysia Negara Teratas Terjejas Di Rantau Asia
Baca Artikel Berkaitan: Pos Malaysia & Whoscall Tandatangani MoU, Pengguna Dapat Kenal Pasti Nombor Telefon Yang Disahkan
Baca Artikel Berkaitan: Whoscall Kerjasama Dengan PDRM Banteras Scammer, Berjaya Turunkan 10% Kadar Jawab Panggilan Palsu
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



