73% Rakyat Malaysia Jadi Mangsa Scam, Paling Banyak Menerusi Panggilan Telefon – Laporan
Laporan yang diterbitkan oleh Gogolook bersama GASA ini mendapati 82% daripada golongan yang paling berisiko menjadi mangsa scam terdiri daripada individu berpendidikan tinggi.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Ditipu lagi! Bagi kebanyakan orang, meskipun sudah banyak laporan dan berita tentang penipuan disiarkan, tanggapannya tetap sama, “Ini perkara yang biasa akan berlaku pada orang lain, tetapi bukan saya.”
Sehinggalah terkena pada diri sendiri! Walaupun ramai rakyat Malaysia yakin mereka mampu mengesan taktik penipuan, mereka tetap menjadi mangsa, sekali gus mendedahkan jurang yang membimbangkan antara tahap kesedaran dan langkah pencegahan sebenar.

73% Rakyat Malaysia Jadi Mangsa Scam Walaupun Majoriti Yakin Dapat Kenal Pasti Taktik Penipuan
Menurut laporan State of Scams in Malaysia 2025 yang baru diterbitkan oleh Gogolook bersama Global Anti-Scam Alliance (GASA), seramai 85% responden di Malaysia berdepan cubaan penipuan (scam) dalam tempoh setahun lalu, dan 73% daripada mereka benar-benar menjadi mangsa.
Apa yang lebih membimbangkan, situasi ini berlaku meskipun tiga perempat daripada orang dewasa di Malaysia yakin dengan kemampuan mereka mengenal pasti taktik penipuan, dengan 14% mendakwa mereka mampu mengesannya setiap kali.

Rata-Rata Golongan Milenial Paling Berisiko Mengalami Scam
Satu lagi penemuan menarik daripada laporan ini menunjukkan bahawa 82% daripada golongan yang paling berisiko mengalami scam terdiri daripada individu berpendidikan tinggi, manakala 78% daripadanya adalah golongan milenial.
“Scam kini dilihat sudah sebati dalam landskap digital kita, sehingga mereka yang celik teknologi, berpendidikan tinggi dan yakin dengan kemampuan sendiri pun masih boleh terjerat. Jurang keyakinan yang keterlaluan ini sangat berbahaya dan data jelas membuktikannya.
“Walaupun 94% responden Malaysia mengatakan mereka mengambil langkah untuk menyemak kesahihan sesuatu tawaran, ramai yang masih bergantung kepada kaedah kurang berkesan seperti memeriksa kesalahan tatabahasa atau melihat sama ada sesebuah syarikat aktif di media sosial.
“Apa yang dapat kita pelajari di sini ialah kesedaran semata-mata tidak mencukupi. Kita perlukan alat yang lebih baik, pencegahan yang lebih bijak, serta platform yang menyokong pengesanan awal dan tindakan segera,” kata Manwoo Joo, Ketua Pegawai Operasi Gogolook, syarikat di sebalik aplikasi Whoscall.
Whoscall Guna AI Untuk Kesan Panggilan & Mesej Mencurigakan
“Di sinilah Whoscall memainkan peranan penting. Sebagai satu-satunya aplikasi anti-penipuan di Malaysia yang disahkan secara rasmi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Whoscall menggunakan teknologi AI bukan sahaja untuk mengesan panggilan dan mesej mencurigakan, tetapi juga untuk menganalisis pautan serta imej berkaitan scam, termasuk yang diperoleh melalui tangkapan skrin.
“Penyelesaian teknologi seperti ini amat penting untuk merapatkan jurang persediaan dalam menghadapi penipuan digital yang semakin canggih,” tambahnya.

Scam Paling Banyak Dilakukan Menerusi Panggilan Telefon
Penipuan pelaburan dikenal pasti sebagai jenis penipuan utama di Malaysia, dengan panggilan telefon kekal sebagai saluran paling banyak digunakan oleh scammer.
Laporan tersebut turut menekankan peralihan ketara ke arah penipuan melalui aplikasi mesej segera, yang kini merangkumi 56% daripada keseluruhan cubaan penipuan.

Antara saluran komunikasi yang paling kerap digunakan termasuklah WhatsApp, Telegram dan Facebook.

Kanak-Kanak Turut Jadi Mangsa Scam
Di samping itu, antara penemuan lain dalam laporan sama termasuk:
Kanak-kanak juga menjadi mangsa
Sebanyak 21% ibu bapa di Malaysia yang mempunyai anak berusia antara 7 hingga 17 tahun mengakui bahawa anak mereka pernah menjadi mangsa penipuan sekurang-kurangnya sekali.
Platform Laporan Scam
Scam dilaporkan secara seimbang kepada platform media sosial dan pihak berkuasa (masing-masing 44%), dengan polis (27%) dan platform media sosial (25%).
Halangan Membuat Laporan Masih Tinggi
Sebanyak 23% mangsa scam memilih untuk tidak membuat laporan. Antara alasan utama ialah tidak pasti kepada siapa perlu melapor (35%) dan kepercayaan bahawa laporan mereka tidak akan membawa sebarang perubahan (34%).
Responden Menjangka Lebih Banyak daripada Institusi Awam
Responden meletakkan tanggungjawab utama untuk perlindungan terhadap penipuan pada institusi awam, khususnya kerajaan. Namun, organisasi perlindungan pengguna dianggap paling berkesan dalam menangani isu ini. Organisasi ini turut mendapat penilaian tertinggi dalam aspek pendidikan mengenai penipuan (65%), kemudahan melapor (64%), dan sokongan kepada mangsa (58%).
Penemuan ini adalah berdasarkan tinjauan dalam talian berskala nasional melibatkan 1,000 orang dewasa di Malaysia, yang dijalankan antara 26 Februari hingga 14 Mac 2025 sebagai sebahagian daripada laporan State of Scams in Malaysia 2025 oleh GASA.
Untuk maklumat lanjut, muat turun laporan penuh State of Scams in Malaysia 2025 oleh GASA. Kekal peka dan lindungi diri anda melalui Facebook dan TikTok Whoscall. Bersama kita wujudkan Malaysia yang lebih selamat dan bebas daripada sebarang penipuan.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.