Now Reading
KLFW2025: AirAsia Perkenal Baju Seragam Kitar Semula Kru Kabin

KLFW2025: AirAsia Perkenal Baju Seragam Kitar Semula Kru Kabin

Pakaian seragam kru kabin AirAsia yang diperagakan di Kuala Lumpur Fashion Week 2025 itu ditambah baik bagi laluan terpilih seperti Jeddah dan Madinah.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Semalam (6 Ogos), AirAsia memperkenalkan pakaian seragam kru kabin yang telah dikemaskini menggunakan bahan kitar semula untuk memberikan keselesaan, kesesuaian serta berfungsi lebih baik, sambil menampilkan sentuhan daripada bakat Malaysia dan Indonesia di Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2025.

Di acara sama, AirAsia X turut menampilkan pakaian seragam yang ditambah baik bagi laluan terpilih seperti Jeddah dan Madinah.

Pakaian seragam ini diperbuat daripada gabungan fabrik yang dibaik pulih termasuk sehingga 40% bahan tekstil kitar semula. Ia menawarkan kain lebih lembut, fleksibiliti lebih baik, dan memudahkan pergerakan untuk tempoh bekerja panjang di dalam setiap penerbangan.

Selain daripada ringan dan mudah dijaga, pakaian seragam ini direka untuk menyokong kru kabin dalam menjalankan tugas mereka dengan lebih selesa serta penuh keyakinan.

Bahan Kitar Semula Untuk Pakaian Seragam Selari Dengan Prinsip Mementingkan Alam Sekitar

Selain itu, beg tangan yang direka oleh seorang bakat Malaysia turut diperkenalkan, menambahkan sentuhan kreativiti tempatan dalam penampilan mereka.

“Perubahan ini bukan hanya pada fabrik semata-mata tetapi juga cara kami menyokong keperluan kakitangan kami. Kru kabin banyak meluangkan masa dalam pakaian seragam mereka, dan keutamaan kami adalah memastikan ianya berfungsi dengan lebih baik dan mencerminkan prinsip kami.

“Pemilihan bahan kitar semula dan kerjasama dengan rakan kongsi yang mementingkan prinsip alam sekitar dan sosial menunjukkan bahawa kami terus mencapai kemajuan dalam pelbagai cara,” kata Ketua Kumpulan Kru Kabin AirAsia Group, Suhaila Hassan.

Dalam masa sama, tahun ini menandakan kerjasama satu dekad antara AirAsia dan KLFW, satu pencapaian yang mencerminkan sokongan berterusan syarikat penerbangan ini terhadap bakat dan inovasi serantau Asean.

Acara ini dimulakan dengan persembahan daripada kumpulan pop Malaysia, DOLLA yang merupakan wajah kempen Asean AirAsia. Ia diikuti dengan peragaan yang meraikan kepelbagaian kru kabin AirAsia dari seluruh rantau ini.

Sebagai sebahagian daripada segmen Design to Sustain, AirAsia juga berbangga menyokong pereka tempatan, memperkukuh peranannya bukan sekadar sebagai sebuah syarikat penerbangan, tetapi juga sebagai platform yang menjulang kreativiti, budaya dan kolaborasi di  rantau ini.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd