Pakar Di Sunway Medical Centre Kongsi Pandangan Tentang Pembedahan Robotik Untuk Merawat Endometriosis
Menurut Pakar Perunding Obstetrik, Ginekologi & Kesuburan di Pusat Perubatan Sunway, Dr Thow Sun Ta, pembedahan dengan bantuan robotik bagi merawat endometriosis dapat mengurangkan komplikasi serta meminimumkan parut dan kehilangan darah.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu daripada 10 wanita di dunia didiagnosis dengan endometriosis.
Ini merupakan sejenis penyakit kronik yang dikaitkan dengan kesakitan yang teruk dan boleh menjejaskan kehidupan semasa haid, hubungan seksual, buang air besar atau kencing, sakit pelvis kronik, kembung perut, loya, keletihan, dan adakalanya kemurungan, kegelisahan, dan ketidaksuburan.
Pengenalan pembedahan dengan bantuan robotik menandakan kemajuan dalam rawatan endometriosis, sekaligus menjadi penyelesaian pembedahan yang tepat dan invasif minima merentas pelbagai kepakaran perubatan, termasuk mereka yang menghidap endometriosis.
Perbandingan Antara Laparotomi & Pembedahan Endometriosis Dengan Bantuan Robot
Pakar Perunding Obstetrik, Ginekologi & Kesuburan di Pusat Perubatan Sunway (SMC), Dr Thow Sun Ta, berkongsi pandangannya tentang keupayaan pembedahan dengan bantuan robotik dalam rawatan endometriosis.
“Selama ini, intervensi pembedahan tradisional telah menjadi kaedah utama untuk banyak pembedahan. Walaupun berkesan pada tahap tertentu, ia juga mempunyai kelemahan yang ketara, termasuk tempoh pemulihan yang panjang dan pembedahan itu sendiri agak kompleks,” jelasnya.
Dalam laparotomi tradisional iaitu pembedahan terbuka untuk endometriosis, disebabkan sudut pandangan dan penglihatan yang terhad, pakar bedah sering mengalami kesukaran untuk membuang lesi endometriotik sepenuhnya.
“Sepanjang pengalaman saya, 90% lesi endometriotik berlaku di bahagian belakang rahim yang menyukarkan pakar bedah untuk mengenal pasti kedudukannya sekiranya melakukan prosedur laparotomi konvensional.
“Walau bagaimanapun, pembedahan dengan bantuan robotik menawarkan sokongan visual yang dipertingkatkan (seperti sudut berbilang dan penglihatan berkualiti tinggi) bagi membolehkan pakar bedah mengenal pasti lesi yang mungkin terlindung daripada penglihatan langsung dan tidak disedari.
“Justeru, pembedahan robotik menjadi pilihan yang lebih baik untuk prosedur invasif minima, terutamanya bagi menangani kes endometriosis yang lebih kompleks dan mencabar.
“Secara umumnya, ia memberi harapan untuk beroleh hasil yang lebih baik dan kualiti hidup yang dipertingkatkan kepada wanita yang bergelut melawan penyakit ini,” ulas Dr Thow.

Pembedahan Robotik Kurangkan Komplikasi & Kekalkan Kesuburan
Tambahan pula, tempoh pemulihan yang lebih singkat, komplikasi yang berkurangan, dan parut yang minimum dengan kurang kesakitan dan kehilangan darah menjadikan pembedahan dengan bantuan robotik sebagai pilihan rawatan yang sesuai untuk pesakit endometriosis, terutamanya dalam kes melibatkan lesi yang kompleks dan tersembunyi. Ia juga membolehkan pesakit kembali kepada gaya hidup yang normal lebih awal.
“Kami mempunyai ramai pesakit yang mengalami dismenorea yang teruk akibat endometriosis. Bagaimanapun, selepas menjalani pembedahan bantuan robotik, hampir kesemua mereka menunjukkan kelegaan simptom sepenuhnya,” kongsi Dr Thow.
Salah satu kelebihan pembedahan bantuan robotik yang paling mengujakan ialah potensinya untuk mengekalkan kesuburan.
“Endometriosis boleh memudaratkan organ-organ reproduktif dengan teruk. Sebagai contoh, menjejaskan fungsi tiub fallopio, mengurangkan simpanan ovari, dan mewujudkan persekitaran yang berlawanan untuk persenyawaan dan implantasi.
“Namun begitu, pembedahan robotik boleh merawat penyakit ini serta memelihara fungsi organ berkenaan, sekaligus meningkatkan hasil kesuburan,” tambahnya.
Hanya Kes Endometriosis Tertentu Yang Boleh Jalani Pembedahan Robotik
Bagi menentukan kesesuaian untuk menjalani pembedahan dengan bantuan robot memerlukan proses yang teliti.
Walaupun mana-mana pesakit boleh dipertimbangkan, Dr Thow menekankan kesesuaian untuk melakukan pembedahan robotik tertakluk kepada kes endometriosis yang memerlukan pembedahan terbuka.
Ini termasuklah endometriosis menyusup ke dalam, iaitu satu keadaan endometriosis serius yang melibatkan pertumbuhan mendalam bagi tisu seakan-akan endometrium ke dalam struktur pelvis.
Keadaan ini menyebabkan kesakitan yang teruk dan beberapa komplikasi lain atau tumor benigna yang besar, iaitu ketumbuhan bukan kanser yang boleh berlaku di pelbagai bahagian badan serta berpotensi mencetuskan gejala disebabkan saiz dan lokasinya.

Masa Hadapan Pembedahan Dengan Bantuan Robotik
Dr Thow menjangkakan peningkatan dalam pembedahan robotik di seluruh Malaysia, terutamanya bagi penyakit yang mencabar seperti endometriosis.
Beliau juga berkata di sebalik cabaran yang ada, pakar bedah baharu sedang giat dilatih untuk mengguna pakai kaedah robotik dalam pembedahan, sekaligus menggalakkan pertambahan tenaga pakar yang diperlukan untuk mengendalikannya.
Disebabkan ketepatan dan sifat invasif minimumnya, pembedahan robotik mungkin menjadi pilihan bagi rawatan yang lebih kompleks. Walaupun jarang berlaku salah tanggapan mengenai pembedahan bantuan robotik, namun kosnya mungkin lebih tinggi berbanding kaedah tradisional.
“Walaupun kebolehcapaian pembedahan dengan bantuan robotik adalah terhad pada masa ini, saya meramalkan bahawa robotik akan memainkan peranan yang lebih besar dalam pembedahan selain fungsi sokongan kerana ia berpotensi untuk memberikan potongan yang lebih tepat, memendekkan masa pembedahan, dan mengurangkan kemungkinan komplikasi.
“Dalam sesetengah kes juga, pesakit kami berasa lebih yakin apabila prosedur mereka melibatkan robotik, terutamanya bagi prosedur yang lebih kompleks.
“Sudah tentu, keputusan untuk memilih sama ada pembedahan robotik atau tradisional akan dibuat secara kolaboratif antara pesakit dan doktor, dengan mengambil kira semua pilihan yang ada dan keadaan individu tersebut,” kata Dr Thow.
Sunway Medical Centre Miliki Sistem Pembedahan Robotik Tercanggih
Mengambil kira semua faktor ini, Dr Thow juga berpendapat bahawa apabila semakin banyak teknologi inovatif digunakan dalam prosedur pembedahan, secara tidak langsung boleh mempersiapkan pengamal penjagaan kesihatan profesional dengan lebih baik untuk bertindak dan menguruskan kes yang lebih rumit, sekaligus menyediakan penjagaan kepada lebih ramai pesakit dalam tempoh jangka panjang.
Sebagai salah sebuah hospital swasta kuaternari terbesar di Malaysia, SMC memiliki beberapa sistem pembedahan robotik tercanggih di pasaran melalui Pusat Kecemerlangan Pembedahan Robotik dan MIS untuk menangani pelbagai masalah kesihatan, termasuk kesihatan wanita.
SMC juga baru-baru ini telah disenaraikan dalam 250 hospital teratas dalam ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2024 pada awal tahun ini, sekaligus menjadi penanda aras untuk hospital di seluruh dunia dalam bidang kecemerlangan klinikal, penyelidikan dan inovasi.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.