NGO Malaysia Titip Surat Terbuka Buat PMX: Gesa Kerajaan Tolak Pelantikan Nick Adams
Surat terbuka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ini yang memohon agar pelantikan Nick Adams sebagai duta ke Malaysia ditolak telah disokong oleh 20 badan bukan kerajaan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sejak kebelakangan ini, kecoh isu pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia yang baharu.
Pengumuman tersebut telah dibuat oleh Presiden AS Donald Trump menerusi hantaran di platform media sosial pada 10 Julai lalu.
Cadangan pelantikan itu bagaimanapun menerima tentangan banyak pihak yang menyifatkannya sebagai satu bentuk penghinaan.
Baca Artikel Berkaitan: Pencalonan Nick Adams Sebagai Duta AS Ke Malaysia Dibantah Pemuda Amanah, PAS & AMK
NGO Gesa Kerajaan Tolak Pelantikan Nick Adams Sebagai Duta Besar AS Ke Malaysia
Hari ini (15 Julai), satu surat terbuka telah diutuskan oleh badan bukan kerajaan (NGO) kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta kerajaan agar menolak pelantikan Adams sebagai Duta Besar AS ke Malaysia.
Mereka menyatakan kebimbangan tentang situasi tersebut, lebih-lebih lagi apabila Adams sering membuat kenyataan awam yang bersifat kontroversi dengan retorik yang memecah belah.
Sehubungan itu, mereka menggesa kerajaan agar menolak pentauliahan Adams sekiranya pelantikannya dicadangkan secara rasmi.
Adams Sering Keluarkan Kenyataan Tidak Bersesuaian Dengan Nilai-Nilai Malaysia
Dalam menjelaskan permintaan tersebut, mereka menyatakan bahawa Adams mempunyai sejarah mengeluarkan kenyataan yang tidak konsisten dengan nilai-nilai Malaysia tentang kesederhanaan, keharmonian pelbagai budaya dan ketertiban diplomatik.
“Komen-komennya yang terdahulu mengenai kaum, agama, dan hubungan antarabangsa berisiko menjejaskan hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan Amerika Syarikat, serta mewujudkan geseran dalam masyarakat negara yang pelbagai,” kata surat itu.
Salah satu contoh yang diberikan adalah apabila Adams berbangga selepas dia menyebabkan seorang pelayan restoran wanita dipecat hanya kerana memakai pin ‘Free Palestine’.
Di samping itu, surat tersebut turut menegaskan bahawa Adams merupakan seseorang yang bersifat misoginistik.
Malah calon duta ke Malaysia itu pernah berbangga kepada orang ramai bahawa dia gemar mengunjungi satu rantaian restoran tertentu di AS, di mana pelayan memakai pakaian ketat dan terdedah.
NGO Tegaskan Malaysia Layak Mendapat Duta Besar ASA Yang Profesional & Peka Budaya
Mengulas lanjut, para NGO menegaskan bahawa Malaysia merupakan negara yang berpegang pada prinsip saling menghormati dan diplomasi yang membina.
“Menerima seorang duta dengan rekod ektremisme dan pandangan yang menyebabkan pecah-belah boleh membahayakan reputasi Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan inklusif serta mengganggu hubungan positif di antara kedua-dua negara,” katanya.
Mereka turut meminta kerajaan agar menjalankan hak berdaulatnya dalam menerima atau menolak utusan asing, menilai kesesuaian Adams dan mempertimbangkan kesan akibat pelantikannya.
Dalam pada itu, surat tersebut menegaskan hak Malaysia dalam mendapatkan Duta Besar AS yang mempunyai semangat profesionalisme, kepekaan budaya dan komitmen dalam memupuk perkongsian antarabangsa yang kuat.
Surat terbuka itu disokong oleh 20 NGO dalam negara iaitu:
- BDS Malaysia
- Palestinian Centre for Excellence
- GSPP
- Haluan Malaysia
- Viva Palestina Malaysia
- Muslim Care Malaysia
- ABIM
- Global Peace Mission (GPM) Malaysia
- Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR)
- MyCARE
- Citizens International
- IKRAM
- Pertubuhan Intelektual Perlis (PiP)
- PALESTINIAN FORUM MALAYSIA-PFM
- Allied Coordinating Council of Islamic NGOs Malaysia (ACCIN)
- Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia (AGENDA)
- IKRAM Muda Malaysia
- Muslim Professionals Forum
- MAPIM
- Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM)
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.