LHDNM Laksana OP Metro 3.0, Seruan Nasional Untuk Kukuh Budaya Pematuhan Percukaian
OP Metro 3.0 yang dilaksanakan oleh HASiL dengan kerjasama SSM berlangsung dari 16 hingga 20 Jun ini di sekitar Lembah Klang.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus proaktif melaksanakan langkah penguatkuasaan yang lebih berfokus dan strategik, termasuk pematuhan yang lebih tuntas dan kerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan lain.
Terkini, HASiL telah melaksanakan Operasi Pematuhan Cukai siri kelapan dikenali sebagai “OP Metro 3.0” yang berlangsung mulai 16 hingga 20 Jun 2025 secara serentak di sekitar Lembah Klang.
Pelaksanaan OP Metro 3.0 ini merupakan kesinambungan OP Metro 2.0 yang telah berjaya dilaksanakan pada Februari lalu, iaitu operasi bersepadu yang melibatkan Sektor Pematuhan Cukai, Sektor Siasatan, Jabatan Pungutan Hasil, Jabatan Perisikan dan Profiling, Jabatan Digital, Cawangan Pematuhan Strategik serta pasukan pelaksana dari HASiL Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor.
4 Aktiviti Operasi Percukaian Utama Di Bawah OP Metro 3.0
Berlandaskan semangat dan sokongan yang telah dizahirkan, pelaksanaan OP Metro 3.0 telah dirancang dengan teliti dan menyeluruh, melibatkan empat aktiviti operasi percukaian utama iaitu aktiviti audit, pungutan, verifikasi pembayar cukai dan pematuhan strategik.
Tumpuan industri yang telah dikenal pasti meliputi sektor pembinaan, pembuatan, perkhidmatan, perundingan dan pemborongan.
Seramai 590 orang pegawai HASiL terlibat, dengan 682 kes telah dikenal pasti bagi pelaksanaan operasi kali ini.
Pelaksanaan operasi berimpak tinggi ini turut disertai oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), menjadikannya penglibatan kali kedua selepas penyertaan dalam OP Rejang yang telah dilaksanakan di Sarawak pada April lalu.
OP Metro 3.0 Fokus Pada 3 Prinsip Utama Terhadap Pembayar Cukai
Fokus pelaksanaan OP Metro 3.0 menekankan tiga prinsip utama iaitu ketegasan terhadap pembayar cukai yang melanggar undang-undang secara sengaja, toleransi dan panduan kepada yang tersalah tanpa niat dan penghargaan kepada yang sentiasa patuh menyumbang.
Secara ringkasnya, HASiL ingin menjadikan pematuhan cukai sebagai budaya, bukan beban dan pembayar cukai yang ingkar akan dikenakan tindakan sewajarnya.
Majlis perasmian OP Metro 3.0 telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif HASiL Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin, di Menara Hasil Bangi.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif SSM Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Kawal Selia dan Penguatkuasaan) SSM Amir Ahmad, barisan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif HASiL serta pengurusan kanan kedua-dua agensi.

HASiL Ingin Kukuhkan Budaya Pematuhan Dengan Kefahaman
Dr. Abu Tariq dalam ucapan perasmiannya berkata pelaksanaan OP Metro 3.0 bukan sekadar satu operasi penguatkuasaan bahkan ia adalah seruan nasional untuk memperkukuh budaya pematuhan. Bukan dengan ketakutan, tetapi dengan kefahaman.
Ujar beliau lagi, HASiL percaya bahawa majoriti rakyat Malaysia adalah pembayar cukai yang jujur namun dalam sistem mana pun, akan sentiasa ada segmen kecil yang tersasar sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.
Justeru, tugas HASiL bukan hanya untuk mengesan dan bertindak, tetapi juga untuk mendampingi dan memperbaiki.

Kerjasama HASiL & SSM Dipercayai Dapat Tingkat Keberkesanan Pelaksanaan Dasar Percukaian
HASiL berharap gandingan kerjasama kedua-dua agensi ini akan terus diperkukuh dalam memastikan agenda percukaian nasional dapat dilaksanakan dengan cara yang efektif dan efisien.
HASiL percaya melalui penyatuan kepakaran dan sumber strategik, inisiatif ini dijangka mempertingkat keberkesanan pelaksanaan dasar percukaian dan memperluaskan asas percukaian secara holistik serta berstruktur.
Sebarang pertanyaan serta maklum balas, sila hubungi kami menerusi:
- Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1000 (Luar
Negara) - HASiL Live Chat
- Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL DI SINI
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.