Kejuruteraan Mekatronik & AI, Taylor’s University Peneraju Masa Depan Industri 4.0!
Taylor’s University perkenalkan kursus kejuruteraan mekatronik pertama di Malaysia yang memfokuskan pada robotik dan AI, selaras dengan Dasar Negara dalam konteks Industri 4.0.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Taylor’s University memperkenalkan program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik dengan Kepujian, yang pertama di Malaysia menawarkan laluan pakar dalam Sistem Robotik dan Kecerdasan Buatan (AI).
Program ini menggabungkan bidang kejuruteraan mekanikal, elektronik, robotik dan AI untuk melahirkan graduan yang bersedia menerajui sektor Industri 4.0 yang berkembang pesat.
Program ini juga selari dengan Dasar Negara mengenai Industri 4.0 yang menekankan keperluan teknologi dalam pelbagai sektor seperti penjagaan kesihatan, pembuatan, aeroangkasa dan automotif.
Graduan akan memiliki kemahiran robotik, automasi dan AI bagi menangani cabaran global yang semakin kompleks.
Menerusi kerjasama strategik dengan syarikat seperti DJI Academy Malaysia dan Unitree Robotics, pelajar bakal didedahkan kepada pengalaman industri sebenar seawal tahun kedua pengajian.
Mereka juga berpeluang menyambung pengajian ke peringkat Sarjana menerusi laluan pantas ke University of Birmingham, United Kingdom.
Laluan Baharu, Peluang Untuk Graduan Mekatronik

Menurut Taylor’s University, program ini tidak hanya memberi tumpuan kepada teori, tetapi turut menekankan pembelajaran praktikal bersama rakan industri dan melalui projek rentas disiplin.
Ia direka khas untuk membentuk jurutera masa depan yang mampu memacu inovasi teknologi, bukan sekadar menguasai asas kejuruteraan.
Dengan pengiktirafan antarabangsa di bawah Washington Accord, graduan program ini layak berdaftar sebagai Jurutera Profesional dan mempunyai akses kerjaya yang lebih luas di peringkat global.
Pelajar Terlibat Projek Industri Seawal Tahun Kedua

Melalui kerjasama dengan pelopor industri seperti DJI Academy Malaysia dan Unitree Robotics, pelajar akan terlibat secara langsung dalam program dalaman Engineering Undergraduate for Industry Adoption (EUFORIA) dan Engineering Undergraduate for Industry Research Adoption (EUFORIA R).
Menerusi program ini, pelajar dapat berinteraksi dan menyumbang kepada projek-projek dunia sebenar seawal tahun kedua pengajian, diikuti latihan industri pada tahun ketiga.
Pendekatan ini direka bagi memastikan graduan memperoleh pengalaman praktikal dan penyelidikan yang relevan, serta bersedia menghadapi pasaran kerja yang kompetitif.
AI & Robotik Bukan Ancaman, Tetapi Alatan Bantuan
Dalam sesi soal jawab, pihak kami sempat mengajukan persoalan kepada Ir Dr Phang Swee King, Pengarah Program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik dengan Kepujian dan Profesor Ts Dr Sim Yee Wai, Pemangku Dekan Eksekutif Fakulti Inovasi & Teknologi Taylor’s University, mengenai kebimbangan umum terhadap AI dan robot yang dikatakan bakal mengambil alih pekerjaan manusia.
Kedua-dua mereka sepakat bahawa AI dan robotik harus dilihat sebagai alat bantu yang memudahkan kerja manusia, bukan sebagai pengganti sepenuhnya.
Ir Dr Phang mengibaratkan kehadiran AI seperti kalkulator yang mempercepatkan pengiraan, namun tidak menghapuskan sepenuhnya keperluan manusia untuk memahami asas kira-kira.
Profesor Ts Dr Sim pula menambah bahawa teknologi seperti ini akan mempercepat dan memudahkan tugasan berisiko tinggi, contohnya dalam misi menyelamat seperti insiden runtuhan bangunan.
Menurutnya, langkah ini boleh digunakan bagi mengurangkan risiko kepada pasukan penyelamat misalnya.
Permintaan Pekerjaan Baharu Dalam Era Mekatronik

Mengulas tentang prospek pekerjaan, Ir Dr Phang menerangkan bahawa perkembangan kejuruteraan sentiasa bergerak mengikut keperluan zaman.
Dari ketenteraan, awam, revolusi industri, mekanikal, elektrik, automasi, kini memasuki era AI, robotik dan sistem siber fizikal.
Mekatronik menjadi bidang yang sangat relevan dan bakal mencipta peluang pekerjaan baharu yang tinggi permintaannya dalam tempoh akan datang.
Profesor Ts Dr Sim turut menegaskan bahawa trend ini bakal meletakkan graduan mekatronik di barisan hadapan sektor inovasi teknologi masa hadapan.
Robotik Sebagai Alat Untuk Inspirasi Pelajar
Menyentuh tentang fasiliti pembelajaran, Ir Dr Phang mengakui bahawa kos kursus ini tinggi dan tidak memungkinkan setiap pelajar memiliki robot sendiri.
Namun, menurut Profesor Ts Dr Sim, robot yang sedia ada digunakan sebagai alat untuk memberi inspirasi dan motivasi supaya pelajar memahami asas matematik dan pengaturcaraan.
Ini bagi memastikan apabila mereka memasuki dunia pekerjaan, mereka tahu cara mengadaptasi dan memanfaatkan teknologi yang ada.
Pendedahan Awal Kepada Industri Sebagai Keunikan Program
Dalam masa sama, Ir Dr Phang dan Profesor Ts Dr Sim menegaskan bahawa Taylor’s University tidak mahu pelajar hanya belajar dalam kelas.
Melalui program yang dirangka, pelajar akan mempunyai akses kepada industri sebenar seawal tahun kedua pengajian, manakala latihan industri wajib dijalankan pada tahun ketiga.
Kursus ini juga diajar oleh pakar industri, sekaligus membentuk graduan yang mampu terus menyumbang kepada sektor berkaitan sebaik sahaja tamat pengajian.
Baca Artikel Berkaitan: Taylor’s University Lantik Naib Canselor & Presiden Baharu Dari Scotland
Baca Artikel Berkaitan: MILO Lahirkan Inspirasi Buat Golongan Belia Dalam ‘Pentas Tenaga MILO’ Di Taylor’s University
Baca Artikel Berkaitan: ‘THE SHOW’ – Pertunjukan Fusion Fesyen Anjuran Taylor’s University Beri Definisi Baru Dalam Norma Fesyen
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.