Now Reading
Industri Takaful Terus Kukuh, Komited Lindungi Rakyat & Perkukuh Jaringan Sosial

Industri Takaful Terus Kukuh, Komited Lindungi Rakyat & Perkukuh Jaringan Sosial

Tahun 2024 menyaksikan industri Takaful terus memainkan peranan penting dalam menjaga kebajikan rakyat melalui perlindungan kewangan dan pelbagai inisiatif untuk masyarakat.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Industri Takaful Malaysia mencatat pencapaian yang memberangsangkan pada tahun 2024, sekali gus menunaikan komitmennya untuk melindungi dan memperkasa rakyat melalui jaringan keselamatan kewangan, inisiatif kemasyarakatan dan kemakmuran bersama.

Diperkukuh oleh agenda transformasi Hijrah27, industri takaful secara kolektif telah membayar manfaat tuntutan perlindungan berjumlah RM10.20 bilion kepada pemegang sijil.

Jumlah ini meningkat sebanyak 16.73 peratus berbanding tahun 2023. Jumlah pembayaran ini mencerminkan semangat asas takaful iaitu menyantuni rakyat Malaysia pada saat mereka paling memerlukan.

Takaful Keluarga menyumbang hampir tiga perempat (77.37 peratus) daripada jumlah manfaat yang dibayar pada tahun 2024 iaitu sebanyak RM7.89 bilion, manakala Takaful Am menyalurkan RM2.31 bilion.

Peningkatan Sijil & Sumbangan Perniagaan

Peningkatan jumlah bayaran ini didorong oleh pertambahan bilangan sijil berkuat kuasa Takaful Keluarga.

Sepanjang tahun 2024, sebanyak 993,393 sijil baharu telah dikeluarkan menjadikan jumlah keseluruhan sijil berkuat kuasa meningkat secara sederhana kepada 6.69 juta berbanding 6.60 juta pada tahun 2023, setelah mengambil kira penggantian, tamat tempoh atau penamatan sijil dalam tempoh yang sama.

Penambahan sijil baharu ini menyumbang kepada pertumbuhan sebanyak 1.48 peratus dalam sumbangan kasar perniagaan baharu, meningkat kepada RM9.73 bilion berbanding RM9.59 bilion.

Sumbangan perniagaan berkuat kuasa turut meningkat kepada RM9.62 bilion pada tahun 2024 berbanding RM8.97 bilion pada 2023, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 7.20 peratus.

Trend kenaikan ini paling ketara apabila dilihat berdasarkan tempoh blok tiga tahun. Purata peningkatan bayaran manfaat takaful setiap tahun bagi 2022 hingga 2024 adalah RM1.54 bilion setahun.

Jumlah ini mencatat peningkatan hampir 400 peratus berbanding dengan purata kenaikan RM393.34 juta bagi tempoh 2019 hingga 2021.

Purata jumlah sijil berkuat kuasa Takaful Keluarga setahun turut meningkat kepada 6.64 juta bagi tempoh 2022 hingga 2024 berbanding 5.58 juta sijil dalam tempoh 2019 hingga 2021.

Pertumbuhan ini juga dapat dilihat dalam sumbangan perniagaan Takaful Keluarga yang mencatat purata RM9.79 bilion setahun bagi tempoh 2022 hingga 2024 meningkat daripada RM7.08 bilion setahun dalam tempoh 2019 hingga 2021.

Pertumbuhan Ejen, Saluran Edaran & Penembusan

Prestasi stabil ini menunjukkan kesedaran yang semakin meningkat terhadap kepentingan perlindungan kewangan serta penerimaan yang semakin meningkat terhadap takaful dalam kalangan rakyat.

Usaha bersepadu industri dalam menyerlahkan peranan takaful sebagai jaringan keselamatan sosial telah menyumbang kepada perkembangan yang memberangsangkan ini.

Inisiatif yang dijalankan oleh pengendali takaful telah mendorong lebih ramai rakyat Malaysia untuk menceburi kerjaya dalam industri ini.

Ketika ini terdapat 92,866 ejen Takaful Keluarga yang aktif, dengan 26,714 ejen baharu berdaftar sepanjang tahun 2024 sahaja.

Seiring dengan itu, bahagian pasaran ejen bagi perniagaan baharu meningkat kepada 25.56 peratus pada tahun 2024 berbanding 23.17 peratus pada tahun 2023. Bancatakaful terus mengukuhkan kedudukannya dengan menyumbang 52.05 peratus daripada perniagaan baharu meningkat daripada 48.68 peratus.

Jumlah ejen aktif yang semakin meningkat dan usaha kolektif industri untuk melibatkan rakyat Malaysia telah membantu kadar penebusan Takaful Keluarga kekal stabil pada 19.57 peratus pada 2024 sama seperti 2023.

Ini amat signifikan memandangkan jumlah populasi Malaysia yang lebih besar iaitu 34.1 juta pada tahun 2024 peningkatan sebanyak 700,000 berbanding tahun 2023. Sebanyak 993,393 sijil baharu pada tahun 2024 menunjukkan peningkatan yang mengatasi kadar pertumbuhan populasi.

Ini menegaskan komitmen dan dedikasi berterusan pihak berkepentingan dalam ekosistem takaful untuk mendorong pertumbuhan yang bermakna dan inklusif.

Prestasi Kukuh Takaful Am

Segmen Takaful Am mengekalkan momentum positifnya pada tahun 2024. Sumbangan kasar dalam segmen ini meningkat kepada RM5.91 bilion daripada RM5.45 bilion mencatatkan pertumbuhan sebanyak 8.46 peratus.

Sumbangan langsung kasar juga mencatatkan peningkatan yang setara iaitu 8.41 peratus kepada RM5.90 bilion berbanding RM5.44 bilion pada tahun sebelumnya.

Prestasi Takaful Am terus dipacu oleh takaful kenderaan yang menjadi penyumbang terbesar kepada segmen ini dengan 68.77 peratus daripada sumbangan kasar.

Ini sejajar dengan pencapaian jualan kenderaan baharu di Malaysia yang mencatatkan angka tertinggi sebanyak 816,747 unit pada tahun 2024 melepasi paras unit 800,000 buat pertama kalinya.

Dengan takaful kenderaan sebagai penyumbang terbesar dalam segmen ini, tuntutan kenderaan juga menyumbang sebahagian besar daripada tuntutan yang dibayar dalam Takaful Am iaitu RM2.04 bilion atau 88.30 peratus.

Dalam segmen bukan kenderaan, takaful kebakaran mencatatkan peningkatan permintaan yang lebih tinggi pada tahun 2024 dengan sumbangan kasar sebanyak RM1.00 bilion meningkat 7.27 peratus berbanding tempoh sebelumnya.

Takaful kemalangan peribadi pula mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan iaitu 6.56 peratus dengan sumbangan kasar sebanyak RM388.00 juta.

Dari segi saluran, agensi kekal sebagai saluran pengedaran dominan pada tahun 2024 meningkat daripada 61.29 peratus kepada 62.67 peratus.

Bancatakaful pula mencatatkan pertumbuhan konsisten meningkat kepada 13.63 peratus daripada 13.33 peratus pada tahun 2023. Pendekatan strategik Persatuan Takaful Malaysia yang digariskan dalam pelan transformasi Hijrah27 termasuk inovasi digital membuahkan hasil.

Saluran jualan dalam talian terus berkembang dengan merekodkan 6.58 peratus pada 2024 berbanding 5.79 peratus pada tahun 2023.

Komitmen Sosial & Matlamat Shariah

Pengerusi Interim MTA, Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata mandat MTA adalah jelas iaitu menjadikan takaful lebih relevan, mudah diakses dan memberi impak yang lebih besar melalui perantaraan berasaskan nilai.

“Visi kami adalah untuk memastikan takaful seiring dengan keperluan yang berkembang dalam populasi Malaysia yang pelbagai serta mendorong pertumbuhan industri yang berterusan.

“Kami akan terus memberi fokus dalam pengukuhan kerjasama, peningkatan kesedaran awam dan kemajuan inovasi produk dan perkhidmatan semuanya dengan matlamat untuk memperluaskan perlindungan.

“Terutama kepada golongan yang kurang dilindungi serta memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai akses kepada jaringan keselamatan sosial yang boleh dipercayai.

“Sehubungan dengan itu, saya berbesar hati untuk melaporkan bahawa inisiatif industri sedang berkembang dengan baik. Kepentingan jaringan keselamatan kewangan tidak boleh dipandang remeh.

“Dari Takaful Keluarga untuk perlindungan diri dan orang tersayang hingga Takaful Am untuk aset, kami menggalakkan semua rakyat Malaysia untuk melindungi kesejahteraan kewangan mereka.

“Peningkatan pencaruman takaful kebakaran turut penting mengambil kira insiden yang baru-baru berlaku.

Selain itu, kami menyarankan pemilik dan penyewa rumah untuk mendapatkan khidmat nasihat perlindungan rumah dan kandungan rumah untuk memberi lebih ketenangan.”

Berdasarkan Penyata Kewangan Interim yang Belum Diaudit untuk tempoh enam bulan yang berakhir 30 Jun 2024, industri takaful telah menyalurkan zakat berjumlah RM31.19 juta.

Jumlah ini melebihi 60 peratus daripada jumlah zakat keseluruhan pada tahun 2023 iaitu RM50.83 juta.

Sumbangan ini akan disalurkan kepada inisiatif yang selaras dengan prinsip-prinsip Shariah bukan sahaja untuk memenuhi peraturan tetapi bagi mencapai Maqasid al-Shariah yang merangkumi kesejahteraan rakyat melalui pencapaian matlamat etika dan sosial yang lebih luas.

Baca Artikel Berkaitan: MTA Umum Industri Takaful Bayar RM8.74 Bilion Tuntutan Perlindungan Takaful Pada 2023

Baca Artikel Berkaitan: MTA Lancar Pelan Transformasi Strategik, Komited Pacu Pertumbuhan Industri Takaful Malaysia


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd