Now Reading
Perkhidmatan Grab Sumbang Hampir RM9.9 Bilion Kepada Ekonomi Malaysia

Perkhidmatan Grab Sumbang Hampir RM9.9 Bilion Kepada Ekonomi Malaysia

Firma perunding ekonomi EconWorks melaporkan sumbangan ekonomi Grab dinilai pada 0.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Satu laporan baharu oleh firma perunding ekonomi tempatan EconWorks mendedahkan bahawa perkhidmatan atas permintaan Grab, termasuk perkhidmatan e-panggilan dan penghantaran, menyumbang sebanyak RM9.9 bilion kepada ekonomi Malaysia pada tahun 2023, bersamaan kira-kira 0.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Syarikat platform teknologi menyediakan akses kepada peluang pendapatan yang fleksibel dan menyokong pertumbuhan digital perniagaan kecil. Sepanjang 12 tahun beroperasi di Malaysia, Grab telah memberi sumbangan yang ketara serta manfaat ekonomi kepada pelbagai komuniti di seluruh Malaysia.

“Bagi setiap RM1 yang dijana melalui transaksi Grab, RM1.50 aktiviti ekonomi tambahan dicipta merentasi ekonomi yang lebih luas. Ini menggariskan impak positif ekosistem Grab terhadap jutaan rakyat Malaysia dalam kehidupan seharian mereka,” kata Pengarah Urusan EconWorks, Dr Wan Khatina Nawawi.

Impak Operasi Dan Perkhidmatan Grab

Laporan ini mengukur impak operasi Grab dan kesan lanjut perkhidmatan atas permintaannya terhadap pekerja gig dan perniagaan yang menjana pendapatan dan menjual produk mereka di platformnya.

Pengarah Urusan EconWorks, Dr Wan Khatina Nawawi.

Penemuan utama termasuk:

  • Grab menyumbang RM9.9 bilion kepada ekonomi Malaysia pada tahun 2023 iaitu bersamaan dengan kira-kira 0.5% daripada KDNK negara.
    • Bagi setiap RM1 nilai tambah yang dijana secara langsung oleh Grab dan rakan kongsinya, RM1.50 tambahan dijana untuk ekonomi yang lebih luas melalui kesan pengganda.
    • 88% daripada sumbangan nilai tambah ini datang daripada rakan-pemandu dan rakan-niaga Grab yang beroperasi merentasi pelbagai perkhidmatan Grab.
    • Pada tahun 2023, rakan-pemandu menyumbang RM4.6 bilion dalam nilai tambah, mewakili 0.25% daripada KDNK Malaysia.
  • Ekosistem Grab menyokong sehingga 277,237 peluang pendapatan. Ia menyediakan aliran pendapatan untuk rakan-pemandu, rakan-niaga, dan pekerja-pekerja dalam rantaian bekalan menyeluruh mereka. Ini bermakna 1 daripada 64 individu dalam tenaga kerja Malaysia mendapat manfaat, secara langsung atau tidak langsung, daripada aktiviti berkaitan Grab.
  • Peluang pendapatan yang disediakan oleh Grab telah menyumbang tambahan RM3.7 bilion kepada pendapatan isi rumah. Peningkatan pendapatan oleh rakan-pemandu dan rakan-niaga ini bermakna lebih banyak wang dalam poket rakyat Malaysia​.

“Laporan ini menyerlahkan kelebihan persekitaran perniagaan Malaysia yang menyokong, yang kini memberi tumpuan kepada ekonomi digital, membolehkan syarikat platform seperti Grab berkembang maju dan menyumbang secara bermakna kepada ekonomi.

“Dengan mengukur sumbangan ini, kajian ini memberikan pandangan menyeluruh tentang bagaimana Grab dan pihak berkepentingan berinteraksi dengan ekonomi Malaysia yang lebih luas dan mempermudahkan pertumbuhan ekonomi,” ujar Dr. Wan Khatina.

Untuk membaca laporan penuh, boleh klik [DI SINI].


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm FacebookTwitter, Threads  dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd