Now Reading
Pos Malaysia Lancar Pos Shop Pertama Di Kota Kinabalu, Bawa Konsep Runcit Ke Malaysia Timur

Pos Malaysia Lancar Pos Shop Pertama Di Kota Kinabalu, Bawa Konsep Runcit Ke Malaysia Timur

Pos Shop cawangan baharu ini terletak di Pejabat Pos Besar Kota Kinabalu, Jalan Segama.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada 7 Februari lalu, penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) telah melancarkan Pos Shop terbaharunya di Kota Kinabalu.

Pelancaran ini menandakan perkembangan konsep runcit inovatif ke Malaysia Timur dan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan transformasinya. 

Majlis perasmian ini disempurnakan oleh Datuk Phoong Jin Zhe, Menteri  Pembangunan Industri dan Keusahawanan Sabah. 

Terletak di lokasi strategik di Pejabat Pos Besar Kota Kinabalu, Jalan Segama, cawangan pertama Pos Shop di Malaysia Timur ini menegaskan komitmen Pos Malaysia dalam memodenkan perkhidmatan mereka serta berkembang selaras dengan keperluan dan kehendak pengguna. 

Sumber: Pos Malaysia

Pos Shop Tingkatkan Pengalaman Runcit Untuk Komuniti Di Sabah

Dalam masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer turut meluahkan keterujaannya tentang pelancaran Pos Shop terbaharu ini.

“Menyusuli kejayaan Pos Shop di Semenanjung Malaysia, kami sangat  gembira untuk membawa konsep ini ke Kota Kinabalu. Cawangan ini amat bermakna  kerana ia bukan sahaja merupakan lokasi pertama kami di Malaysia Timur, tetapi juga di  Sabah, Negeri di Bawah Bayu.

“Ini adalah satu langkah penting yang mengukuhkan komitmen Pos Malaysia untuk mendekatkan perkhidmatan kami dengan rakyat Sabah, mempertingkatkan cara kami berkhidmat dan memastikan kami kekal relevan.

“Namun ini baru permulaan. Kami percaya Pos Shop Kota Kinabalu akan menjadi pemangkin dalam merevolusikan pengalaman runcit untuk komuniti di Sabah,” ujar Charles Brewer.

Pos Shop Kota Kinabalu Tampil Dengan Pelbagai Snek Sedia Dimakan

Dalam pada itu, Phoong Jin Zhe juga memuji Pos Malaysia kerana insitiatif menggabungkan peruncitan moden bersama pos tradisional.

Dengan keluasan lebih 2,200 kaki persegi, Pos Shop Kota Kinabalu menggabungkan  pejabat pos yang beroperasi dengan ruang runcit yang selesa dan mesra. Ia menawarkan  perkhidmatan seperti penghantaran bungkusan, pembayaran bil, tambah nilai telefon bimbit dan e-wallet, serta pelbagai keperluan harian.

Cawangan ini juga menampilkan Pos Kafe yang popular, di mana pelanggan boleh menikmati kopi segar dan snek ’sedia dimakan’.

Konsep inovatif kedai dalam kedai ini memberi nafas baru kepada pejabat pos  tradisional dan mencipta persekitaran runcit moden dan menarik di mana pelanggan  boleh menyelesaikan urusan, berehat, dan membeli-belah. Semuanya di satu lokasi.

Pos Shop Sudah Terima Lebih 630,000 Pelanggan

Pos Shop yang pertama dibuka di Jalan Medan Tuanku, Kuala Lumpur, pada bulan Mei 2023. Sejak itu, Pos Shop telah berkembang dengan pesat di seluruh Malaysia.

Baru baru ini, Pos Malaysia meraikan pelancaran Pos Shop ke-50 di Pulau Pinang, mencapai  satu pencapaian penting dalam peluasan runcit di seluruh negara.

Secara keseluruhannya, Pos Shop telah menerima lebih 630,000 pelanggan, menjual 80,000  botol air, 140,000 roti, 52,000 sajian aiskrim lembut, 153,000 biji pau, 43,000 pek nasi  lemak, dan pelbagai lagi barangan yang dipilih dengan teliti.

Beberapa produk seperti pau dan nasi lemak dihasilkan oleh PKS tempatan, mencerminkan komitmen Pos Malaysia dalam menyokong perniagaan tempatan sambil menyediakan pengalaman runcit yang pelbagai dan mudah untuk rakyat Malaysia. 

Sumber: Pos Malaysia

Pos Shop Perkenal Menu Baharu Sempena CNY 2025

Bersempena dengan Tahun Baru Cina, Pos Shop telah memperkenalkan menu perayaan baharu yang menampilkan minuman ‘Tangerine Sunshine’ yang menyegarkan serta pelbagai hidangan lazat.

Sebagai sebahagian daripada kempen ‘Promo Paling Ong’,  pelanggan boleh menikmati harga promosi istimewa untuk barangan baharu ini, bersama dengan tawaran menarik lain, di semua 50 cawangan Pos Shop di seluruh negara sehingga 28 Februari. 

Baca Artikel Berkaitan: Pos Malaysia Lancar Cawangan Baru Pos Shop, Beri Transformasi Pada Dunia Peruncitan


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook,  Twitter, Threads  dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd