Now Reading
Kajian: Hanya 35% Syarikat Malaysia Manfaatkan Teknologi Data dan AI Demi Capai Kelestarian

Kajian: Hanya 35% Syarikat Malaysia Manfaatkan Teknologi Data dan AI Demi Capai Kelestarian

Kajian dijalankan oleh Ecosystem mendedahkan sesetengah organisasi memperlahankan usaha kelestarian mereka iaitu dengan tidak memanfaatkan penggunaan AI (Artificial Intelligence) sebaiknya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Penyedia perkhidmatan infrastruktur teknologi maklumat (IT) terbesar di dunia, Kyndryl (NYSE: KD), telah menerbitkan edisi kedua kajian Barometer Kelestarian Global (Global Sustainability Barometer) yang ditaja bersama oleh Kyndryl dan Microsoft.

Kajian dijalankan oleh Ecosystm tersebut mendedahkan, walaupun 83% organisasi di Malaysia mengiktiraf kepentingan teknologi dalam mencapai matlamat kelestarian, hanya 35% yang memanfaatkan potensi penuhnya dalam strategi kelestarian keseluruhan organisasi.

Di Malaysia, 77% organisasi berpendapat matlamat kelestarian berkait rapat dengan pasukan IT. Namun, peranan IT sering terbatas kepada pengurangan kesan alam sekitarnya sendiri, menyebabkan peluang untuk memacu inisiatif kelestarian yang lebih meluas tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Gambar sekadar hiasan. Sumber: Pexels

Antara tahun 2023 hingga 2024, 45% organisasi telah mengekalkan atau mempercepat usaha kelestarian mereka. Ini merupakan tanda kemajuan positif, khususnya dalam landskap di mana 61% organisasi memberi keutamaan tinggi kepada kelestarian.

Namun, tekanan daripada pihak berkepentingan dan perubahan fokus telah menyebabkan sesetengah organisasi memperlahankan usaha kelestarian mereka.

Situasi ini menekankan kepentingan sokongan kepimpinan yang lebih baik dan pendekatan yang lebih strategik bagi mengintegrasikan IT secara menyeluruh ke dalam matlamat kelestarian.

Penemuan Utama Kajian

Kajian tersebut menunjukkan pemimpin di Malaysia semakin menyedari manfaat inisiatif kelestarian terhadap organisasi mereka, walaupun terdapat jurang dalam kematangan, penerapan dan pelaksanaannya. Antara penemuan utama adalah:

Perbezaan strategi kelestarian yang ketara dalam kalangan organisasi:

  • Walaupun 57% organisasi melaporkan kelestarian telah diterapkan ke dalam operasi, namun ia tidak diukur sepenuhnya.
  • Hanya 13% yang menggunakan pendekatan berasaskan data.
  • Hanya 4% yang menganggap kelestarian sebagai aset strategik dengan menggunakan data untuk membuat perancangan dan keputusan.
  • Pematuhan peraturan muncul sebagai pemacu utama usaha kelestarian, diikuti oleh permintaan pelanggan serta tekanan daripada pihak berkepentingan dan pelabur.

Kekangan utama terhadap penerapan amalan kelestarian:

  • Ini termasuk kesukaran pelaporan atau membuktikan kemajuan, kekurangan sokongan organisasi atau kepimpinan, serta kos yang tinggi.
  • Sokongan terhadap keperluan data kelestarian masih menjadi cabaran, dengan 45% organisasi mengenal pasti pengumpulan data luaran sebagai cabaran terbesar.

Kurang kecekapan untuk analisis prestasi:

  • Walaupun 92% organisasi mengumpul data berkaitan kelestarian dalam pelbagai tahap, hanya 20% yang menggunakannya secara cekap untuk menjejak, menganalisis dan mengoptimumkan prestasi.
  • Sebanyak 24% menggunakan data untuk membimbing perjalanan transformasi yang lebih luas, sekali gus menonjolkan potensi yang terpendam dalam strategi berasaskan data.

Lebih 50% organisasi guna AI untuk tingkatkan kecekapan:

  • 60% organisasi menggunakan AI atau automasi untuk meningkatkan kecekapan, mengurangkan kesan alam sekitar, dan membangunkan operasi yang lestari.
  • Namun, 68% tidak mengambil kira jejak alam sekitar AI itu sendiri.
  • 56% percaya AI meningkatkan kos inisiatif kelestarian, lantas menyerlahkan keperluan untuk pendekatan yang lebih seimbang dalam mengintegrasikan teknologi.
Penggunaan AI dalam organisasi. Sumber: Freepik

Perlu Ambil Tindakan Untuk Memacu Strategi Kelestarian

Seperti pasaran ASEAN lain yang dikaji, Malaysia menunjukkan kemajuan positif dalam usaha kelestarian. Namun, terdapat perbezaan ketara dari segi tahap kematangan dan kadar pelaksanaan inisiatif di seluruh rantau ini.

Singapura kekal sebagai peneraju dalam penerapan teknologi canggih dan inisiatif kelestarian berasaskan data.

Gambar sekadar hiasan. Sumber: Freepik

Sementara itu, Malaysia menunjukkan potensi besar untuk terus mengintegrasikan teknologi dan meningkatkan akses kepada data dua elemen penting yang mampu mempercepatkan kemajuan dalam perjalanan kelestariannya.

Bagi merealisasikan potensi sepenuhnya, organisasi boleh mempertimbangkan senarai panduan berikut:

Utamakan teknologi sebagai teras perancangan strategik:

  • Syarikat harus mempertimbangkan untuk mengintegrasikan teknologi ke dalam strategi kelestarian untuk mentransformasi matlamat abstrak kepada pelan tindakan yang konkrit. Alat untuk integrasi, pengukuran, dan pelaporan data dapat menyelaraskan objektif kelestarian dengan keutamaan perniagaan teras.

Susun semula peranan AI:

  • Mengintegrasikan perancangan senario yang berasaskan AI dan pengurangan risiko iklim membolehkan organisasi menerapkan pendekatan holistik ke dalam tanggungjawab alam sekitar, seterusnya meningkatkan kesediaan untuk menghadapi cabaran masa hadapan.

Memenuhi permintaan pihak berkepentingan terhadap kelestarian:

  • Pemimpin perniagaan harus sedar bahawa banyak pihak berkepentingan, termasuk rakan kongsi rantaian bekalan, kerajaan dan pengawal selia, sedang giat menyokong dasar kelestarian.

Memupuk budaya tanggungjawab kolektif.

  • Inisiatif kelestarian di Malaysia biasanya diterajui oleh unit hal ehwal undang-undang, risiko, korporat dan pasukan ESG. Langkah seterusnya adalah untuk organisasi melibatkan sepenuhnya pasukan merentas fungsi, terutamanya eksekutif peringkat C, kewangan dan teknologi, untuk mengangkat kelestarian sebagai keutamaan perniagaan teras, serta memastikan pelaksanaannya.

Kyndryl dan Microsoft menyediakan strategi praktikal untuk organisasi mengukur pelepasan asas infrastruktur dan mengoptimumkan seni bina AI, termasuk model AI dan pembelajaran mesin untuk meminimumkan penggunaan tenaga dan mengurangkan sisa.

Kedua-dua syarikat berpadu tenaga dengan pelbagai organisasi untuk memastikan kemajuan teknologi menyumbang secara positif kepada matlamat kelestarian tanpa mengabaikan inovasi.

Untuk info lanjut tentang kajian ini anda boleh lihat [DI SINI].


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook,  Twitter, Threads  dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd