BOHEX 2024 Dengan Kerjasama JAKIM Bakal Jadi Platform Utama Industri Halal Tempatan Serta ASEAN
Borneo International Halal Exhibition (BOHEX) 2024 akan tersedia dengan pelbagai tapak pameran termasuk pameran produk halal terunggul, forum, pengalaman budaya dan banyak lagi.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Penganjuran Borneo International Halal Exhibition (BOHEX) 2024 yang buat julung kalinya diadakan akan dianjak kepada 5 hingga 9 Februari 2025 berikutan perubahan program.
Tarikh asal program ini adalah pada 21 hingga 25 Disember 2024.
Penganjur acara, Eminent Source Sdn Bhd berkata penangguhan ini dilaksanakan bagi memastikan pengalaman yang lebih baik buat semua pihak.
Kerjasama Dengan JAKIM Untuk Perkembangan Ekonomi Halal Global
Sementara itu, pihak penganjur dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata BOHEX 2024 dijangka akan terus menjadi platform utama dalam memacu perkembangan ekonomi halal global terutamanya di Sabah.
Bukan itu sahaja, ia juga bakal menarik pelaburan dan kerjasama dua hala di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Acara yang akan berlangsung di Sabah International Convention Center (SICC), Kota Kinabalu ini dijangka akan menarik perhatian pemain industri dari seluruh dunia dengan menawarkan peluang rangkaian strategik, pendedahan kepada inovasi teknologi halal terkini serta pengalaman budaya Borneo.
Selain itu, persembahan artis tempatan juga akan memeriahkan program bagi menarik lebih ramai pengunjung ke sana.
Pihak JAKIM memaklumkan bahawa kerjasama strategik ini merupakan bukti komitmen mereka untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam industri halal global.
BOHEX Mampu Perkukuh Kedudukan Sabah Sebagai Destinasi Utama Pelancongan
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata BOHEX adalah peluang untuk negeri Sabah memperkukuhkan reputasinya sebagai destinasi utama pelancongan dan perdagangan halal.
Melalui kerjasama ini, BOHEX bukan sahaja mengetengahkan keunikan budaya Borneo, tetapi juga membuka pintu kepada peluang ekonomi yang luas di peringkat antarabangsa.
Lebih 500 Tapak Pameran Bakal Tersedia Di BOHEX 2024
Acara yang akan berlangsung selama lima hari itu akan menampilkan lebih 500 buah tapak pameran yang akan dibuka di beberapa lokasi termasuk Dewan Kinabatangan, Dewan Sipadan, Open Plaza serta ‘Sunset Walk’.
Sebanyak lapan buah negara luar telah menunjukkan minat untuk menyertai BOHEX, iaitu Indonesia, Brunei, Singapura, China, Thailand, Jepun, Arab Saudi, dan Kemboja.
Antara tarikan utama BOHEX 2024 ini adalah :
- Pameran Produk Halal Terunggul
BOHEX akan menyediakan ruang untuk lebih daripada 12 sektor industri halal, termasuk makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik, fesyen, teknologi, dan pelancongan.
Pameran ini menampilkan inovasi terkini yang mematuhi piawaian halal global, memberikan peluang kepada pengunjung untuk menerokai produk dan perkhidmatan yang beretika, mampan, dan moden.
- Peluang Rangkaian Strategik
BOHEX menjadi medan pertemuan dalam kalangan industri, pemimpin global, dan inovator teknologi dari pelbagai negara. Peserta boleh berinteraksi secara langsung dengan pembuat keputusan, pembekal, pembeli, dan rakan kongsi strategik, membuka peluang kerjasama perniagaan yang bernilai tinggi.
- Pengalaman Budaya Sesuai Untuk Semua Lapisan Umur
BOHEX menggabungkan elemen budaya tradisional dan moden Negeri Sabah dalam pelbagai persembahan dan aktiviti, termasuk pertunjukan kebudayaan, bengkel interaktif, permainan tradisional dan demonstrasi masakan halal.
- Forum dan Perbincangan Industri
Acara ini akan menampilkan seminar dan forum bertaraf antarabangsa dengan pembicara berpengalaman yang membincangkan trend terkini, cabaran, dan peluang dalam industri halal.
Untuk maklumat lanjut serta pendaftaran, sila layari laman sesawang Eminent Source Sdn Bhd [DI SINI].
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram