Now Reading
Sindrom Pasca Denggi Boleh Beri Kesan Buruk, Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu

Sindrom Pasca Denggi Boleh Beri Kesan Buruk, Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu

Denggi yang teruk boleh menjejaskan kesihatan dan kesannya lebih buruk jika mengalami sindrom pasca denggi yang berlarutan selama beberapa bulan atau lebih.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Ramai orang menganggap denggi sebagai satu penyakit yang ringan. Pada mereka denggi yang teruk jarang berlaku, apatah lagi dengan anggaran satu dalam 20 kes. Bagaimanapun, setakat 20 Julai 2024, kes denggi terkumpul di seluruh negara mencecah 83,131 kes.

Berdasarkan jumlah kes denggi yang tinggi ini, nampaknya kita tidak boleh mengatakan bahawa 1 dalam 20 ini sebagai ‘jarang berlaku’, apatah lagi dengan kesannya yang mengerikan kerana pesakit denggi yang teruk biasanya memerlukan kemasukan ke hospital dan berkemungkinan tinggi mengalami pendarahan dalaman, kebocoran plasma, kerosakan organ, masalah pernafasan dan kematian. Bahkan, jangkitan kedua berkemungkinan tinggi akan lebih teruk.

Walau apa pun, statistik ini tidak memberi kelegaan kepada mereka yang mengalami kesan jangkitan denggi teruk yang berlarutan. Fenomena yang diiktiraf tetapi kurang diketahui ini dikenali sebagai sindrom pasca denggi.

Bagi Bahwanee Muthusamy, perjalanan masalah kesihatannya yang panjang dan sukar bermula apabila dia menghidap demam denggi. Kini selepas lebih 6 bulan, belum ada tanda yang kesengsarannya akan berakhir.

“Ini kali kedua saya mendapat demam denggi, kali pertama kira-kira 5 tahun lalu. Pada mulanya saya cuma demam ringan dan ujian yang dijalankan di klinik tidak mengesan denggi. Saya diberitahu ia hanyalah demam akibat jangkitan virus. Bagaimanapun, pada keesokan harinya, saya mengalami sakit kepala yang teruk, disertai muntah dan cirit-birit, dan kiraan platelet saya menurun ke 40,” katanya.

“Malah, saya rasa sangat sakit sampai tak ingat pun saya dibawa ke hospital. Abang membawa saya ke jabatan A&E di mana dia diberitahu bahawa saya berada dalam keadaan yang kritikal; kerana pada waktu itu, hati saya sudah pun terjejas. Saya menjadi sangat lemah sehingga tidak boleh berjalan dan tidak boleh makan selama lima hari.”

Bahwanee Muthusamy.

Jangkitan denggi memaksa Bahwanee bercuti panjang – dua minggu dirawat di hospital dan disusuli dengan dua bulan cuti sakit. Dalam tempoh berkenaan, dia bukan sahaja tidak boleh memandu malah tidak mampun untuk duduk lama kerana saraf dipinggangnya termampat.

“Pengalaman Bahwanee ini dikenali sebagai sindrom pasca denggi, iaitu manifestasi klinikal demam denggi yang berlarutan melebihi enam minggu selepas fasa akut tamat,” jelas Dr Shanthi Ratnam, Pakar Perunding Perubatan dan Intensivis.


Apa Itu Sindrom Pasca Denggi?

Mereka yang mengalami sindrom pasca denggi (post-dengue syndrome – PDS) cenderung untuk dilanda simptom seperti keletihan dari tahap ringan hingga sangat melesukan; simptom rangka otot (muskuloskleletal) seperti sakit otot dan sendi atau sendi bengkak yang dikenali sebagai artritis reaktif; dan simptom berkaitan saraf (neurologi) seperti daya tumpuan yang lemah atau pening.

Namun, tiada ujian khusus untuk mengenalpasti secara muktamad simptom yang dialami oleh seseorang pesakit itu sebagai PDS.

Ini menimbulkan cabaran kepada pesakit dan pengamal penjagaan kesihatan.

Pada masa ini, klinisian di hospital lebih berkemungkinan untuk mengenalpasti kes PDS, jelas Dr Shanthi. Ini kerana denggi sering didiagnosis oleh pengamal perubatan am manakala klinisian biasanya memberikan penjagaan susulan dan mempunyai kebolehan yang lebih baik untuk memerhatikan simptom-simptom yang berlarutan.

“Kami menjalankan rawatan susulan mingguan untuk pesakit selama empat minggu, di mana dalam tempoh ini kebanyakannya pulih sepenuhnya. Kami juga menemui pesakit yang mengalami simptom selama enam minggu dan lebih, bagaimanapun ia jarang berlaku,” sambungnya.

Sumber: Berita Harian

Sebelum pengesahan PDS, doktor perlu mengambil kira banyak faktor, termasuk sejarah perubatan pesakit, dan menyiasat punca-punca lain yang boleh menimbulkan simptom berkenaan. Contohnya, jangkitan sekunder sering terjadi apabila sistem imun pesakit terjejas, manakala sendi yang bengkak pula boleh disebabkan oleh gout.

Untuk membantu mengenepikan kemungkinan punca-punca lain, pesakit mungkin disyorkan menjalani ujian darah atau pengimejan. Hanya selepas semua penyebab lain dikeluarkan dari senarai, barulah doktor boleh membuat kesimpulan bahawa pesakit mengalami sindrom pasca denggi.


Perjalanan Pemulihan Yang Panjang Dan Sukar

Bagi Bahwanee, PDS yang dialaminya sudah berlarutan melebihi enam bulan, dan belum ada tanda ia akan berakhir.

“Ini adalah pengalaman yang dahsyat. Ia menjejaskan setiap perkara yang saya lakukan. Bahkan perkara yang mudah seperti naik tangga kini menuntut banyak tenaga, dan saya tidak boleh bekerja seperti dulu kerana saya rasa cepat penat. Saya juga dilanda masalah hormon dan tidak datang haid sejak jatuh sakit.

“Satu lagi tamparan hebat bagi saya adalah keguguran rambut, seolah-olah saya menjalani kemoterapi, yang memaksa saya berambut pendek. Sistem imun yang terjejas teruk menyebabkan saya mudah jatuh sakit; malah antibiotik pun tidak berkesan. Tidak cukup dengan itu, asma yang saya hidapi semakin kerap menyerang,” kata Bahwanee.

Selain itu, PDS juga boleh menjejaskan kesihatan mental seseorang, tambah Dr Shanthi.

Sindrom pasca denggi boleh memberi kesan buruk kepada kualiti kehidupan seseorang, dan pengalaman itu boleh menyebabkan kemurungan, terutama bagi orang yang menjangkakan mereka menghidap denggi yang ringan.

Contohnya, orang muda dan aktif mungkin mendapati ia melemahkan kerana sentiasa penat, pening atau berasa sakit, kurang selera makan dan tidak boleh meneruskan aktiviti normal mereka selama berminggu-minggu atau berbulan bulan.

Pada masa itu mereka akan kehilangan jisim otot dan mengalami kesan lain akibat penyakit yang berlarutan ini. Bahkan sesetengah pesakit mungkin tidak dapat menerima hakikat yang mereka mengalami simptom-simptom ini kerana tidak pernah mendengar tentang sindrom pasca denggi,” jelas Dr Shanthi.

Kiri: jentik-jentik yang terhasil/ Kanan: Dr Shanthi Ratnam

Untuk memudahkan pemahaman, Dr Shanthi mengumpamakan PDS seperti tsunami – walaupun serangan berlalu pergi, kemusnahan telah berlaku, meninggalkan keradangan kronik dan menyebabkan sistem imun menjadi sangat aktif.

Tambahan pula, kesannya akan lebih teruk jika pesakit pernah menghidap demam denggi; dengan empat strain virus denggi yang berbeza, seseorang itu boleh dijangkiti sehingga empat kali, dan jangkitan kedua mempunyai kemungkinan lebih tinggi untuk menjadi denggi yang teruk.

Secara keseluruhan, Dr Shanthi memberitahu pesakit tua dan golongan komorbit seperti pesakit yang menghidap hipertensi, penyakit jantung iskemia, obesiti dan penyakit autoimun lebih cenderung mengalami denggi yang teruk, yang meningkatkan kebarangkalian berhadapan dengan sindrom pasca denggi.

Antara kelompok ini, orang tua lebih berkemungkinan memerlukan penjagaan kebergantungan tinggi atau rawatan rapi kerana kesihatan mereka boleh merosot dengan lebih cepat, dan simptomnya pula berlarutan dalam tempoh yang lebih lama.

Bagi mereka yang meniti fasa pulih dari denggi, Dr Shanthi menasihatkan supaya mendapat rehat secukupnya, tidur selama lapan hingga 10 jam setiap malam, dan mengambil makanan seimbang dengan melebihkan buah-buahan dan sayur-sayuran.

Dr Shanthi juga berkongsi nasihat berikut untuk penjaga supaya dapat membantu pemulihan pesakit di bawah jagaan mereka.

  • Kanak-kanak: walaupun mereka cenderung untuk pulih lebih cepat, tetapi dinasihatkan supaya berehat di rumah dan tidak pergi ke sekolah selama seminggu, sebelum beransur-ansur meneruskan aktiviti normal mereka.
  • Orang tua: galakkan mereka supaya kerap tidur siang dan berehat secukupnya pada waktu malam kerana badan memerlukan rehat untuk melakukan proses pemulihan kendiri. Ini kerana orang tua mengambil masa yang lebih panjang untuk pulih.
  • Individu yang menghidap diabetes dan hipertensi: mereka lebih cenderung untuk mengalami tekanan darah yang sangat rendah selepas keluar dari hospital. Akibatnya, mereka mungkin tidak perlu menyambung semula pengambilan ubat dengan segera, atau dos mungkin perlu diselaraskan buat sementara waktu. Jadi, amat penting perkara ini dibincangkan dengan doktor untuk memastikan pemantauan dan rawatan susulan yang rapi.
  • Mereka yang berisiko tinggi mengalami pendarahan seperti ulser perlu dipantau untuk memerhatikan tanda-tanda amaran contohnya najis yang berwarna gelap dan melekit.

Mencegah Denggi Dan Sindrom Pasca Denggi: Apa Yang Diperlukan?

Oleh kerana denggi merupakan endemik di Malaysia, maka langkah utama untuk membendungnya adalah melalui pencegahan. Pakar menyarankan pendekatan pelbagai dimensi memandangkan tiada satu kaedah kawalan yang berkesan sepenuhnya.

“Sepanjang kerjaya perubatan saya, saya telah melihat pelbagai kaedah digunakan untuk mengawal denggi, tetapi kes terus meningkat,” katanya.

“Kita perlu kembali kepada asas. Contohnya, rakyat dan penggubal dasar perlu melihat semua kawasan di mana air terkumpul, seperti bekas terbuang dan palung air hujan – di Singapura, palung ini diharamkan kerana diketahui ia menjadi tempat pembiakan nyamuk.”

Sumber: Halodoc

Pada masa sama, beliau turut menyentuh keperluan untuk meneroka strategi pencegahan yang inovatif seperti vaksin denggi, yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada Februari lalu.

Katanya, perkara ini perlu dipertimbangkan, khususnya bagi individu yang telah mempunyai faktor risiko, yang boleh menyebabkan denggi menjadi lebih teruk.

Buat masa ini vaksin denggi boleh didapati di klinik dan hospital swasta. Vaksin ini diberikan dalam dua dos, dengan sela masa tiga bulan. Dr Shanthi berkata, kumpulan berisiko tinggi seharusnya mempertimbangkan pengambilan vaksin. Ini termasuklah warga tua yang ada masalah kesihatan komorbit, kerana mereka lebih cenderung memerlukan penjagaan rapi, individu obes, dan penghidap penyakit seperti hipertensi, penyakit jantung iskemia dan autoimun, selain orang yang mengambil ubat yang mempengaruhi sistem imun, seperti steroid.

Mereka yang pernah mengalami demam denggi, seperti Bahwanee, masih boleh mengambil vaksin enam bulan kemudian, sebagai perlindungan terhadap jangkitan berikutnya dari strain denggi yang lain.

Sumber: Kedai Online Haziq

Dr Shanthi menambah, “Saya berpandangan, vaksin denggi ini akan membantu dalam banyak aspek, terutama untuk mengurangkan kemasukan ke hospital kerajaan dan swasta, komplikasi dan kematian. Walaupun terdapat persoalan yang biasa diajukan berkenaan keselamatan dan keberkesanannya, hakikatnya penyelidikan dan pembangunan memang telah dijalankan sejak sekian lama.

“Banyak negara yang telah mula menggunakan vaksin ini seperti Thailand, Indonesia dan Brazil, malah Brazil juga memasukkan vaksin ini ke dalam pelan imunisasi kebangsaannya. Saya yakin, pada masa akan datang, orang ramai akan berasa lebih selesa dengan vaksin denggi, seperti mana semua vaksin lain, dan jumlah kes denggi pasti akan menurun.

“Kesimpulannya, kita perlu memperbaharui komitmen kita untuk memerangi denggi pada setiap peringkat,” katanya.

Selain bersetuju dengan pandangan itu, Bahwanee turut menyokong usaha meningkatkan kewaspadaan yang berterusan dan membawa perubahan dalam persepsi masyarakat.

“Denggi sering dianggap sebagai ‘sekadar’ demam, tetapi lihatlah apa yang berlaku pada saya. Saya gembira sekarang sudah ada vaksin denggi, kerana denggi ini ada di mana-mana di sekeliling kita, jadi tiada siapa yang selamat. Inilah sebabnya kita perlu memandang serius perkara ini, dan bersikap proaktif supaya kita dapat memerangi ancaman ini bersama-sama.”


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd