Now Reading
Anugerah AIA Healthiest Schools Dirangkul 18 Sekolah, Laksana Idea Inovatif Untuk Sekolah Lebih Ceria

Anugerah AIA Healthiest Schools Dirangkul 18 Sekolah, Laksana Idea Inovatif Untuk Sekolah Lebih Ceria

Hadiah keseluruhan untuk Pertandingan AIA Healthiest Schools (Sekolah Tersihat AIA) bernilai AS$100,000 (kira-kira RM470,000) bagi kategori sekolah rendah dan menengah.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


AIA Malaysia baru-baru ini mengumumkan pemenang Pertandingan AIA Healthiest Schools (Sekolah Tersihat AIA), mengiktiraf sekolah-sekolah yang menggalakkan tabiat hidup sihat dalam kalangan pelajar dan mengutamakan kesejahteraan pelajar.

Sebanyak 18 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara telah diiktiraf pada Majlis Anugerah AIA Healthiest Schools yang julung kalinya dianjurkan oleh syarikat insurans itu.

Anugerah tersebut disampaikan atas usaha luar biasa mereka dalam menghasilkan dan melaksanakan idea-idea inovatif untuk menjadikan sekolah sebagai tempat pembelajaran yang lebih sihat dan ceria.

Foto: Majlis Anugerah AIA Healthiest Schools

Program AIA Healthiest Schools (AHS) Juga Terima Penyertaan Dari Sekolah Antarabangsa

Pertandingan yang merupakan sebahagian daripada program AIA Healthiest Schools (AHS) itu berlangsung dari Oktober 2023 sehingga Mac 2024 dan menerima penyertaan daripada sekolah kerajaan, swasta serta antarabangsa di seluruh negara.

Pemenang telah dipilih oleh panel juri AHS berdasarkan skala projek, pelaksanaan dan tahap keterlibatan bersama guru, pelajar dan komuniti, impak projek serta rancangan masa depan.

Sekolah-sekolah tersebut menerima hadiah secara keseluruhannya bernilai AS$100,000 (kira-kira RM470,000) bagi anugerah pemenang dan anugerah kepujian untuk kategori sekolah rendah serta menengah.


Pemenang Kategori Sekolah Rendah

SK Putrajaya Presint 11(1) muncul sebagai pemenang bagi kategori sekolah rendah menerusi inisiatif aplikasi mudah alih kesihatan HELPIE yang inovatif.

Aplikasi yang direka untuk meningkatkan kesejahteraan mental dalam kalangan pelajar menyediakan ciri bagi mengenal pasti dan mengurus tekanan, yang turut disertakan dengan permainan dan kempen kesihatan.

Hasil projek itu cukup mengagumkan dengan lebih 500 pelajar mengalami penurunan tahap tekanan daripada 34% kepada 18%, manakala 92% melaporkan pemahaman emosi yang lebih baik.

Pemenang pertama kategori sekolah rendah.

Berikut adalah pemenang untuk kategori sekolah rendah:

  • Tempat Pertama (AS$ 13,000 / RM60,600): SK Putrajaya Presint 11(1) (Putrajaya)
  • Tempat Kedua (AS$ 9,000 / RM42,000): SJK(C) Hwa Lien (Selangor)
  • Tempat Ketiga (AS$ 9,000 / RM42,000): SK Kanchong Darat (Selangor)
  • Tempat Keempat (AS$ 9,000 / RM42,000): SK Oran (Perlis) 
  • Kepujian (AS$ 2,000 / RM9,300 setiap penerima):
  1. Sayfol International School (Kuala Lumpur)
  2. SK Jalan Empat, Bandar Baru Bangi (Selangor)
  3. SK Kuala Perlis (Perlis)
  4. SK Seri Gemilang (Penang)
  5. SJK(C) New Kopisan (Perak)

Pemenang Kategori Sekolah Menengah

Sementara itu, bagi kategori sekolah menengah pula, SMK Convent Butterworth meraih tempat pertama menerusi projek Eco-Jump Rope dan Dumbbell, yang bertujuan menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan pelajar.

Inisiatif ini menggunakan peralatan senaman dihasilkan daripada bahan kitar semula, yang menggalakkan pelajar untuk melibatkan diri dengan aktiviti kecergasan berkonsepkan mesra alam.

Projek itu memupuk kecergasan dan kelestarian, menggalakkan kreativiti, kerja berpasukan, dan gaya hidup yang lebih hijau dalam kalangan pelajar.

Pemenang pertama kategori sekolah menengah.

Berikut adalah pemenang untuk kategori sekolah menengah:

  • Tempat Pertama (AS$ 13,000 / RM60,600): SMK Convent Butterworth (Penang)
  • Tempat Kedua (AS$ 9,000 / RM42,000): SMK Taman Maluri (Kuala Lumpur)
  • Tempat Ketiga (AS$ 9,000 / RM42,000): SMK Dato’ Jaafar Hassan (Perlis)
  • Tempat Keempat (AS$ 9,000 / RM42,000) : SMK Sri Perak (Perak)
  • Kepujian (AS$ 2,000 / RM9,300 setiap penerima):
  1. SMK Lembah Subang (Selangor)
  2. SMK Jalan Tiga (Selangor)
  3. SMK Saujana Utama (Selangor)
  4. SMK Kampung Baru Kerteh (Terengganu)
  5. Kolej Tuanku Ja’afar (Negeri Sembilan)

Matlamat AIA Agar Individu Boleh Jalani Kehidupan Lebih Sihat

Berucap di majlis anugerah itu, Ben Ng Ketua Pegawai Eksekutif AIA Malaysia berkata, “Di AIA, matlamat kami adalah untuk memperkasa, mendidik, dan memberi inspirasi kepada individu untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat, berpanjangan dan bermakna.

“Program AIA Healthiest Schools adalah lanjutan daripada matlamat ini dan majlis pada hari ini menandakan peristiwa penting dalam perjalanan kami untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan anak-anak kita. 

“Kami berbesar hati kerana dapat meraikan usaha luar biasa anak-anak dan para pendidik kita yang telah melakukan perubahan ketara dalam mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan di sekolah. Dari aplikasi kesihatan mental yang inovatif hingga projek kecergasan mesra alam, penyertaan yang diterima pada tahun ini sememangnya memberi inspirasi.

“Inisiatif kreatif seperti ini telah memberi impak yang ketara, bukan sahaja dalam mengurangkan tekanan dan meningkatkan kecergasan, tetapi juga dalam memupuk semangat komuniti dan tujuan yang sama dalam kalangan pelajar.”

Foto: Majlis Anugerah AIA Healthiest Schools

Pemenang Utama Akan Bersaing Dengan Sekolah Dari Luar Negara

Pemenang sekolah rendah dan menengah iaitu SK Putrajaya Presint 11(1) dan SMK Convent Butterworth akan mewakili Malaysia pada majlis anugerah serantau AIA Healthiest Schools yang bakal berlangsung pada Julai ini di Bali, Indonesia.

Kedua-dua sekolah akan bersaing dengan sekolah-sekolah yang memenangi anugerah sama dari lima pasaran AIA di rantau ini termasuk Indonesia, Thailand, Hong Kong, Australia, dan Vietnam yang mana satu pemenang (sekolah) akan menerima AS$100,000 (kira-kira RM470,000).

Disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, program AIA Healthiest Schools direka untuk menggalakkan tabiat hidup sihat dalam kalangan pelajar berusia 5 hingga 16 tahun dengan menggalakkan pemakanan sihat, gaya hidup aktif, kesejahteraan mental, serta kesihatan dan kelestarian di sekolah.

Program ini menyediakan sumber yang boleh dimuat turun secara percuma yang boleh digunakan oleh para guru untuk memperkenalkan konsep kesihatan dan kesejahteraan secara berkesan di dalam bilik darjah.

Sekolah yang berminat untuk mendaftar program AIA Healthiest Schools dan mendapatkan akses kepada sumber pengajaran, sila layari [DI SINI].

Pihak sekolah dipelawa untuk menghantar penyertaan bagi edisi kedua Pertandingan AIA Healthiest Schools mulai Ogos 2024. 


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd