Now Reading
PZW UUM & Products2U (P2U) Ke Arah Lahirkan Asnaf Usahawan Sosial Digital

PZW UUM & Products2U (P2U) Ke Arah Lahirkan Asnaf Usahawan Sosial Digital

Seramai 50 orang pelajar asnaf terpilih telah diberikan modal permulaan sebanyak RM300 seorang bagi membolehkan mereka terus menjalankan perniagaan dalam talian

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pusat Zakat dan Wakaf Universiti Utara Malaysia (PZW UUM) telah menggerakkan inisiatif bagi melahirkan usahawan sosial digital dalam kalangan pelajar asnaf di UUM.

Bagi mencapai objektif ini, PZW UUM telah mengadakan kerjasama strategik bersama syarikat penyedia platfom perniagaan dalam talian, Products2U (P2U).

Pasukan P2U yang diketuai sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Muhamad Farhan Khairol Anuar, telah hadir bersama-sama pasukannya dari Kuala Lumpur bagi memberikan tunjuk ajar dan perkongsian bagaimana untuk memulakan perniagaan dalam talian.

Pasukan tenaga muda dan energetik P2U ini cukup terlatih dalam membantu pelajar-pelajar yang hadir untuk mendaftar dan terus memulakan menjalankan perniagaan dalam talian secara langsung.


Objektif Program Adalah Untuk Beri Peluang Buat Pelajar Asnaf

Menurut Pengarah PZW UUM, Prof. Dr. Rosylin Mohd Yusof, program bagi melahirkan usahawan sosial digital ini bertujuan memberikan peluang untuk setiap pelajar mengubah dari keadaan ekonomi semasa mereka kepada keadaan yang mampu menjana pendapatan sendiri dan seterusnya menjadi muzaki pula dengan kejayaan perniagaan mereka nanti.

Tambahnya lagi, seramai 50 orang pelajar asnaf terpilih telah diberikan modal permulaan sebanyak RM300 seorang bagi membolehkan mereka terus menjalankan perniagaan dalam talian dan ianya mampu memperolehi keuntungan yang tinggi jika mereka berdisiplin serta pandai mengurus masa dengan baik tanpa menjejaskan pengajian masing-masing.


Sesi Perkongsian & Latihan Turut Diadakan

Para peserta juga bukan sekadar diberikan tunjuk ajar untuk berniaga, malahan sesi perkongsian dan latihan itu telah turut didedahkan berkaitan rahsia untuk menjadi usahawan berjaya menerusi produk haruman Sugar Bomb oleh Kanumbu Agussalim.

Tatacara berniaga melalui platfom Shopee dan Lazada juga telah dikongsikan oleh Pengurus Jualan P2U Shaikrul Haeiri dan tatcara berniaga melalui TikTok juga telah dikongsikan oleh Pengurus Tiktok P2U Nur Syazwani yang berjaya menghasilkan jualan lumayan melalui sesi live dengan hanya menggunakan suara tanpa perlu menampakkan wajah beliau.

Menurut Prof. Dr. Rosylin, PZW UUM turut berterima kasih kepada rakan-rakan strategik iaitu Jabatan Strategik Dan Pembangunan Perniagaan yang turut dihadiri oleh Pengarah Dr Afirudin Tapa; Majlis Professor UUM, yang dihadiri oleh Prof Dr. Abdul Halim B Abdul Majid, Prof. Dr. Samihah Khalil, dan CUIC yang telah mengenalpasti pensyarah-pensyarah dari SBM (8 orang) dan TISSA (4 orang) sebagai mentor untuk memantau kemajuan para peserta program ini.


Mentor (Pensyarah) Bantu Tanpa Sebarang Caj

Kesemua mentor dalam kalangan pensyarah telah menawarkan diri tanpa mengenakan sebarang bayaran untuk membantu para asnaf pelajar ini.

Kesungguhan yang ditunjukkan oleh kesemua yang hadir telah menjadi pemangkin bagi PZW UUM untuk terus melakar pelbagai program lagi ke arah transformasi asnaf pelajar kepada muzaki. Pelaksanaan program ini sekaligus membolehkan pencapaian SDG 1, 2, 3, 4, 8 & 17.

Sementara itu, Muhamad Farhan menjelaskan mereka turut hadir tanpa mengenakan sebarang bayaran kepada UUM sebaliknya menganggap ianya adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat P2U dalam membantu khususnya asnaf pelajar untuk mengembangkan potensi diri mereka untuk menceburi alam perniagaan semasa masih berada di universiti.

Tambahnya lagi, di dalam keadaan dunia luar pasca pengajian pendidikan tinggi, persaingan mendapatkan pekerjaan adalah begitu kompetitif dan graduan tidak perlu hanya mengharapkan makan gaji semata-mata sebaliknya perlu menyediakan perancangan sumber pendapatan sampingan yang boleh menjadi sumber pendapatan utama pula melalui kesungguhan mereka sendiri untuk berjaya. 


Pelajar Luah Rasa Syukur

Menurut salah seorang peserta yang sempat ditemubual, beliau merasakan amat bersyukur kerana bukan sahaja menerima zakat tetapi ianya boleh pula menjadi modal perniagaan melalui platfom P2U ini.

Meskipun pada peringkat awal beliau merasa kurang yakin, namun setelah melalui program ini beliau kini merasakan ini adalah peluang terbaik untuk memulakan perniagaan sebagai seorang pelajar.

Beliau mengharapkan agar program seperti diteruskan khususnya untuk membantu golongan asnaf pelajar dan mereka yang berminat untuk berniaga dalam talian.

Bukan itu sahaja, P2U turut memberikan sehelai t-shirt kepada setiap peserta yang telah hadir. Ini merupakan cara untuk menyuntik semangat para peserta supaya sentiasa mengingati tarikh keramat 19 Mei 2024 sebagai titik tolak perubahan dalam diri mereka untuk menjadi usahawan sosial digital yang berjaya. 


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd