Now Reading
KOSSAN & PANTAS Anjur ‘Rantaian Nilai Hijau’ (GVC), Bantu PKS Urus Pelepasan Karbon

KOSSAN & PANTAS Anjur ‘Rantaian Nilai Hijau’ (GVC), Bantu PKS Urus Pelepasan Karbon

Kossan Rubber Industries (KOSSAN) secara rasmi memperkenalkan Program Rantaian Nilai Hijau (GVC) bersama rakan penyelesaian iklimnya, Pantas Software (PANTAS).

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Majlis pelaksanaan Program Rantaian Nilai Hijau atau dikenali sebagai ‘Greening Value Chain’ (GVC) telah dianjurkan dengan jayanya oleh Kossan Rubber Industries (KOSSAN) bersama rakan perkhidmatan solusi iklimnya, Pantas Software (PANTAS).

Program ini telah dilancarkan sebelum ini oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bersempena Hari Kewangan pada COP-27 di Mesir.

Majlis ini diadakan dengan kehadiran Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia Suhaimi Ali, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kossan Industries Berhad Tan Sri Dato’ Lim Kuang Sia serta Ketua Pegawai Eksekutif Pantas Software Sdn Bhd Max Lee.

Program ini bertujuan untuk membantu dan memberi insentif terhadap pengurusan pelepasan karbon (carbon emission) dalam kalangan pembekal KOSSAN yang tergolong dalam kategori perusahaan kecil sederhana (PKS). Hal ini sekali gus menjadikan mereka sebagai pembekal PKS strategik buat KOSSAN.

Selain itu, program ini akan melayakkan para PKS untuk menggunakan dana Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF) milik BNM yang bernilai RM2 bilion.

Dana LCTF ini boleh digunakan untuk membiayai modal kerja dan perbelanjaan modal bagi pihak PKS yang berkaitan dengan amalan rendah karbon, dengan kadar faedah yang berpatutan.


PKS Bakal Terima Latihan Dan Khidmat Rundingan Oleh Rakan Perkhidmatan GVC

Dalam usaha mencapai matlamat ini, PANTAS sebuah syarikat tempatan yang menyediakan solusi teknologi iklim akan membantu PKS untuk mengukur pelepasan gas rumah hijau (GHG) serta melaporkan petunjuk-petunjuk kelestarian mereka secara konsisten dan berkesan demi membantu mencapai sasaran pengurangan karbon negara.

Para PKS akan mendapat akses kepada solusi perisian perakaunan karbon (carbon accounting software solutions) PANTAS secara percuma.

PKS akan turut menerima latihan dan khidmat perundingan yang disediakan oleh rakan perkhidmatan GVC untuk memulakan perjalanan pengurusan karbon mereka. Antara syarikat yang terlibat adalah:

  • Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC)
  • Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC)
  • British Standards Institution (BSI)
  • AmBank Berhad (AmBank)

Program ini juga disokong oleh Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) yang turut dipengerusikan oleh BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Pantas Software Sdn Bhd, Max Lee

Program ‘Rantaian Nilai Hijau’ (GVC) Jadi Contoh Terbaik Kepada Nilai KOSSAN

Tan Sri Dato’ Lim Kuang Sia selaku Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif KOSSAN dalam ucapannya berkata bahawa program ini adalah contoh terbaik terhadap nilai-nilai KOSSAN.

Selaras dengan Dasar Kelestarian L.I.V.E KOSSAN, kami mempercayai bahawa perjalanan kelestarian KOSSAN hanya boleh berjaya dengan pengukuhan perkongsian dan kerjasama kami. Program ini memperlihatkan perhubungan sinergi menang-menang buat para pembekal dan KOSSAN serta turut memberi manfaat kepada alam sekitar. Ini adalah salah satu contoh daripada komitmen kami untuk mewujudkan nilai kebersamaan dengan rakan kongsi kami kerana kami percaya bahawa perjalanan kelestarian adalah jalan yang perlu dilalui bersama.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif KOSSAN, Tan Sri Dato’ Lim Kuang Sia.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif KOSSAN Industries Bhd, Tan Sri Dato’ Lim Kuang

Max Lee pula menyatakan bahawa mereka percaya perisian penyelesaian bersepadu, latihan dan kesedaran berkaitan perubahan iklim adalah penting untuk membawa para pengusaha PKS bersama dalam usaha kelestarian KOSSAN demi memastikan proses peralihan yang adil.

Selain daripada membantu pengusaha PKS mengukur dan melaporkan data berkaitan iklim, PANTAS juga akan bekerjasama dengan rakan perkhidmatan lain untuk membantu pengusaha PKS menetapkan dan mencapai sasaran pengurangan pelepasan karbon.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama PANTAS, Max Lee

Sejurus penganjuran program GVC berlangsung, PANTAS dan rakan perkhidmatannya akan mengadakan sesi latihan mengikut wilayah untuk melengkapkan para PKS dengan pengetahuan berkaitan perubahan iklim yang merangkumi kepentingan, kaedah pengurusan serta laporan pelepasan karbon.

Tambahan lagi, pengusaha PKS dapat memahami dengan lebih mendalam tentang proses pengesahan laporan karbon mereka dan panduan mengakses produk kewangan berkaitan iklim.

Sesi latihan pertama akan diadakan pada 21 Mac 2023 di Lanai Kijang, Kuala Lumpur.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd