Now Reading
Langkawi Rangkul Asia Best Awards 2022, Diiktiraf Salah Satu Pulau Terbaik Di Asia Tenggara

Langkawi Rangkul Asia Best Awards 2022, Diiktiraf Salah Satu Pulau Terbaik Di Asia Tenggara

Langkawi juga digelar sebagai ‘Permata Kedah’ dan diiiktiraf sebagai Geopark UNESCO kerana kaya dengan flora dan fauna.

Langkawi Rangkul Asia Best Awards 2022, Diiktiraf Sebagai Salah Satu Pulau Terbaik Di Asia Tenggara

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Langkawi yang terdiri daripada gugusan 99 pulau di luar pantai Kedah, Malaysia merangkul Asia Best Awards 2022 dan diiktiraf sebagai salah satu Pulau Terbaik di Asia Tenggara baru-baru ini oleh Travel + Leisure.

Permata tropika yang menjadi tarikan utama di Malaysia ini terkenal dengan hutan bakau kaya dengan flora dan fauna, pemandangan unik, kedai membeli-belah bebas cukai serta tempat menarik bersifat mesra keluarga. 

Tidak dapat disangkal lagi bahawa Langkawi merupakan destinasi pelancongan cukup sempurna untuk mencari kedamaian dan pengalaman mengujakan yang tidak dapat ditandingi di tempat lain.

Berada di kedudukan kelima di samping Phuket, Koh Samui dan Bali, Langkawi mempunyai banyak tawaran untuk pelancong dan pengunjung dari semua peringkat umur. Keindahan panoramanya boleh dilihat di kawasan seperti air terjun, kolam air panas dan taman hutan. 

Langkawi sebagai ‘Permata Kedah’ diberi status Geopark UNESCO

Langkawi turut digelar sebagai ‘Permata Kedah’ kerana pulau ini adalah kawasan pertama di Asia Tenggara diberikan status Geopark UNESCO kerana mempunyai pelbagai formasi batuan dan dikelilingi hutan purba, gua yang luas dengan stalaktit dan stalagmit dan terowong bawah laut serta hidupan liar.

Sebagai agensi perintis dalam pembangunan pelancongan Langkawi, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) memainkan peranan penting dalam menjadikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia yang terkenal seperti sekarang.

Sejak penubuhannya, LADA sentiasa komited untuk meletakkan Pulau Langkawi sebagai salah satu daripada 10 destinasi pelancongan terbaik di dunia. 

“Ia merupakan satu penghormatan dan kami amat berbangga kerana telah memperoleh anugerah ini yang mengiktiraf Langkawi sebagai salah satu pulau terbaik di Asia Tenggara. Anugerah ini adalah bukti kepada usaha dan dedikasi berterusan kami terutamanya sepanjang pandemik ketika ketibaan pelancong ke pulau ini berada pada tahap yang kurang memuaskan. 

“Walaupun berdepan pelbagai cabaran, kami tetap optimis dan memikul tanggungjawab untuk memastikan pulau ini berdaya tahan dalam perjalanannya ke arah pemulihan dan kekal menjadi destinasi pelancongan pilihan ramai,” kata Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Encik Nasaruddin Abdul Muttalib.

“Dalam usaha kami untuk melangkah lebih jauh dengan sekatan perjalanan yang semakin dilonggarkan, kami menjangkakan ketibaan lebih ramai pelancong antarabangsa yang berpotensi akan menggiatkan semula ekonomi dan merangsang pendapatan masyarakat setempat. 

“Bagi merealisasi hasrat ini, kami memberi tumpuan kepada empat komponen utama iaitu Pelancongan Leisure (Antarabangsa dan Domestik), Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) serta Acara Pelancongan. 

“Pelan tindakan kami merangkumi promosi pelancongan berkonsepkan hijau, mencipta pengalaman dan bertanggungjawab, insentif seperti membeli-belah bebas cukai serta mewujudkan tempat menarik yang Instagramable bagi memastikan kami dapat mengekalkan kedudukan sebagai salah satu pulau terbaik di Asia Tenggara,” tambah Nasaruddin.

Langkawi tawar pelbagai pengalaman menarik kepada pengunjung

Kejayaan manis ini turut diiringi dengan berita gembira apabila Four Seasons Resort Langkawi turut menerima anugerah The Best Beach and Upcountry Hotel in Malaysia 2022.

Four Season Resort Langkawi. (Sumber: Agoda)

Tidak dinafikan bahawa kunjungan ke Langkawi pastinya akan menawarkan pengalaman tanpa batas yang begitu berharga. Dirahmati dengan cuaca panas sepanjang tahun, pulau ini menjadi destinasi mengujakan bagi mereka yang ingin berehat atau memuaskan naluri pengembaraan dengan menyelam skuba atau snorkeling. 

Selain itu, mereka juga boleh menikmati keindahan desa serta landskap sawah padi dengan menerokai pulau itu dan menaiki kereta kabel ke Gunung Machinchang atau meredah hutan sambil menerokai kekayaan flora dan fauna yang tidak ditemui di tempat lain di dunia.

Jangan lepaskan peluang ini dan segera merancang percutian anda yang seterusnya ke Langkawi untuk merasai pengalaman yang mengujakan dan premium.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd