Now Reading
Kerajaan Malaysia Perlu Mengisytihar & Memperlakukan Israel Sebagai Negara Aparteid [PENDAPAT]

Kerajaan Malaysia Perlu Mengisytihar & Memperlakukan Israel Sebagai Negara Aparteid [PENDAPAT]

Jangan lupa follow channel Telegram kami untuk berita dan cerita terkini yang baru dan menarik!


Oleh:
Professor Mohd Nazari Ismail, Ph.D.
Pengerusi,
Boycott, Divestment, Sanctions (Malaysia)


BDS (Boycott, Divestment and Sanctions) Malaysia menyambut baik kenyataan kerajaan Malaysia baru-baru ini yang mengecam serangan Israel ke atas Masjid Al Aqsa dan pencurian tanah di Baitulmuqaddis Timur. Namun, pada masa yang sama kerajaan Malaysia mesti menyatakan kekecewaan kita terhadap sikap membisu dunia terhadap hakikat bahawa Israel adalah sebuah negara aparteid.

Sehingga kini, tiga organisasi berikut, iaitu:

  • Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk Asia Barat (ESCWA)
  • B’Tselem (NGO hak asasi kemanusiaan Israel)
  • Pemerhati Hak Asasi Manusia

telah melakukan kajian yang objektif dan komprehensif mengenai undang-undang dan amalan negara Israel di dalam sempadannya dan di Wilayah Palestin yang diduduki (OPT). Ketiga-tiga organisasi tersebut telah menyatakan secara tegas bahawa Israel adalah sebuah negara aparteid. Oleh itu, sudah tiba masanya kerajaan Malaysia menyemak semula polisinya terhadap Israel agar sama dengan apa yang pernah Malaysia lakukan terhadap negara aparteid Afrika Selatan.

Salah satu konsekuensi logik daripada langkah tersebut adalah dengan menolak sebarang sokongan lanjut untuk penyelesaian dua negara. Ini kerana Israel, sebagai entiti penjajah, sudah semestinya akan didorong dengan rasa terdesak untuk melakukan pembersihan etnik dan mengusir penduduk pribumi dari wilayah yang dikuasainya.

Dalam memastikan usaha tersebut berjaya, Israel telah terbukti membelakangkan banyak undang-undang dan resolusi antarabangsa yang menuntut hak asasi rakyat Palestin dihormati.

Hakikatnya, berdasarkan tindakan-tindakan dan polisi-polisi Israel yang dengan sengaja menindas penduduk Palestin di Wilayah Palestin yang diduduki (OPT), maka penyelesaian konflik melalui penyelesaian dua negara tidak lagi dapat dilaksanakan

Perbincangan mengenai penyelesaian tersebut kekal sebagai retorik kosong sahaja bagi negara-negara barat dan media mereka yang hipokrit. Ia hanya membolehkan mereka mengulangi harapan untuk melihat keamanan di wilayah-wilayah yang bersengketa melalui penyelesian dua negara sedangkan amat jelas di mata mereka bahawa harapan tersebut sebenarnya tidak ada.

Penyelesaian yang sebenar sudah jelas dan telah terbukti berkesan untuk meruntuhkan sebuah kerajaan aparteid dan membebaskan penduduk Afrika Selatan daripada kezaliman.

Oleh itu, negara aparteid Israel perlu disekat daripada menerima ‘oksigen’ penghormatan dan normalisasi yang sangat diingininya dengan negara-negara lain. Keseluruhan pakej sekatan ekonomi dan pelucutan serta pemulauan dan pengasingan budaya harus dikenakan terhadap Israel oleh masyarakat antarabangsa. Hanya dengan tekanan yang sedemikian, maka Israel akan berbincang mengenai perdamaian sebenar dengan rakyat Palestin.

Oleh yang demikian, kami menggesa kerajaan Malaysia untuk mengesahkan dan menyokong gerakan BDS antarabangsa dan menerima pakai semua langkah yang digariskannya untuk menamatkan aparteid di Israel. Kerajaan Malaysia juga digesa untuk mendesak masyarakat antarabangsa untuk melakukan hal yang sama.

BDS (Boycott, Divestment, Sanctions) Malaysia. 11 Mei 2021.


Profesor Mohd Nazari Ismail adalah Pengerusi BDS (Boycott, Divestment, Sanctions Malaysia). Semua pendapat yang tertulis adalah miliknya dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pihak TRP.

Untuk mengetahui maklumat lanjut tentang BDS, anda boleh layari laman web BDS Movement.


Jika anda ingin berkongsi pendapat bersama kami, boleh hantarkan e-mel ke editorial@therakyatpost.com dengan tajuk “OPINION” atau “PENDAPAT”: atau melalui media sosial kami TRPBM: Facebook, Twitter dan Instagram.


© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd